Pengorbanan Yang Memerdekakan – Fadhli Othman

0
332
views

ALLAHUAKBAR (7X)

Berkumandang takbir serata pelosok dunia. Dhuyufurrahman menjadi tetamu Allah yang paling istimewa. Peristiwa wuquf di Arafah merupakan mercu tanda ke atas ibadah Haji yang dikerjakan.

Itulah pengorbanan mereka sepanjang menjadi tetamuNya.Sabdaan Rasulullah pula menjanjikan mereka keluar dari Tanah Halal dengan penuh suci tanpa dosa.

Peristiwa Eiduladha tidak lain tidak bukan dikaitkan dengan pengorbanan Nabi allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail.

Peristiwa korban dalam mentaati perintah Allah bukan sekadar menyembelih anak sendiri tetapi mempunyai mesej yang tersendiri.

Pengorbanan seorang ayah dan anak menjadikan kekasih Allah ini menjadi sumber motivasi kepada ummah.

Kewibawaan seorang ayah mentaati perintah Allah dan kepintaran seorang anak dalam mengabdikan diri padaNya cukup membuktikan kemerdekaan dalam diri seseorang insan.

Kemerdekaan dan pengorbanan tidak dapat tidak dipisahkan.

Tanpa pengorbanan seseorang itu tidak akan dapat keluar dari kebelengguan dan kebebasan tidak dapat di capai.

Kisah Nabi ibrahim dan anaknya Nabi Ismail telah memberi inspirasi kepada kita bahawa untuk memerdekakan diri perlu membangunkan 3 perkara yang utama.

Barulah pengorbanan dapat dilaksanakan dengan rela dan kemerdekaan digapai dengan penuh cita.

Pembangunan INTELEKTUAL

Pengorbanan tidak semudah dilafazkan. Tanpa pembangunan intelektual dari diri dan mental, seseorang tidak dapat laksanakan pengorbanan.

Pembangunan intelektual perlulah di dirikan dari ketaatan kepada Allah. Ketaatan kepada Allah dilaksanakan bukan untuk Allah.

Namun ketaatan ini akan dibalikkan kembali ganjarannya pada hambaNya telus, jujur dan amanah dalam mengerjakan suruhan.

Nabi Ibrahim dan nabi Ismail seorang manusia seperti kita. Tetapi diberi kelebihan oleh Allah diangkat menjadi Nabi.

Walaubagaimanapun mereka tetap mentaati Allah. Dengan taati Allah segala ujian dan suruhan dapat dilaksanakan dengan penuh kewarasan dan ketaqwaan.

Bertanya pada diri kita. Mengapa kita sukar menyerah diri. Di mana intelektual kita. Sedangkan kita yang dicipta oleh Pencipta.

Sedangkan Nabi Ibrahim dan anaknya yang status seorang Nabi boleh taat mengapa kita tidak ?

Dek kerana itu, intelektual kita rendah dan akhirnya segala ujian dan cabaran tidak dapat kita tempuhi. Maka untuk bangunkan intelektual, jangan sesekali mengendahkan arahan Allah.

Pembangunan EMOSI

Nabi Ibrahim dikurniakan anak pada usia perkahwinan yang telah lanjut. Pada ketika itu pula, kekasih Allah ini mendapat arahan agar mengorbankan anaknya Nabi Ismail. Bagaimana perasaan seorang ayah ketika itu ?

Nabi Ismail pula ketika itu seorang anak yang disayangi dan sosok pemuda yang menjadi harapan keluarga. Tapi apakan daya, arahan Allah pada ayahnya perlu di taati.

Ini semua bermain dengan emosi. Tergamakkah seorang ayah menyembelih anaknya dan apakah respon anak ini untuk disembelih oleh bapa sendiri.

Allah telah mendidik emosi dua peribadi ini sejak dari awal lagi. Penyerahan jiwa yang total kepada Allah menghasilkan pembangunan EMOSI yang utuh.

Allah berfirman dalam surah AsSoffat ayat 102

قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِين

Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

Sabar merupakan antara emosi yang tertinggi dalam diri manusia. Inilah kesan dari pembangunan Emosi yang berpaksikan keimanan.

Allah menganugerahkan Emosi yang dapat stabilkan jiwa dalam kesusahan dan kepayahan dalam mengharungi kehidupan fana’.

Pembangunan Sahsiah

Intelektual dan Emosi memainkan tunjang utama dalam mendirikan sahsiah yang mantap. Tanpa intelektual dan emosi sahsiah akan terumbang ambing entah ke mana.

Jika salah satu tidak stabil akan mengundang kelopongan di sana. Lihat sahaja mereka yang mempunyai intelektual yang tinggi tetapi kosong emosi, penyelewengan dan korupsi akan berlaku.

Kebobrokan dan kerosakan mudah bermaharajalela. Kesannya akan dirasai oleh mereka di sekeliling.

Apa pula yang berlaku jika Emosi menguasai jiwa ? Maka berlakulah ketaasuban pada sesuatu perkara.

Tanpa berfikir panjang, sokong membabi buta, ikut apa yang diperkata tanpa memikir apa yang akan dirasa.

Pembangunan Sahsiah sangat penting dalam meraih kemerdekaan. Sahsiah yang utuh menjadikan pengorbanan yang dilakukan terasa ringan dan tiada kepayahan.

Emosi Positif akan melahirkan sahsiah yang positif. Begitulah Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail. Sikap positif mereka membuatkan mereka berkelakuan positif.

Allah bersama sangkaan hambaNya. Intelektual yang mantap, emosi yang stabil dapat melahirkan sahsiah yang positif.

Bersangka baik dengan Allah akan menjadikan kita insan yang bersyukur dan bersabar.

Lihat sahaja pengakhiran kisah Nabi Ibrahim, Allah tukarkan anaknya dengan Qibash. Ini semua kerana pemikiran yang waras, emosi yang kukuh dan sahsiah yang utuh.

Maka pengabdian berlaku dengan penuh penyerahan pada Allah

Maka kemerdekaan akan menjelma dalam diri. Kemerdekaan yang dimaksudkan adalah dapat keluar dari kongkongan selain Allah.

Kemerdekaan ini menyebabkan kebergantungan pada Allah semakin kuat. Oleh kerana itu segala pengorbanan pasti manis rasanya.

Inilah matlamat kemerdekaan dalam jiwa. Pengorbanan yang dijalan berteraskan 3 pembangunan yang perlu dibina dari awal lagi.

Demi meletakkan diri benar benar merdeka.

Ayuh, merdekakan jiwa. Semarakkan pengorbanan. Bangunkan Intelektual, emosi dan sahsiah agar kita menjadi hambaNya yang terus meraih KEMERDEKAAN

MOHD FADHLI BIN OTHMAN
PENULIS PENA SYARIAH

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Cikgu Fadhli merupakan seorang guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah rendah di Johor. Selain menjalankan tugas sebagai seorang guru, cikgu Fadhli juga merupakan seorang pendakwah bebas serta persona Best Belajar. Pada tahun 2016, cikgu Fadhli telah melebarkan sayapnya ke bidang penulisan dengan terbitnya buku ‘Sisi Terlindung’ yang menghimpunkan hasil idea barisan pena syariah berkaitan pandangan mereka tentang isu-isu agama, ilmiah, kemasyarakatan dan isu-isu semasa.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply