Pendakwah yang tertipu – Fakhrur Radzi

0
719
views
Gambar sekadar hiasan

Seorang pendakwah, pada asasnya sentiasa sibuk. Sibuk dalam dua jenis kesibukan.

Sama ada sedang sibuk memperbaiki diri sendiri atau sedang sibuk menguruskan perihal dakwah.

Kerana dua kesibukan ini, seorang pendakwah itu tidak harus mempunyai masa lapang yang disiakan dengan aktiviti lagha bahkan yang lebih teruk maksiat.

Oleh itu seringkali kita dengarkan kata-kata hikmah yang cukup popular, yang disampaikan oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyah;

“Jika dirimu tidak disibukkan dengan hal-hal yang baik, pasti akan disibukkan dengan hal-hal yang batil”

Agar seorang pendakwah itu sentiasa terisi masanya dengan perkara yang membangunkan potensi, maka harus ada perancangan rapi bagi setiap fasa kehidupan.

Perancanan jangka masa pendek, sederhana malah harus sampai ke akhir hayat.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hasyr.

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok; dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”

(Al-Hasyr: 18)

Walaubagaimanapun, kedua-dua kesibukan ini harus diimbangi neracanya.

Jangan sampai mengembangkan potensi diri sampai lupa untuk berdakwah kepada masyarakat.

Atau yang lebih buruk, apabila terlalu sibuk ingin memperbetulkan masyarakat sampai tiada masa untuk memperbetulkan diri sendiri.

Hal ini lebih merbahaya kerana dibimbangi usaha membimbing masyarakat menjadi terpesong kerana kurangnya perhatian dan masa yang diperuntukkan untuk menambahbaik diri.

Memperbaiki diri harus secara holistic meliputi semua aspek.

Selain amalan rohani yang menjadi makanan jiwa, akal dan minda juga memerlukan zat yang secukupnya untuk berfunsi dengan baik.

Makanan bagi minda adalah ilmu dan membaca adalah simbol kepada keilmuan.

Oleh itu, membaca seharusnya menjadi rutin harian para pendakwah.

Kerana selain menambah ilmu pengetahuan, membaca juga adalah alat untuk mengasah pemikiran supaya menjadi lebih kritis.

Sekiranya pendakwah malas membaca, pemikiran mereka akan menjadi sempit dan terbatas.

Akhirnya nasihat atau ceramah yang diberikan hanya berulang konten yang sama dan membosankan.

Lebih merosakkan adalah, apabila pendakwah itu menjadi sumber rujukan utama masyarakat berkaitan isu agama, dalam keadaan pendakwah itu tidak benar-benar mantap dari sudut keilmuannya kerana kurangnya membaca.

Pendakwah yang tidak membaca juga akan mudah menghukum masyarakat.

Ini kerana pada pandangannya dirinya lebih baik dan lebih banyak ilmu berbanding masyarakat.

Pendakwah sebegini sebenarnya hanya tertipu dengan gelaran pendakwah yang diberikan kepadanya.

Alangkah malangnya mereka yang bergelar pendakwah tetapi tertipu dengan diri sendiri. Untuk itu jangan sesekali merasakan diri telah sempurna.

Jangan pernah jemu dan merasa puas untuk menambah ilmu. Bacalah buku sebanyaknya kerana tidak ada orang di dalam dunia ini yang tahu tentang segala-galanya.

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply