Nasihat Buat Aktivis Dakwah Yang Lesu – Syuaib Supani

0
29
views

tmp_19768-menangis_shalat_01-1499855323

Bukan sekali air mata berjuraian mengalir. Bukan tak kerap suara bergetar meranduk emosi. Tak terkira betapa acap berteleku sendiri di sudut hati.

Berdepan pelbagai cabaran dan halangan di atas jalan dakwah dan tarbiah sering menyesakkan dan meletihkan.

Hingga sang aktivis dakwah kian mengah.

Sungguh, di atas jalan ini kita memerlukan stamina untuk bermaraton jauh. Langkahan yang tersusun dan terancang, agar mengalahkan rancangan kebatilan yang dengan jarum halus dan terang mentarinya menyerang.

Himmah dan hamasah yang mencetuskan motivasi untuk terus menyantuni, membina dan beraktivisme dengan rahmah dan hikmah.

Untuk yang sedang terduduk rebah serta yang masih merangkak dalam lelah, yakinlah bahawa kita masih belum kalah. Saat ini perlunya kita bermuhasabah akan langkahan yang telah kita tapaki.

JAHILIYYAH

Kita sering mendengar analogi yang membayangkan seorang pendaki gunung yang membawa di pundaknya pelbagai barang yang kelihatannya bernilai, namun tidak bermanfaat dalam kembaranya.

Dia takkan dapat memanfaatkan periuk nasi elektrik, sekalipun dia memerlukan bekalan tenaga untuk terus mendaki.

6385784-3x2-940x627

Dia tidak memerlukan tangga besi, sekalipun dia sedang memanjat tempat yang tinggi. Dia malahan tidak perlu membawa bersama PlayStation atau Nintendo, meski untuk memeriahkan pendakian yang sepi!

Demikianlah seorang aktivis dakwah akan mengah sekiranya terus memikul jahiliyyah sepanjang amal dakwahnya. Bukan setakat ia tidak bermanfaat untuk dakwah, bahkan akan melambatkan langkahnya.

Betapa ramai aktivis dakwah yang masih bermain-main dengan jahiliyyah diri?

Membimbing halaqah sana sini, menyampaikan daurah ke sana ke mari, menyantuni mualaf dan mad’u malam ke pagi, namun diperuntukkan selang selinya dengan dosa dan jahiliyyah.

Lupakah mereka bahawa untuk seorang aktivis dakwah, setiap masa yang dibazirkan adalah masa milik umat kerana sejenak terlalainya mereka akan memakan hak masa umat yang perlu disantuni?

Pantaskah dia mengaku hidup matinya untuk dakwah dan tarbiah, sedangkan tidak pantas untuk sang pembimbing kepada Ilahi itu melupakan Ilahnya?

Benar, sememangnya kita tidak perlu sehingga ber’sempadan hitam putih’ dengan jahiliyah dan Islam; setiap yang bukan Islam adalah jahiliyah.

Benar, di sana ada ruang kelabu dalam kehidupan manusiawi di samping hukum keharusan dalam fiqh.

Namun dengan menghayati kata-kata ‘Tanggungjawab lebih banyak daripada masa yang ada,’ perkara jahiliyah sewajarnya tidak lagi menjadi prioriti (awlawiyyah).

AWLAWIYYAH (PRIORITI)

Menyentuh tentang prioriti juga, aktivis dakwah hari ini berdepan cabaran yang kian kompleks. Aktivis dakwah yang mengah hinggakan dirundung dilema antara pelebaran dakwah dengan pengukuhan fondasi dakwah.

Antara menyantuni mad’u seramainya melalui partisipasi dalam membaiki sistem dan menularkan aktivisme, dengan membina kader dakwah yang goyah tak terkalahkan demi memastikan kelestarian dan kesinambungan dakwah.

b-1-2xoca7tahvmpuftrnkpt6o

Menyusun prioriti adalah penting agar aktivis dakwah tidak mengah. Menyusun daripada senarai prioriti tidak bermakna menyaring; sehingga kita memfokuskan percetakan aktivis namun meninggalkan amal dakwah umum.

Rasulullah idola sang aktivis dakwah; sekalipun dakwah baginda pada awalnya di Makkah memfokuskan kepada pembinaan generasi tonggak, baginda dan para Sahabat tidak pernah meninggalkan dakwah umum. Waima dakwah melalui qudwah, mahupun melalui amal kebajikan terhadap yang susah.

Malahan dengan sempurnanya deen Islam serta pewarisan al-Quran dan sunah sepenghujung hayat baginda di Madinah, kita tidak boleh ‘menafikan’ kewujudan serta peri penting praktik dan kalamullah era Madinah hanya kerana ingin memfokuskan pembinaan generasi tonggak era Makkah.

Dibimbangi kita akan terjerumus dalam golongan yang mengambil sebahagian ayat al-Quran namun meninggalkan yang selainnya dengan mengatasnamakan ‘strategi’.

Namun awas, menyusun prioriti jangan sehingga mengabaikan kualiti. Pembinaan generasi tonggak perlu sentiasa menjadi keutamaan, tanpa meletakkan dakwah umum di tangga kedua.

Tanpa dakwah umum, dakwah akan menjadi riang ria sang elitis dakwah dengan impian syurganya. Tanpa generasi tonggak, sekali lagi aktivis dakwah akan mengah di atas jalan dakwah ilallah.

ILALLAH (MENUJU ALLAH)

Selama-lamanya menara dakwah adalah dibangun di atas pasak ilallah. Menyeru manusia kepada Allah dan membina manusia agar hidup kerana Allah.

Lalu dari itu, sirah nabawiyah dan para Sahabat akan kekal menjadi inspirasi. Syurga dan mardhatillah akan sentiasa menghadirkan motivasi.

Aktivis dakwah yang mengah itu bangkit jatuhnya jangan sehingga dibutakan duniawi dan melupakan matlamat ukhrawi.

Fatamorgana dan ilusi seperti pujian, populariti dan perhatian usah sehingga mengaburi, tanpa menafikan aktivis dakwah perlu dikenali oleh masyarakat dan tidak bercanda dalam tempurung sendiri semata-mata.

Beraktivisme dalam tarbiah melalui pembinaan manusia, dan beraktivisme dalam dakwah melalui pengislahan umat dan dakwah dalam masyarakat majmuk perlu sentiasa diluruskan niat hatinya agar hanya mengharapkan pandangan kasih Allah.

Berfursanlah di siang hari sambil beruhban pada sebelah malamnya. Menangislah dalam munajatmu, bukan hanya di laman sosial Twitter dan halaman-halaman luahan maya.

twitter-117595_960_720

Amati dan tadabburi kalam Rabbmu, bukan hanya cerita-ceriti pergaduhan politik dan teka-teki falsafah.

Bangunkan tahajudmu dan amalan nawafilmu, selain usaha gigihmu menziarahi mutarabbi dan mad’umu. Bangkitkan iman dan kefahaman Islami mereka, selain menyantuni mereka dengan hobi dan minat mereka.

Bisikkan ke dalam hati pengkisahan sang pembakti (al-Abrar) yang dititipkan dalam Surah al-Insan,

“Mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini”.

“Mereka juga memberi makan makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim serta tawanan (sambil berkata),“Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata, kami tidak menghendaki sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih”.

“Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, bimbang Dia kenakan kami azab pada hari yang padanya wajah orang yang bersalah masam berkerut-kerut”.

Untuk aktivis dakwah yang mengah, ganjaran yang besar menanti di penghujung jalan. Mengahlah, namun bangkitlah.

Panjatkan doamu dan terus teguh, berpautlah pada tali Allah dan tali ukhuwah kerana Allah. Sesungguhnya tiada yang terlebih baik kalamnya di dunia ini berbanding seruan kepada Allah dan amal soleh sang aktivis dakwah daripada golongan yang muhsinin.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply