Nasi Lemak Tupperware Biru

0
119
views

Nasi Lemak Tupperware Biru | Nani berkira-kira sendiri. Perjalanan memakan hampir 4 jam untuk satu hala. Pergi balik lebih kurang 8 jam. Betul ke nak teruskan and balik hari ni? Dalam hati Nani masih lagi berkira-kira kemuntijan (effectiveness) tindakannya kelak.

 

Ironinya kaki Nani terus melangkah menuju train station. Nasi lemak digenggam erat.

 

Kalau tak pergi, nasi lemak ni siapa nak makan. Astaghfirullah al-‘azim. Nani sedar jiwanya sedang dihasut syaitan. Segera Nani membetulkan niat perginya hanya kerana Allah.

 

Teringat pesan murabbiyahnya, Nani menghabiskan masa di dalam train dengan membaca Al-Quran dan membaca buku fikrah. Hatinya yang berbolak-balik dipujuk berulang kali. Niatnya ditajdid entah berapa kali.

 

Sedar tak sedar, Nani akhirnya sampai ke destinasi. Telefon bimbitnya dibuka untuk melihat peta ke rumah Diya, mad’unya. Inilah pertama kali Nani menjejakkan kaki ke rumah Diya setelah Diya berpindah beberapa bulan lalu. Sudah beberapa kali Nani cuba untuk ke rumah Diya, namun Diya sentiasa sibuk. Lalu Nani datang dengan idea terjah sahaja tanpa memberitahu Diya terlebih dahulu.

 

Sepanjang perjalanan mencari rumah Diya, hati dan perasaan Nani diasak pelbagai andaian. Nani membayangkan muka Diya yang gembira memakan nasi lemak kegemarannya. Pasti saat itu hati Nani puas kerana berjaya menggembirakan hati mad’unya. Tapi kalau sebaliknya berlaku? Bagaimana kalau Diya tiada dirumah? Atau bagaimana reaksi Diya hambar sahaja?

 

‘Ya Allah apa aku fikir ni. Bukankah andaian-andaian itu datangnya dari syaitan.’ Sekali lagi Nani istighfar.

 

Kini Nani betul-betul dihadapan bangunan rumah Diya. Dengan lafaz Bismillah, loceng rumah Diya di tekan.Sekali. Dua kali. Tiga kali. Sepi tiada jawapan. Nani cuba menghubungi melalui telefon pula. Sekali. Dua kali. Tidak diangkat.

 

‘Mungkin Diya dalam toilet kot. Atau Diya belum bangun mungkin.’ Nani cuba bersangka baik. ‘Tapi dah pukul 12.30 tengah hari. Takkan belum bangun.’ Hati kecil Nani berbisik.

 

Lalu Nani membuat keputusan untuk menunggu 15 minit disitu.

 

5 minit.

10 minit.

15 minit.

 

Masih tiada jawapan dari Diya. Nani menghantar pesanan ringkas pula.

 

‘Assalamu’alaikum wbt Diya. Sihat? Diya dirumah? Akak ada benda nak bagi Diya sikit. Akak pergi beli barang kejap nanti akak datang balik ya insyaAllah’

 

Nani melangkah ke arah pusat bandar. Setelah selesai membeli barang, Nani kembali ke rumah Diya.Loceng ditekan lagi. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Sunyi. Nani cuba lagi menghubungi Diya melalui telefon. Tiada jawapan. Nani dilanda kerisauan. ‘Diya okay ke tak sebenarnya? Tak mungkin Diya ke tempat lain sebab Isnin Diya exam. Mungkin Diya ke library.’ Begitu Nani memujuk hati supaya husnudzhon.

 

Nani tengok jam. Dah pukul 3 petang. Trainnya pukul 3.30 petang. Nasi lemak digenggam erat. Air mata dah bertakung di mata Nani. Nani meletakkan nasi lemak didepan pintu rumah Diya. Nani tawakkal sahaja pada Allah agar nasi lemak itu sampai ke tangan Diya.

 

Sekali lagi Nani mengeluarkan telefon bimbitnya. Nani menulis sms ringkas kepada Diya. Kali ini untuk memberitahu Diya yang ada nasi lemak dalam tupperware biru ditinggalkan di depan rumah Diya.

 

Semasa di dalam train pulang ke rumah, air mata Nani tidak tertahan. Tumpah jua mencium pipi. Nani istighfar berulang kali. Nani terasa tidak ikhlas. Ya tidak ikhlas kerana kecewa tidak dapat bertemu Diya seperti yang diharapkan. Nani hanyalah manusia biasa. Punya perasaan punya rasa.

 

Hati Nani terasa pedih dan sedih. Sambil memandang ke luar tingkap train, Nani muhasabah mencari kesilapan diri.

 

‘Mungkin aku belum cukup ikhlas. Mungkin aku terlalu mengharapkan balasan sampai lupa yang hati manusia Allah yang pegang. Mungkin kerana kelemahan aku sebagai murabbi yang kurang baik gagal memahami keperluan mutarabbi. Mungkin juga kerana usahaku bukan semata kerana Allah tetapi dicemari dengan niat lain. Ya Allah ya Allah aku mohon ampun dari-Mu. Moga kau buka hatiku dan limpahi rahmatmu buat Diya ya Allah.’

Nasi Lemak Tupperware Biru

*Sometimes we depend too much on ourselves. We tend to forget that the heart of others are in the grasp of Allah*

 

hawariyyun

http://hawariyyunwalansar.blogspot.de/

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply