Muslimah Layyinah (Lembut) Berjiwa Maskulin – Amir Izzuddin

0
214
views

MUKADDIMAH 

Sudah beberapa kali penulis menangguh untuk menulis penulisan ini tetapi syukur kepada Allah s.w.t. kerana masih memberi penulis nyawa dan ilham yang baik untuk berbakti kepada ummah khusus buat kaum Muslimat.

Bagi penulis, penulisan seperti ini amat penting dan perlu dilambakan lagi kerana ia bukan sekadar berkisarkan tentang peranan Muslimat dalam Islam tetapi sebagai inspirasi dan motivasi yang berpanjangan sekaligus memberi impak yang positif pada masa depan ummah.

Lima-Cinta-yang-Harus-Dihindari-Muslimah-Sejati

Sebagai Muslim, penulis akui peranan Muslimat dalam Islam sangat besar dan perlu dihargai. Dalam siri mengumpul bahan berkenaan dengan peranan Muslimat, penulis telah menelaah dan bertemu dengan beberapa tokoh wanita  baik dalam lapangan politik, aktivis kemanusiaan dan sebagainya.

Hasilnya sangat luar biasa apabila penulis menemui penghormatan demi penghormatan telah diberikan kepada golongan yang sinonim dengan gelaran kaum Hawa’ kerana segala pencapaian yang telah dikecapi sepanjang zaman.

Bacalah al-Quran, anda akan temui Surah an-Nisa’ (Wanita) dan Surah Maryam. Bacalah al-Hadith, anda akan temui perawi-perawi hadith dari kalangan Ummahatul Mu’minin seperti A’isyah r.ah.

palestina-wanita

Dalami Sirah Nabawiyyah, pasti anda akan temui wanita seperti Khadijah at-Tohiroh r.ah selaku isteri Baginda yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan pada awal kebangkitan Islam, Sumayyah r.ah yang menjadi wanita pertama yang syahid dalam Islam, Fatimah az-Zahra’ r.ah selaku anak perempuan yang sangat taat, Ummu Sulaim r.ah yang meredakan emosi Baginda tatkala saat getir, Nusaibah r.ah yang melindungi Baginda dengan jasadnya ketika meletusnya perang Uhud, Khawlah al-Azwar r.ah yang berjihad menentang Byzantine ketika perang Yarmouk dan banyak lagi.

2013-635212438403212529-321

Apakah anda tidak rasa dihargai wahai Muslimat? Tidak cukupkah ayat-ayat Allah s.w.t. yang menaikkan martabat kalian? Perjuang Mujahidah dahulu bukanlah sekadar cerita yang hanya sedap untuk ditutur bahkan Islam menuntut agar Muslimat menjadi penerus kepada lestarinya amal dakwah dalam hidup ini.

Saksikan wahai Allah, kerana kasih dan sayang penulis terhadap kaum Muslimat, maka diluncurkan penulisan ini dengan tajuk “Muslimah Layyin, Berjiwa Maskulin”. Benar kata pepatah, “Tangan yang disangka lembut menghayun buaian mampu menggoncang dunia.”

LELAKI DAN PEREMPUAN

 Kata Buya Hamka,

“Jika perempuannya baik, baiklah negara, dan jika mereka bobrok, bobrok pulalah negara. Mereka adalah tiang; dan biasanya tiang rumah tidak begitu kelihatan. Namun, jika rumah sudah condong, periksalah tiangnya. Tandanya tianglah yang lapuk.”[1]

Benar. Melalui kata Buya Hamka tersebut, dapat kita fahami bahawa wanita juga turut menyumbang sebagaimana kaum lelaki. Sumbangan mereka tidak dapat dinafikan dan perlu diiktiraf.

Islam tidak pernah diskriminasi mahupun ‘double standard’ terhadap Muslimat bahkan dalam bab beramal, Allah mengiktiraf kedua-duanya melalui firman-Nya dalam Surah an-Nisa’ ayat 124 :

وَمَن يَعۡمَلۡ مِنَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنٞ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَدۡخُلُونَ ٱلۡجَنَّةَ وَلَا يُظۡلَمُونَ نَقِيرٗا

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki mahupun wanita, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka juga tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.”[2]

Pengiktirafan ini tidak terhenti setakat itu sahaja bahkan disebut juga di dalam Surah an-Nahl ayat 97, Surah at-Taubah ayat 71, Surah al-Ahzab ayat 35, Surah al-Hujurat ayat 13 dan lain-lain lagi. Benar lelaki dan wanita mungkin berlainan gender tetapi di sisi Allah s.w.t. semuanya sama sahaja.

