Pelajar Sudan Ini Mengajar Sesuatu Yang Bermakna Kepada Gurunya – Shikin Hamid

0
13
views
Sudan childRZ
Gambar Sekadar Hiasan

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Setiap apa yang diberinya, pasti punya hikmah dan pengajaran. Sungguh, pelbagai sejarah telah termaktub dalam kitabNya, supaya ummat yang kemudian dapat menangguk pengajaran untuk menjalani kehidupan yang lebih diredhai.

Mua’llim, atau guru dalam kehidupan datang dalam pelbagai rupa. Mereka datang dalam kehidupan kita dalam sedar mahupun tidak.

Namun begitu, mereka hanya akan menjadi manusia biasa yang datang dan pergi andai kita gagal mencari makna asbab kehadiran mereka dalam kehidupan kita.

Ingin saya kongsikan kisah seorang mua’llim berkulit hitam. Beliau seorang pelajar biasa yang bersekolah dimana saya ditempatkan sebagai guru sandaran atau KGSK pada suatu ketika dahulu.

Anak kelahiran Sudan. Ayahnya melanjutkan pengajian di peringkat Phd di salah sebuah universiti antarabangsa berhampiran.

Mereka telah menetap sekitar dua tahun lebih di Negara beriklim tropika ini dan anak yang bernama Ahmad ini dihantar oleh ayahnya, ke sekolah kerajaan tempatan untuk belajar bermasyarakat dengan rakyat berbilang kaum di bumi bertuah ini.

Masih jelas dalam memori, imbasan figura anak ini. Kulitanya dua kali lebih gelap daripada saudara berketurunan india di bumi bertuah ini. Bahasa melayunya sungguh fasih, seperti pertuturan anak pribumi lagaknya. Lasak juga anak kelahiran Sudan ini.

Kacamatanya patah sebelah dibahagian pemegang telinganya. Hanya sebatang sahaja yang tinggal tersangkut ditelinga kirinya dan bahagian kacamatanya hanya bergantung sepenuhnya pada pautan hidung lepernya. Beg galas sekolahnya? Putus sebelah.

Seragam putih sekolahnya pula, pasti akan kotor sehabis jam persekolahan. Bergitulah gambaran anak bernama Ahmad ini, yang masih terpatri dalam memori saya ini.

Sering Diejek Dan Dibuli

Hitam. Adalah perkataan yang dibencinya. Perkataan yang meniti di bibir-bibir pembuli tegar yang rata-ratannya berbangsa melayu ketika itu.

Pasti akan ada pergaduhan yang melibatkan Ahmad, seandainya perkataan ini disebut berkali-kali. Setiap hari dan setiap kali berada di dalam kelas beliau, telinga saya berdesing dengan ajukan ini.

Iya, sebagai seorang guru saya pernah menegur dengan bergitu serius kepada rakan-rakan sekelas Ahmad yang saya lihat, kerap memulaukan beliau. Alasan mereka, Ahmad terlalu kasar dan tidak sesuai dibuat kawan. Saya buntu, kerana Ahmad juga tidak mahu bergaul dengan kumpulan ini.

Acap kali anak malang ini bertindak diluar batasan, menumbuk si ‘celupar’ yang masih ‘meng-hitam-kan’ beliau. Namun, saya lihat suatu peistiwa yang bergitu pelik. Perbuatan yang kerap dilakukan oleh Ahmad.

Tatkala serangan balas mula berputik, beliau akan duduk menutup kepalanya seperti ketakutan, dan melungkan ayat-ayat Al-Quran yang dihafaznya.

Semua yang sudah bangun mengenggam buku lima, membatalkan niat untuk memukulnya, namun beredar dengan lirikan tajam. Pelik. Oleh kerana telah beberapa kali saya melihat insiden ini, saya mula jadi biasa dengannya.

Apabila terdengar beliau melantunkan ayat-ayat bacaan dengan nyaring, maka saya tahu, beliau baru sahaja melancarkan serangan balas kepada si ‘celupar’ yang malang.

Dan saya tahu, ada yang mungkin memukul beliau, tetapi serangan tidak akan mencederakan dan biasanya ramai yang beredar, membatalkan niat walaupun marah.

Tertawa hati ini. Namun diketika hampir tamat berkhidmat di sekolah tersebut, saya memanggil Ahmad dan berbual-bual dengannya. Tentang adik beradik dan keluarganya, cita-citanya dan kehidupannya.

Lantas, terlantun pertanyaan tentang mengapa beliau membaca ayat-ayat suci AlQuran selepas menyerang pembuli setianya di dalam kelas.

Katanya;  “Kalau saya baca ayat Al-Quran, Allah pasti lindung saya. Saya selamat,” tuturnya yakin. Seusai kelas hingga saya ke bilik guru, jawapan ini terngiang-ngiang difikiran saya…

Selalu saya melihat Ahmad seperti anak yang agak naif. Cuba untuk melindunginya walaupun bukan pada setiap masa, kerana punya tuntutan mengajar di kelas yang lain.

Namun melihat keyakinannya kepada Allah, saya terlihat pula kenaifan diri sendiri. Benar, dia pelajar saya. Namun hari ini Allah hantar beliau, menjadi mu’allim saya… Allahuakbar~

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply