Pengurusan Kewangan

4
4,339
views

pengurusan kewangan

Salam alayk!

 

Alhamdulillah, ini merupakan nukilan pertama saya di QuranicGen.com. Penulisan ini dilakukan pada 2.30 pagi Sabtu, beberapa jam sebelum sesi Let’s Beb! saya yang akan berlangsung pada 8.30 pagi insyaAllah. Kuasa adrenalin dan Pokka Premium Milk Coffee banyak membantu dalam membulatkan mata saya sedangkan sang otak merayu-rayu untuk ditekan butang ‘shutdown’. Maka saya ingin mencuri peluang ini untuk menulis serba sedikit mengenai pengurusan kewangan insyaAllah.

 

Pertama sekali, saya perlu menegaskan bahwa anda tidak akan menemui sebarang tips menambah kekayaan apatah lagi skim cepat kaya ataupun teknik-teknik pelaburan saham dalam artikel ini (barangkali ada dalam artikel seterusnya dengan izinNya. Wallahua’lam). Sebaliknya fokus saya kali ini adalah tips pengurusan kewangan insyaAllah. Pengurusan kewangan adalah sangat penting kerana ia menjadi pemisah antara individu yang memiliki ‘financial freedom’ dengan individu yang sebaliknya.

 

1) Saya tak kisah saiz pendapatan anda

 

Benar.

 

Saiz pendapatan bulanan anda tidak penting sama sekali. Anda mungkin seorang pelajar tajaan JPA yang memperoleh Rm 1,200 sebulan ataupun seorang pelajar tajaan Bank Negara yang memperoleh Rm 2,000 sebulan. Boleh jadi juga anda adalah seorang pelajar yang bekerja secara sambilan dan berpendapatan Rm 900 sebulan. Malah anda barangkali seorang pekerja sepenuh masa yang gaji bulanannya adalah Rm 20,000 sebulan. Ianya tidak penting. Sungguh.

 

Perkara utamanya adalah saiz pendapatan bersih anda. Anda boleh bergaji lebih daripada Rm 50,000 sebulan tetapi sekiranya pendapatan bersih anda hanya Rm 300 sebulan maka ianya kurang bermakna. Manakala, sekiranya gaji anda hanya Rm 1,000 tetapi pendapatan bersih anda adalah Rm 900, maka itu adalah jauh lebih bermanfaat insyaAllah. Pendapatan bersih yang saya maksudkan dalam konteks artikel ini adalah baki pendapatan anda setelah ditolak keperluan asas seperti kos kediaman, pengangkutan dan makanan.

 

Kebanyakan daripada kita memiliki hutang walau sedikit. Para pelajar mungkin berhutang dari segi PTPTN atau kontrak tajaan. Pekerja-pekerja pula mengambil pinjaman atas tujuan pembelian kereta atau rumah. Seperti sedia maklum, hutang wajib dilunaskan. Lebih cepat kita selesaikan, lebih bagus terutamanya hutang yang melibatkan riba’.

 

Kepada para pelajar, apabila anda memilih pekerjaan, pilihlah yang membenarkan anda melunaskan hutang anda secepat mungkin. Contohnya satu kerja itu menawarkan gaji bulanan sebanyak Rm 1,200 sebulan beserta kediaman berdekatan pejabat dan makanan tiga kali sehari. Purata pendapatan bersih anda adalah Rm 1,100 kerana tiada kos kediaman, makanan dan pengangkutan. Manakala pekerjaan lagi satu pula menawarkan gaji bulanan sebanyak Rm 1,500 sebulan tetapi tiada tawaran tambahan sekaligus menjadikan purata pendapatan anda kurang daripada Rm 400 sebulan. Maka saya galakkan anda mengambil pekerjaan yang pertama.

 

Melalui cara ini, anda akan memperoleh Rm 1,100 sebulan insyaAllah. Maka itulah tips mengurus kewangan yang pertama. Ia bermula dengan pilihan yang tepat!

 

Rancanglah dengan teliti. Kaji dengan teliti kos-kos pengangkutan ke kelas atau pejabat VS. kos menyewa rumah yang lebih dekat. Usaha gigih untuk mengurangkan perbelanjaan bagi keperluan asas dan maksimakan pendapatan bersih anda. Ini termasuk merancang tempat belajar dan bekerja anda insyaAllah. Hal ini penting kerana ada banyak perkara yang jauh lebih penting buat kita duat daripada status universiti atau syarikat yang gah.

 

2) Dokumentasikan aliran kewangan anda

 

Katakanlah anda benar-benar memperoleh pendapatan bersih sebanyak Rm 1,100 sebulan. Apa yang anda lakukan dengan wang ini adalah atas kehendak anda sendiri. Anda bebas menggunakannya dengan apa cara sekalipun yang dimahukan. Bagi saya, inilah definisi ‘financial freedom’ iaitu kebebasan kewangan. Kita berhak memilih ke mana dan untuk apa wang itu disalurkan.

 

Kita selaku daie pasti ada tanggungjawab-tanggungjawab besar di jalan dakwah. Perjuangan ini menuntut kita berkorban jiwa dan harta. Pengorbanan yang bukan calang-calang. Oleh kerana itulah penekanan perlu diberikan kepada memaksimakan saiz pendapatan bersih. Moga dengannya kita mampu menginfaq segala harta kita di jalan juang yang mulia!

 

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh membenarkan keghairahan beramal mengatasi keutamaan gerak kerja yang sistematik. Kita perlu membuat perencanaan dan pendokumentasian yang kemas. Aliran kewangan kita seharusnya berada dalam pemantauan kita bagi memastikan tiada penyelewengan dan kezaliman dilakukan.

 

Apps yang saya gunakan adalah Toshl Finance. Anda boleh cari dan installnya dari Store. Penggunaan apps ini membolehkan anda membuat entri keluar masuk duit dari dompet. Antara aspek yang saya suka mengenai Toshl Finance adalah ia boleh diakses melalui Toshl.com. Kebanyakan masa saya dihabiskan di hadapan komputer dan sebahagian besar aliran kewangan saya adalah melalui transaksi online. Oleh itu, akses melalui website di komputer memudahkan gerak kerja saya Alhamdulillah. Penggunaannya mudah difahami dan tidak memerlukan sebarang asas dalam bidang perakaunan Alhamdulillah.

 

Melalui pendokumentasian aliran kewangan anda, insyaAllah skil pengurusan kewangan anda akan melonjak. Anda boleh menilai ke mana pendapatan bersih anda pergi dan sekiranya perlu, anda boleh mengubah strategi pada bulan hadapan mengikut kesesuaian gerak kerja dakwah anda.

 

Misalnya, akhir bulan ini anda menyemak aliran kewangan anda di Toshl Finance dan anda mendapati terlalu banyak wang anda pergi kepada memenuhkan perut anak usrah anda. Sedangkan pada bulan tersebut anda mendapati jiran rumah anda lebih memerlukan bantuan kewangan anda. Maka, bolehlah anda mengubah taktik anda pada bulan hadapan kemudian sekali lagi menilainya pada akhir bulan. Cara ini akan membuat anda lebih peka terhadap kondisi kewangan anda sekaligus memastikan setiap sen yang keluar itu benar-benar dimanfaatkan untuk berjihad insyaAllah!

 

Jom cuba Toshl Finance!

 

3) Pelaburan aset pengalaman

 

Bak kata orang tua-tua, jauh perjalanan luas pemandangan.

 

Pendapatan bersih yang besar membolehkan anda melabur dalam aset pengalaman dan pengetahuan anda. Ia merupakan sebahagian daripada pembentukan peribadi anda dalam proses menjadi seorang Daie yang berkebolehan dan matang. Dua cadangan saya adalah menghadiri konferens atau kelas-kelas tambahan dan merantau.

 

Merantau di bumi orang walau sehari sahaja akan memberi impak yang besar kepada seseorang insyaAllah. Secara semulajadi, anda akan merasa lebih bebas dan berkeyakinan tinggi. Saya tiada penjelasan secara saintifik berkenaan ini tetapi berdasarkan pengalaman saya sendiri, ianya benar. Bila anda berada di bumi asing, banyak perkara baru yang anda boleh pelajari. Salah satu pelajaran pertama anda adalah: Wujudnya manusia selain rakyat Malaysia.

 

Jangan gelak. Saya jujur mengenai pelajaran pertama itu. Boleh dikatakan ia merupakan antara pengajaran yang paling bermanfaat. Hal ini adalah kerana anda akan merasa betapa Islam itu meraikan kepelbagaian bangsa dan adat. Pada masa yang sama, anda juga akan takjub apabila memikirkan titik peluh para Sahabat dalam menyampaikan risalah Islam ke setiap ceruk Dunia. Apatah lagi hendak memikirkan hasil usaha mereka membawa kepada 1.57 bilion penganut agama Islam seluruh Dunia sekarang.

 

Bagi menggalakkan anda untuk merantau, saya sertakan kos tiket penerbangan pergi-balik menggunakan khidmat AirAsia (tambang murah) ke beberapa negara pada akhir tahun 2014 ini:

 

Bangkok, Thailand: Rm 218.00

Jakarta, Indonesia: Rm 263.00

Osaka, Jepun: Rm 807.00

Seoul, Korea: Rm 1,164.00

Sydney, Australia: Rm 1,731.00
Tak nampak mustahil sangat kan insyaAllah? Penginapan dan makan minum? Ikhwah akhawat kan hadooo!

 

 

Maaf sekiranya ini bukan tips mengurus kewangan yang anda cari selama ini. Hanyalah cadangan daripada saya yang marhaen. Saya bukanlah seseorang yang memiliki pendapatan bersih melebihi Rm 10,000 sebulan. Malah, saya tiada gaji pun! Namun begitu, Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan kemudahan menukilkan perkongsian ini buat anda. Ia suatu penghargaan bagi.

 

Walau apa jua yang anda lakukan dengan wang anda, moga ianya diredhai Allah SWT!

 

Selamat beramal!

 

P.s. Sila kongsi di ruangan komen cadangan topik anda atau ajukan sebarang pertanyaan yang timbul.

 

***

 

Afiq Sazlan.

Penulis di HAS Publications.

Artikel Yang Berkaitan:

4 COMMENTS

  1. Assalamualaikum. Saya berminat utk menganjurkan talk bertemakan pengurusan kewangan dikalangan pelajar univesiti dan sy memerlukan beberapa cadangan speaker yg bersesuaian utk menyampaikan talk tersebut. Mohon bantuaannya.

Leave a Reply to siti hazreen Cancel reply