Musi ‘bah’

2
206
views

tumblr disaster

Langit tidak selalunya cerah.

Adakalanya hujan turun hingga ke petang.

Kadangkala, hingga ke malam.

Dari malam hingga ke pagi.

Dari pagi hingga ke petang semula.

Eh, tidak berhenti-henti lagi? Ini puisi ke, atau realiti?

Sehari, dua hari, hujan berterusan turun. Tidak menunjukan sebarang tanda untuk berhenti. Air dari sungai mulai melimpah keluar ke daratan. Deras, laju meluncur. Memenuhi setiap inci daratan, menengelami satu persatu kediaman.  Manusia panik serta ketakutan. Kala itu, tiada apa yang mampu diharap kecuali rahmat  dan pertolongan daripada Allah swt.

Lantas hati terdetik..

Musibah?  Adakah ini rahmat atau ujian daripada Allah? Aku sama sekali tidak tahu. Aku hanya berprasangka baik padaNya.

Musibah

Malam itu gelap. Hujan turun dengan lebatnya. Bekalan elektrik masih lagi terputus. Kelihatan seorang pak cik yang sudah tua, terketar-ketar tangannya berjalan dalam gelap mencari arah. Lilinnya sudah habis. Mujurlah sahabat saya yang berhati mulia ini sanggup meredah hujan pada malam hari untuk memberikan bekalan lilin kepada beliau dan keluarganya di sebuah kampung mangsa banjir di Kemaman.

Begitulah kesusahan yang dialami kebanyakan daripada mangsa banjir di pantai timur selama beberapa hari ini. Hingga kini, hati saya masih lagi sebak membayangkan nasib mereka yang tidur dalam hanyir lumpur, dalam gelita malam tanpa lampu hatta pelita, dalam sejuk, dalam basah, mereka derita. Tanpa bekalan makanan yang cukup, tanpa pakaian yang selesa. Apatah pula nikmat tidur yang selama ini beratapkan bumbung dan beralaskan tilam, kini diganti dengan langit sebagai atap dan tanah/simen sebagai tilam. Allah…

Betapa nikmat yang amat banyak selama ini, boleh ditarik sekelip mata! Hanya 2,3 jam sahaja, bisa mengubah kehidupan manusia di sana seluruhnya.  Begitulah. Adakah musibah itu tidak lebih daripada satu ujian daripada Allah swt?

Mari kita sama-sama tadabbur ayat yang begitu indah ini dalam  Surah At-Taghabun ayat 11;

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Tidak ada satu musibah yang menimpa, kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah niscaya Allah akan memberikan petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

Ustadz Nouman Ali Khan di dalam kuliah tafsirnya apabila menghuraikan ayat ini berkata;

Apabila Allah swt berfirman (ayat Quran), tidak ada satu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah, perkataan Asoba dalam bahasa arab bermaksud (untuk mensasarkan), secara tidak langsung Allah swt mengajar kita melalui pemilihan perkataan ini bahawa tiada apa perkara yang berlaku pada kita, sebenarnya bukan untuk kita. Bahkan ianya adalah secara khusus disasarkan kepada diri kita. Dan (‘مُّصِيبَةٍ’), kata beliau lagi bukan semestinya perkara yang buruk.  Ia sesuatu yang Allah swt mahu berlaku kepada kita dan Allah membolehkan kita  untuk tahu ‘إِلَّا بِإِذْنِ اللَّ .

‘ ما ‘ ( Mā ) Perkataan dalam permulaan ayat ini sebenarnya penyangkalan. Jangan kita pernah berfikir bahawa musibah yang menimpa kita ini ditentukan oleh orang lain selain daripada Allah swt. Ianya sentiasa daripada Allah swt dan berlaku hanya dengan izin daripada Nya. Baik atau buruk, semuanya telah ditetapkan oleh Allah swt. Mungkin musibah ini pada pandangan kita buruk, lalu kita tidak gembira dan redha dengan ketetapan Allah ini.  Tetapi sebenarnya banyak hikmah yang terkandung di sebalik musibah ini. Sebutlah رضيت بالله، رضيت بمشيئة الله,

( Radhitu billah, radihtu bimasyatillah) Aku redha dengan segala takdir Allah,  apa sahaja yang dikehendaki Nya.  Sama ada aku tersiksa kesan daripadanya, ataupun aku bergembira, aku tetap menerima apa yang telah ditakdirkan Allah swt dengan redha. Itulah hakikat hamba yang sebenar-benarnya.

Musibah itu ada kalanya mengugat iman

Ya benar! Musibah itu adakalanya benar-benar menguji keimanan kita kepadaNya.

Allah mengatakan bahawa tidak ada satu bencana tunggal kecuali bahawa ia adalah dengan izin Allah . ‘ ومن يؤمن بالله ,’ ( Wa Man ​​Yu’umin billahi ) dan barangsiapa beriman kepada Allah

itu satu kenyataan bersyarat. Anda tahu mengapa ia kenyataan bersyarat? Kerana apabila bencana melanda, orang mula hilang kepercayaannya kepada Allah. Mereka mula mempersoalkan,

Kenapa Allah swt buat macam ni pada aku, kalau dia sayangkan aku dia takkan buat macam ni pada aku! Allah kejam! Dia ambil semua harta aku! Anak bini aku!

Lalu Allah berkata, dan barangsiapa beriman kepada Allah niscaya Allah akan memberikan petunjuk kepada hatinya. Petunjuk kepada hati (Yahdi Qalbahu). Kerana Allah swt Maha Mengetahui, bukan mudah untuk terus tsabat mengekalkan keimanan kepada Nya saat kita diuji dengan musibah. Jujur bukan mudah! Justeru, sebagai hadiah, dia memberikan sesuatu yang sangat-sangat berharga daripada segala hadiah di dunia ini, iaitu petunjuk kepada hati.

Bayangkan sebuah hati yang dalamnya dipenuhi ketaatan kepada Allah, dipenuhi rasa cinta kepada Nya, ohh ini sangat menakjubkan! Inilah manifestati keimanan sebenar setelah diuji dengan kesusahan dan kepayahan. Inilah hakikat sebenar iman yang dapat dirasai oleh hati dan bukan hanya sekadar terucap di bibir.  Betapa menakjubkan bila hati ini sentiasa mendapat petunjuk daripada Ilahi. Setiap denyut jantung adalah dalam petunjuk, setiap denyut jantung adalah dalam ketaatan kepada Allah. Dan paling menakjubkan,  bayangkan segala apa yang berlaku dalam dunia ini adalah dalam gengaman tangan Allah swt, kini petunjuk Allah swt berada dalam hati seorang insan yang bernama manusia beriman itu.

Allah..

Rasa sedih itu

Cuba kita cari dari manakah punca rasa sedih itu?

Jika masih tidak jumpa, mari kita sama-sama bayangkan. Saat hiba, saat duka saat kecewa, di bahagian mana kita akan rasa pedih sekali? Di mana?

Tidak lain tidak bukan, sumbernya hanya dari tempat yang sama iaitu qalb/jantung. Atau bahasa sasteranya hati.

Apa yang ajaibnya dalam ayat ini , Allah swt akan menghapuskan dari hati-hati mereka rasa sedih ini jika mereka bersabar dan menerima dengan redha musibah yang melanda. Subbhanallah, Maha Suci Allah, apabila dia menghantarkan musibah ini kepada kita, sebagai tanda sayang kepada hamba-hambanya. Supaya kita meminta pertolongan kepada Nya.

Ibarat Fire Drill

Ya, seperti Fire Drill. Kehidupan di dunia ini adalah ujian, sama seperti Fire Drill ataupun latihan kebakaran. Yasmin Mogahed di dalam bukunya “Reclaim Your Heart” memberikan analogi yang sungguh indah mengenai hakikat ujian di dunia ini.

Katanya, cuba kita fikirkan sejenak mengenai siren kebakaran. Apakah fungsinya? Siren itu fungsinya adalah sebagai tanda amaran jika sesuatu yang bahaya akan berlaku.  Selalunya bila kita terdengarkan siren itu, kita akan jadi panik. Bagaimana pula jika itu hanyalah latihan kebakaran untuk melihat bagaimana respons kita? Bunyi siren itu adalah bunyi yang sama, tetapi ia hanyalah latihan/ujian kebakaran. Walaupun ianya kelihatan betul, dan kedengaran seperti betul, hakikatnya tidak lebih daripada sekadar fire drill.  Dan kita terus diingatkan berkali-kali melalui siri yang sama selama bertahun-tahun.

Hal yang sama apabila Allah swt ingin menguji kita tentang kehidupan di dunia ini. Kehidupan di dunia ini sama seperti amaran siren itu kala fire drill. Walaupun hakikatnya macam betul, dan kedengaran betul, kita menangis, kita terseksa, kita menderita, ianya tidak lebih sekadar ujian untuk kehidupan yang tidak real dan kekal. Iaitu kehidupan dunia. Yang menyediakan kita platform untuk berlatih menghadapi kehidupan akhirat yang kekal selama-selamanya.

Persoalannya di sini, bagaimana kalau sejak dari awal, kita sudah mengetahui bahawa bunyi siren itu adalah sebenarnya fire drill. Kita mesti akan buat tidak kisah, kita buat tidak tahu. Bagaimana jika kebakaran yang sebenar berlaku secara tiba-tiba? Kita pasti akan rentung kebakaran kerana tidak pernah diuji.

Itulah hakikat kehidupan di dunia ini. Justeru sebagai kesimpulan, ayat dalam Surah At-Taghabun ini berakhir dengan; وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ,

Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

Allah yang menciptakan ujian ini khusus buat kita, dan sungguh Dia mengetahui apa yang baik dan buruk buat kita. Tiada apa yang dijadikannya sia-sia, melainkan satu peluang kepada kita yang ditimpa musibah untuk meninggikan darjat di sisiNya. Jangan bersedih, jangan berduka kerana ibrah atau pengajarannya sangat luas untuk dipelajari oleh seisi manusia. Baik yang ditimpa musibah atau mereka-mereka yang merasai penderitaan itu bersama. InshaAllah akan ada hadiah misteri yang menanti anda.

Wallahualam

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

2 COMMENTS

  1. asiif, ana nk tnya. yg part kupasan Sh. Nouman tu ada x video ke apa e.g:NAKcollection ke? rasa teruja cara dia explain Quran. Jzkk

    • Cuba nta check dekat quran weekly edisi ramadhan. juz keberapa ana lupa. cuba la check ye akh 🙂

Leave a Reply to asyrafarique Cancel reply