Yang membezakan hanyalah taqwa. Bukankah penciptaan lelaki dan perempuan mengajar erti saling lengkap melengkapi?

MUSLIMAH LAYYIN, BERJIWA MASKULIN

Dikala dunia memperalatkan wanita untuk komersial, menjadi simbol seks, objektifikasi dan lain-lain konotasi yang buruk, Islam pula tampil hadir mengangkat status wanita ke satu tahap yang lebih tinggi.

Bukan hanya sekadar dihormati dan dilindungi bahkan disandarkan pula sebagai peluang ke syurga buat anak-anak yang berkhidmat bakti terhadap ibu mereka seperti yang disebut dalam al-Hadith.

D2658926A

Meskipun stigma masyarakat menganggap wanita sebagai kaum yang lemah, namun sejarah telah membuktikan lemah wanita itu juga merupakan sebuah kekuatan. Misalnya kisah Khadijah Khuwailid r.ah yang menenangkan

Baginda sejurus Baginda menerima wahyu yang pertama. Dalam keadaan yang mencemaskan itu, timbulnya titipan kata-kata lemah lembut(layyin) dan manis yang membuatkan hati Baginda tenang. Ini boleh dicontohi oleh para isteri di luar sana. Khadijah r.ah. berkata :

 “Sekali-kali tidak akan! Demi Allah! Dia Ta’ala tidak akan menghinakanmu selamanya! Sungguh engkau adalah penyambung tali rahim, pemikul beban orang lain yang mendapatkan kesusahan, pemberi orang yang papa, penjamu tamu serta penolong setiap upaya menegakkan kebenaran.”[3]

 Lembut (layyin) seorang wanita tidak bererti tidak boleh berjiwa maskulin seperti kaum Adam.

Hari ini, Muslimat juga telah membuktikan mereka berjiwa ‘maskulin’ apabila mereka telah mendominasi pelbagai lapangan seperti pendidikan, politik, kemanusiaan, institusi rumah tangga dan dalam keadaan lain mereka juga jaguh atau juara dalam masyarakat berbanding kaum Adam.

Misalnya peranan Muslimat sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak disebut oleh Pendita Za’ba dalam tulisan beliau yang berjudul “Mencapai Keluhuran Budi”.

Za’ba menitikberatkan soal pendidikan para Isteri dan Ibu kerana mereka merupakan institusi pendidikan yang pertama buat anak-anak. Mengajar syariat Islam, mengajar budi dan akhlak, mengajar kebersihan, mengemas dan mengurus antara poin-poin penting yang disebut oleh Za’ba.[4]

b-1-2xoca7tahvmpuftrnkpt6o

Maskulin dari sudut pendidikan dapat kita buktikan melalui penglibatan Muslimat selaku pendidik sama ada formal mahupun tidak formal. Antara tokoh Muslimat yang masyhur seperti Ustazah Norhafizah Musa.

Beliau bukan sahaja aktif memberi ceramah berkenaan isu muslimat di masjid-masjid atau pusat pendidikan bahkan beliau juga turut aktif di bidang penulisan juga siaran televisyen. Sentuhan beliau mendapat banyak pujian sehingga dijemput untuk ‘on air’ di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Selain itu, kita juga ada Prof. Muhaya, Ustazah Isfadiah, Ustazah Fatimah Syarha, Ustazah Maznah Daud, Ustazah Nor Bahyah dan banyak lagi.

Jika dalam dunia aktivisme kemanusiaan, jangan kita lupa nama seperti Rachel Corrie yang mati dibunuh kerana dilanggar jentolak milik Zionis Israel saat menghalangnya dari merobohkan rumah milik rakyat Palestine.

fauziah-hassan
Dr Fauziah Hasan

Selain itu, aktivis dan juga doktor perubatan dari Malaysia yang mengikuti pelayaran kapal Zaytouna-Oliva dalam misi ke Gaza, Dr. Fauziah Hassan mendapat perhatian apabila misinya bersama 13 lagi wanita dari pelbagai negara menerusi “Women’s Boat To Gaza” ditahan pihak Zionis Israel sekaligus dihantar pulang serta-merta sebelum sempat bantuan disalurkan kepada rakyat Palestine.

Usaha ini telah membuka mata dunia serta mengutuk tindakan Zionis Israel yang menghalang meskipun usaha ini hanya dijayakan oleh golongan wanita yang tidak bersenjata. Perjuangan beliau rentas segala perbezaan, bukan atas tiket individu tetapi dalam skop yang lebih luas lagi. Kata beliau :

“Penyertaan saya dalam misi ini bukan atas kapasiti individu tetapi mewakili keluarga, organisasi, negara, wanita, dan semua umat Islam dan manusia di seluruh dunia yang cintakan keamanan.”[5]

Bila dikatakan maskulin dari perspektif politik, kaum Hawa juga tidak ketinggalan dalam menjuarainya.

Politik sama ada politik kepartian, politik kampus mahupun didefinisikan sebagai interaksi antara manusia, menyaksikan Muslimat turut vokal dalam menyuarakan serta memperjuangkan isu-isu nasional yang melibatkan rakyat seperti ekonomi, undang-undang, tatakelola pentadbiran juga sistem pendidikan negara.

Ini dibuktikan melalui penubuhan sayap Muslimat di dalam proksi parti-parti yang bertanding, juga dalam gerakan Mahasiswa.

Bahkan, Imam Hassan al-Banna turut menekankan kepentingan penyertaan Muslimat ataupun Akhawat dalam gerakan Islam sehingga beliau menulis satu penulisan yang bertajuk “Sistem Akhawat” memanifestasikan peranan dan hak-hak Muslimat turut diiktiraf di peringkat politik.[6]

Di dalam buku berjudul “Peranan Muslimat di Medan Amal Islami” turut menekankan soal kontribusi Muslimat dalam pentarbiyahan ummah seiring menjayakan maratibul amal Islami yang dicanangkan oleh Imam Hassan al-Banna.[7]

KESIMPULAN

Kesimpulannya, Muslimat walaupun lembut (layyin) namun mereka tetap penting dan berupaya untuk berjiwa maskulin seperti lelaki serta menyumbang pada skala yang lebih besar.

Islam tidak pernah prejudis mahupun diskriminasi terhadap Muslimat tetapi kehadiran Islam telah mengangkat status wanita ke tahap yang lebih tinggi dan mulia. “Track record” sejarah telah membuktikan Muslimat atau wanita telah menyumbang dan berjasa dalam pelbagai lapangan yang kononnya hanya mampu didominasi oleh kaum lelaki.

9989022981e4a294035e5f3d8ba81957

Penulis teringat satu kata-kata dari Brigham Young, kata beliau :

“You educate a man; you educate a man. You educate a woman; you educate a generation.”[8]

 Jangan jadi Muslimat yang lemah, hanya tahu menumpahkan air mata sahaja tetapi sekarang telah tiba masanya untuk ubah paradigma anda wahai Muslimat! Islam sentiasa tertunggu-tunggu para Muslimat yang sudi menjadi rantai penerus perjuangan.

Yang sudi menebus Islam dengan roh, dengan darah. Semoga penulisan ini mampu memberi motivasi dan inspirasi buat para Muslimat di luar sana sekaligus melahirkan lebih ramai srikandi dan mujahidah yang berjuang dan bermanfaat untuk masyarakat, agama, negara dan ummah amnya.

Jadilah seperti mata air. Muslimah layyin, berjiwa maskulin!

[1] Prof. Dr. Hamka, “Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan”. Jakarta : Gema Insani, 2014. m/s 15.

[2] Al-Quran. an-Nisa’ 4 : 124.

[3]Syaikh Shafiyyur-Rahman Al-Mubarakfury, “ar-Rahiqul Makhtum”. https://rohisfisikaui.files.wordpress.com/2012/02/sirah-nabawiyah-syaikh-shafiyyurrahman.pdf. m/s 61.

[4] Za’ba, “Mencapai Keluhuran Budi”.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015. m/s 57-66.

[5]Dr. Fauziah Hassan. http://www.mycare.org.my/dr-fauziah-hassan-sertai-misi-womens-boat-to-gaza/.

[6] Dr. Mazin Farrukh, “Thawabit al-‘Amal Islami Mengikut al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna”. Selangor : Ibooks Centre, 2014. m/s 31-33.

[7] Syeikh Dr. Faisal Mawlawi, “Peranan Muslimat di Medan Islami”. Kuala Lumpur : Jundi Resources, 2011. m/s 35-46.

[8] Brigham Young. http://www.goodreads.com/quotes/tag/education.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply