Pandangan Manusia VS Pandangan Tuhan – Ustaz Kamilin Jamilin

0
846
views

Manusia sememangnya terdorong untuk mengutamakan penampilan luaran dan sentiasa ingin dilihat “indah” oleh pihak lain.

Maka tidak hairanlah industri kosmetik dan fesyen merupakan industri gergasi bernilai berbillion ringgit asetnya di seluruh dunia, kerana ramai insan yang tidak teragak-agak untuk menghabiskan ribuan ringgit hanya untuk membungakan hati sendiri dengan pujian manusia terhadap rupa dan penampilan mereka.

Mereka yang ingin dilihat “trendy” akan sentiasa menggayakan fesyen-fesyen terkini walaupun kelihatan aneh dan tidak menepati syariat.

Mereka yang ingin kelihatan kaya (walaupun sebenarnya tidak kaya) akan bangga berpakaian ala-ala korporat berhiaskan “accessories” mahal-mahal.

Mereka yang ingin kelihatan berkerjaya hebat (walaupun disiplin kerjanya hancur) pula gemar ke mana-mana berkot dan bertali leher sambil berlenggok gaya-gaya orang berpangkat.

Mereka yang sangat mencintai mana-mana tokoh yang dekat di hatinya (walaupun jauh bak bumi dan langit) pula akan cuba meniru cara pemakaian atau penampilan idolanya kerana ingin kelihatan “hebat” sepertinya.

Gambar sekadar hiasan

Begitu juga mereka yang ingin kelihatan alim dan baik-baik (walaupun sebenarnya pendusta umat) pula akan menggayakan pakaian yang mereka dan orang ramai anggap sebagai pakaian yang melambangkan sedemikian.

Justeru manusia sering terperdaya dengan aspek zahir yang ditonjolkan ini kerana sifat yang obses dengan apa yang mampu menyajikan pandangan mata atau mana-mana pancaindera lain.

Manusia yang kelihatan selekeh seringkali disangka miskin walaupun sebenarnya kaya…
Manusia yang tidak berpenampilan arab pula disangka tidak soleh mahupun alim walaupun hakikatnya sebaliknya.

Di kelas saya dahulu, seorang pelajar Yaman yang paling selekeh rupa dan penampilannya dengan serban senget-benget ala badawi dahulu itulah yang merupakan pelajar terbaik 5.00 cgpa setiap semester dan antara pelajar termulia akhlaknya..!

Kerana itu Nabi SAW menegaskan:

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ،وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُوْنَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضكُم أَلْحَن بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضِ، فَأَقْضِي لَهُ بِنَحْوِ مَا أَسْمَع، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ أَخِيْهِ شَيْئاً بِقَوْلِهِ، فَإِنَّمَا أَقْطَع لَهُ قِطْعَة مِنَ النَّارِ، فَلَا يَأْخُذها

“Sesungguhnya aku ini hanyalah manusia. Lalu kalian mengadu (tentang perselisihan suatu perkara) kepadaku dan barangkali sebahagian dari kalian lebih pandai dalam mengemukakan pendapatnya daripada yang lain, maka akanku putuskan berdasarkan apa yang aku dengar (sebagai hujah). Lalu barangsiapa yang aku putuskan (kemenangan) buatnya sedangkan dia tahu dia telah mengambil hak saudaranya dengan (kepandaiannya) berbicara, maka sesungguhnya aku telah putuskan buatnya sepotong dari api neraka, maka janganlah dia mengambilnya”

[Riwayat al-Bukhariy & Muslim].

Oleh itu kita misalnya mendapati di beberapa negara yang obses dengan artis-artis selebriti, mudah terperdaya dengan “prank” penyamaran oleh orang biasa yang berpenampilan seperti artis kesayangan mereka.

Pernah saya terlihat dalam satu video, orang yang menyamar sebagai Justin Bieber dengan dikelilingi rakan-rakannya yang menyamar kononnya sebagai “bodyguard” Justin Bieber palsu tersebut, dan beberapa rakan lain yang akan berpura-pura menjerit “Justin” di sepanjang jalan Bandar tersebut.

Dengan mudahnya satu pusat beli-belah ratusan orang segera bertempiaran lari mengekori “krew Justin Bieber” tersebut menjerit-jerit melambai-lambai sambil menangis kegembiraan tanpa menyedari ianya semua palsu lagi dusta!

Begitu jualah masyarakat kita di Malaysia, terkadang ramai yang mencari-cari pelita hidayah mahupun jalan beramal, begitu mudah terperdaya dengan “ustaz-ustaz”, “syeikh-syeikh”, “habib-habib”, “maulana-maulana” yang berketerampilan dengan imej yang mahu ditampilkan, sedangkan barangkali sebahagian mereka hakikatnya hanyalah “iblis” yang bijak membungkus diri mereka dengan balutan yang indah-indah.

Dengan sedikit imej “orang-orang soleh dan ulama arab”, disaluti dengan kalam yang dihiasi hadis-hadis walaupun palsu dan kisah-kisah ajaib tidak bersumber, serta alunan merdu apa yang disangka sebagai “zikir agama”, begitu mudah mereka ini mendapat tempat dan menjadi sanjungan masyarakat.

Sebaliknya Allah SWT pula mengutamakan aspek dalaman dan “mengikat” aspek luaran baik buruknya dengan dalaman iaitu hati.

Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى أَجْسَامِكُم ولا إِلَى صُوَرِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

“Sesungguhnya Allah tidak melihat jasad-jasad kalian, dan tidak juga melihat rupa paras kalian, bahkan Dia melihat hati dan perbuatan kalian” [Riwayat Muslim].

Kerana kesemua aspek-aspek luaran itu tidak mampu untuk mengelabui pandangan Allah Yang Maha Mengetahui…Tidaklah sama pandangan makhluk dengan pandangan Tuhannya.

Kesemua “isi” akan dikorek dari dada-dada manusia, baik yang “indah” luarannya mahupun tidak, serta dibongkar satu persatu di hari perhitungan mahsyar kelak.

Ketika itu, hanya taqwa-lah yang mampu menyelamatkan kita:

“إنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللهِ أَتقَاكُم”

Justeru tiada gunanya seseorang itu kacak atau cantik rupa parasnya, atau kaya hartanya, atau fasih lidahnya, atau mulia nasabnya, atau melimpah-limpah amalannya, atau suci imejnya yang menjadi pujian manusia, jika tidak disertai dengan hati yang BERSIH & IKHLAS.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply