Pengurusan Usrah vs Pengurusan Pertemuan Usrah

0
190
views

 

Sejak diperkenalkan pada tahun 1943 oleh Hasan alBanna melalui Ikhwan alMuslimin, Sistem Usrah telah makin kemas dan efektif.

Ia juga sudah makin terkenal hingga menyebabkan sesetengah majlis ilmu diberi nama Usrah, tanpa merujuk kepada sifat asal Usrah seperti yang dimahukan oleh pereka Usrah itu sendiri. Sama ada itu memberi kesan buruk ataupun baik, saya serahkan kepada masing-masing.

Apa yang pasti kita dapat lihat bahawa Sistem Usrah (dengan sifatnya yang asal) telah terbukti membawa manfaat besar melalui siri peristiwa penting dalam sejarah manusia.

Sebagai contoh, peristiwa Kejatuhan Soeharto 1998 dan Kebangkitan Arab 2011. Dari sudut yang lebih membumi pula, Usrah telah banyak menukar cara hidup ramai orang.

Walaupun begitu, tidak cukup membuktikan keberhasilan Usrah melalui peristiwa di masa dan tempat lain. Kita sendiri perlu membuktikan keberhasilan Usrah di masa dan tempat kita sendiri.

Mengurus Usrah vs Mengurus Pertemuan Usrah

Kadang-kala, kita terkeliru antara menguruskan sebuah Usrah dan menguruskan sebuah pertemuan Usrah.

Untuk faham apakah beza keduanya, elok kita kembali kepada sifat asal Usrah.

Hakikat yang mengikat sebuah Usrah ialah Ukhuwwah antara ahlinya dalam tiga tingkatan; kenal mendalam, sefahaman, dan bantu membantu. Jadilah mereka kawan sejati ibarat sebuah keluarga.

 

‘Friends are the family we choose for ourselves’

 

Ketika ahli usrah tidak bertemu sesama mereka, mereka tetap sedang berusrah kerana faktor masa dan geografi (sama ada jaraknya hanya dua bilik dalam rumah yang sama, ataupun dua negara antara benua) tidak menjadi penghalang.

Seorang anak yang belajar di luar negara masih seorang anak kepada ibunya. Seorang adik masih lagi seorang adik-beradik kepada abangnya yang belajar di sekolah asrama.

Begitulah hakikat sebuah keluarga. Masa dan jarak tidak menyebabkan terputusnya nasab seorang anak kepada ibu bapa.

Usrah juga begitu. Tamatnya waktu pertemuan Usrah tidak memutuskan nasab seorang ahli Usrah dengan yang lain.

Usrah ada maknanya yang luas, dan pertemuan Usrah hanyalah temujanji dalam sela waktu yang terbatas.

Usrah ada hubungannya yang berterusan, dan pertemuan Usrah hanyalah peluang untuk mengukuhkan hubungan tersebut.

Dinamik Usrah

Ada di antara kita yang berasa bosan dengan Usrah. Bila diteliti, wajiblah berasa bosan dengan Usrah kerana aktivitinya hanya pertemuan sekali minggu.

Bayangkan sebuah keluarga yang aktivitinya hanyalah makan bersama sekali setiap minggu. Sudah tentu itu keluarga yang bosan.

Sebuah keluarga yang best mestilah pergi jalan-jalan, berkongsi masalah, bertanya pandangan, tengok tv bersama, solat jamaah bersama, sesekali bergaduh, dan sebagainya.

Mengapa Usrah tidak dinamik hingga kita berasa bosan?

Sebab ahli Usrah hanya fokuskan pada pengurusan pertemuan Usrah dan meninggalkan pengurusan Usrah itu sendiri.

Usrah adalah tempat kita merancang apa projek bersama hingga boleh jadi satu team,
tempat kita “curi” kelebihan skill ahli usrah yang lain,
tempat kita baiki kelemahan kita,
tempat kita belajar berkomunikasi dan kepimpinan,
tempat kita kenal ilmu kemanusiaan,
tempat kita belajar menganalisa data,
tempat kita bincang mana mana nak selesaikan masalah zina dan anak yatim,
tempat kita belajar cara analisa ekonomi dan politik,
tempat kita belajar mengurus kepelbagaian,
tempat kita bantu dia bila dia sedang down,
tempat kita bantu bila belajar dia menurun,
tempat kita tanyakan pandangan tentang perkahwinan dan rumahtangga kita,
tempat kita mendaki gunung bersama,
tempat kita tidur bersama,
tempat kita membelanja dan dibelanja, dan sebagainya.

Kalau masih ada diantara kita yang bosan dengan Usrah, kembalilah pada persoalan ini :

Kita ini mengurus sebuah Usrah atau hanya mengurus sebuah pertemuan Usrah?

 

Ammar Roslizar
elbaeraqy.wordpress.com

Artikel Berkaitan :

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply