Nasihat Ikhlas Buat Para Netizen Di Media Sosial – Abdul Hamid

0
96
views

169616485-people-sit-around-laptop-computers-at-a-cafe-in-beijing.jpg.CROP.promo-mediumlarge

Dalam kehangatan perbincangan isu-isu di media sosial, kita melihat pelbagai respon diberikan netizen dalam mengemukakan pandangan masing-masing.

Walaupun ada yang memberi respon yang baik dan rasional, tidak kurang juga yang bersifat emosional dan menggunakan bahasa yang kasar atau pun berbentuk serangan peribadi.

Tidak dinafikan, masing-masing mempunyai hak untuk memberikan pandangan, tambahan pula pada era di mana sesiapa sahaja boleh memberi respon di hujung jari, tidak kira di masa sahaja mereka berada.

Lebih malang lagi apabila isu yang dibincangkan adalah isu-isu berkaitan Islam namun respon yang diberikan ada kalanya tidak menggambarkan tatacara dan akhlak yang dianjurkan Islam.

Walaupun sudah terdapat saranan dan nasihat yang diberikan agar menjaga adab-adab dalam berbincang dan berbeza pandangan, namun isu ini masih belum dapat dibendung. 

Jelasnya, respon-respon yang diberikan tidak menggambarkan perbincangan yang matang yang dapat membuahkan hasil yang positif.

Kita sedia maklum perbincangan secara maya di media sosial terdapat  kekangan-kekangan tertentu kerana rata-rata netizen tidak mengenali di antara satu sama lain.

9733284483_d463b46807_o-624x468

Tambahan pula, respon di media sosial tidak mempunyai suara dan intonasi seperti perbincangan yang dilakukan secara bersemuka.

Manakala riak wajah pula tidak dapat dilihat. Ini semua menjadikan sesuatu respon itu mudah di salahtafsir oleh pembaca terutamanya apabila terdapat provokasi-provokasi terhadap sesuatu isu yang dibincangkan.

Untuk itu, mungkin langkah terbaik yang boleh diambil oleh setiap netizen adalah untuk menahan diri dari memberi respon kepada isu-isu hangat terutamanya apabila seseorang itu berada di dalam keadaan marah atau pun emosi yang tidak terkawal.

Usahlah dilayan respon atau komen yang menggunakan bahasa yang tidak enak atau berbentuk provokasi.

Apa yang membimbangkan adalah sekiranya perselisihan yang berlaku di media sosial merupakan petanda  kepada permasalahan yang lebih besar yang boleh membawa kepada permusuhan yang semakin meruncing dan berpanjangan di antara pelbagai kumpulan di negara ini.

Jika ini berlaku, ia pastinya akan menggugat perpaduan dan keharmonian hidup dalam bermasyarakat.

Kita berharap masing-masing dapat merenung kembali saranan-saranan yang dianjurkan dalam Islam berhubung adab-adab dalam berbeza pendapat.

Sesungguhnya, hubungan silaturrahim dan ukhuwwah sesama Muslim adalah satu nikmat yang sangat tinggi nilainya di sisi Islam.

Hubungan ini hendaklah dipelihara selain dari sikap berlapang dada dan saling hormat-menghormati. Ini sebenarnya bukanlah budaya yang asing lagi bagi masyarakat kita yang dahulunya terkenal dengan tatasusila dan budi pekerti yang mulia. 

Sewajarnya, kepelbagaian dan perbezaan pandangan dilihat sebagai sesuatu yang dapat memperkayakan ufuk minda dan pemikiran kita selagi mana kita menjaga adab-adab dalam berbincang dan saling menghormati.

Jika dalam interaksi kita dengan masyarakat bukan Islam pun kita mesti mempamerkan akhlak yang baik, apatah lagi dengan saudara sesama agama.

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply