Pelajaran Dari Perang Tabuk : Mengurus Konflik Dengan Hikmah – Fakhrur Radzi

0
173
views

Alangkah cepatnya hidup ini. Berganti dari satu warna ke warna yang lain.

Seperti suasana di Madinah saat itu. Baru sahaja Rasulullah dan kaum Muslimin pulang dari Makkah membawa kemenangan, kesulitan yang baru sudah mendatang.

hikayat-ilustrasi

Rasanya belum begitu lama mereka menikmati kemenangan itu. Saat sepuluh ribu pasukan Muslim menaklukkan Makkah tanpa pertumpahan darah (Fathul Makkah).

Saat Rasulullah menunduk syukur; rendah dan sangat tawaduk sebagai tanda syukur mendalam kepada Allah. Saat itu manusia berbondong-bondong masuk Islam.

Segala kenangan pahit yang mendera Baginda dan kaum Muslimin seakan sirna semuanya. Ada banyak memori dan luka-luka lama yang membekas; disiksa, dipulaukan, namun semuanya seakan hilang setelah Fathul Makkah.

Sesudah itu semua, kebahagiaan menyelimuti kehidupan kaum Muslimin.

Tetapi sekali lagi, alangkah cepatnya waktu berjalan. Di tengah suasana bahagia itu, sebuah ancaman baru seolah cemburu dan mengintai peluang.

Ancaman kali ini datang dari Rom yang mempunyai kekuatan ketenteraan terhebat di dunia pada zaman itu. Suasana kembali mencengkam.

Di tambah pula dengan informasi yang tiba di Madinah mengatakan Rom datang dengan suatu ketumbukan yang besar, 40 ribu tentera, belum lagi dikira bantuan dari suku Arab Ghassan.

perang

Dalam setiap kesulitan harus ada sikap. Dalam segala kepahitan harus ada keputusan. Adakah menghadapi kesulitan itu, atau membiarkan kesulitan itu melibas apa saja.

Itulah yang kemudiannya dilakukan Rasulullah. Setelah mengkaji secara mendalam, akhirnya Baginda memutuskan secara tekad untuk menentang Rom.

Membiarkan Rom menghampiri Madinah sangat tidak strategik, ditambah dengan keadaan masih ramai orang-orang muallaf yang masih tidak kukuh imannya.

Rasul segera mengumumkan kepada seluruh kaum muslimin, untuk bersiap menghadapi Rom. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelumnya; Baginda mengumumkan secara langsung untuk berperang.
Strategi Rasul kali ini tidak lain untuk meningkatkan semangat juang para sahabat kerana meraka berada di posisi menyerang bukan duduk bertahan di dalam Madinah.

Maka berlumba-lumbalah kaum Muslimin seluruhnya mengumpul bekal, mempersiap kendiri bagi menyertai ekspidisi ini.

30 ribu tentera menuju Tabuk dalam suasana yang sulit. Cuaca sangat panas, musim kering yang sangat memerah keringat fizikal. Terlalu sukar. Perjalanan panjang yang sangat melelahkan.

omar_ramadan

Setibanya di Tabuk, kaum Muslimin bertahan dan membina perkhemahan selama 20 hari di sana. Semangat jihad mereka berkobar-kobar.

Sementara itu, di pihak Rom, setelah mengetahui kemaraan tentera Islam, moral mereka jatuh serta-merta. Akhirnya Rom tidak jadi menyerang tentera Islam. Rom justeru ketakutan.

Kabilah-kabilah Arab yang sebelum ini memihak Rom, berbondong-bondong membuat perjanjian damai dengan Rasulullah. Tentera Islam kembali tenang dan gembira.

Begitulah sunnah kehidupan.

Perang Tabuk hanyalah salah satu contoh, segalanya boleh berubah dalam satu tempoh masa yang kita tak jangka.

Sebelum berarak menuju Tabuk, masing-masing diselubungi risau dan waspada. Bukan kerana lemah iman mereka, tapi yang difikirkan tentang kelangsungan agama ini di atas muka bumi.

Terus, tiba sahaja di Tabuk beberapa ketika, langsung hilang kerisauan tersebut; Rom tak jadi menyerang. Dan memang begitulah kehidupan. Silih berganti.

Tidak selamanya kabus kesedihan menutup sinaran kebahagiaan. Sepekat apa sekalipun gelap malam, tetap jua fajar mentari mengambil tempat.

Hidup hanyalah pergiliran. Sukar berganti mudah. Sulit menanti senang. Persoalannya bagaimana kita menghadapi situasi saat itu.

Maka dari Tabuk kita belajar banyak hal. Antara yang penting untuk dicatat, bahawa sekuat mana badai dan goncangan ribut kesulitan melanda, tidak patut ia merosak jati diri seorang mukmin.
Seorang mukmin itu, tahu benar akan maksud sebuah kesulitan.
Bagaimana sekalipun sesebuah kesusahan itu membelit jerut leher kita, tetap juga kita terus bertahan dan sabar. Adakalanya kesulitan itu merugikan kita di suatu sudut.
Tetapi jangan pula kita tambah kerugian dengan tidak mengurusnya dengan hikmah.
Kematian ahli keluarga yang tercinta, tentu sahaja meragut rasa bahagia apabila mengetahui kita tidak lagi dapat memadu mesra dengannya, tetapi jangan sekali diratapi pemergiaan sehingga terabai tugas dan tanggungjawab harian.

Kepada Allah lah kita mohon kekuatan dan ketahanan. Dengan solat dan sabar pada tahap tawakkal tertinggi. Lalu dengan usaha terbaik kita cuba rungkai satu persatu belitan masalah dan kesulitan itu.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply