Peperangan di Aleppo : Orang Awam Ditembak Serta Merta, Lapor PBB – Hafizah Abdul Kadir

0
53
views

un013172

Umum telah mengetahui bahawa Aleppo merupakan sebuah bandaraya terpenting di Syria dan telah diiktiraf sebagai kawasan bersejarah di dunia oleh UNESCO. Namun, adalah amat memilukan apabila hari ini dunia sedang menyaksikan kekejaman yang tidak henti-henti berlaku di Aleppo.

PBB melaporkan bahawa ramai penduduk Aleppo yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak telah ditembak serta merta di dalam rumah dan jalanan. Gambaran Terkini bandar Aleppo adalah amat mengerikan di mana, terdapat banyak mayat bergelimpangan di merata tempat. Sekutu kerajaan Syria, Rusia, telah menolak cadangan gencatan senjata kemanusiaan dengan alasan bahawa semua itu adalah angkara pengganas (kumpulan pemberontak).

Pada hari Selasa beru-baru ini, wakil kumpulan pemberontak memberitahu bahawa satu perjanjian telah dicapai. Perjanjian itu adalah mengenai pemindahan orang awam dan pejuang dari kawasan kepungan, tetapi tiada sebarang pengesahan daripada kerajaan Syria atau Rusia pada waktu itu.

Apakah yang sedang berlaku di kawasan pemberontak tersebut?

82 orang awam dilaporkan telah dibunuh oleh tentera pro-kerajaan, di mana 11 adalah wanita dan 13 kanak-kanak, dan angka kematian mungkin lebih daripada itu. Banyak mayat terbaring di jalanan dan menyedihkan, penduduk tidak dapat mengambil mayat-mayat tersebut oleh kerana takut akan ditembak dan pengeboman yang bertalu-talu.

Terdapat 100 kanak-kanak (atau mungkin lebih) yang berseorangan atau terpisah dari keluarga mereka, terperangkap di dalam bangunan akibat serangan di timur Aleppo. Menurut salah seorang jurucakap White Helmets, iaitu kumpulan sukarelawan penyelamat, 90% daripada peralatan mereka tidak dapat berfungsi dan di kawasan kepungan hanya terdapat satu unit perubatan yang masih beroperasi. Sukarelawan hanya menggunakan tangan untuk menarik mangsa-mangsa keluar dari runtuhan. Tidak semua mangsa dapat dikeluarkan.

Mesej terakhir dari Aleppo.

Beberapa jam yang lalu dan sehingga kini, media sosial dihujani dengan beberapa video dan status twitter ‘mesej terakhir’ oleh penduduk Aleppo.

160504131831-aleppo-burning-exlarge-169

Antaranya adalah daripada aktivis Lina Shamy:

“Manusia di seluruh dunia, usah tidur! Anda boleh lakukan sesuatu, bantah sekarang! Hentikan pembunuhan beramai-ramai!”,

Bana Alabed, 7 tahun: “Saya bercakap kepada dunia secara langsung dari timur #Aleppo. Ini mungkin masa terakhir saya untuk sama ada terus secara langsung atau mati.”,

White Helmets: “Semua jalan & bangunan yang musnah, penuh dengan mayat. Ianya seperti neraka..” dan Abdul Kafi Alhamado, seorang guru:

“..Sesetengah orang di bawah runtuhan, tidak ada orang yang boleh membantu mereka. Mereka ditinggalkan di bawah runtuhan sehingga mereka mati – rumah-rumah ini sebagai kubur mereka.”

Apakah pihak pemberontak semakin menghampiri kekalahan?

Tentera Rusia menyatakan 98% daripada bandar kini kembali ke tangan kerajaan Al-Assad. Pada hari Isnin, tentera Syria memberitahu kepada pemberontak bahawa perjuangan “harus berakhir dengan cepat” dan sama ada mereka (pemberontak) perlu “serah diri atau mati”.

Kumpulan pemantauan yang berpangkalan di UK, Syrian Observatory of Human Rights (SOHR), juga telah berkata pertempuran di Aleppo sedang menghampiri penghujungnya, hanya menunggu masa sebelum kejatuhannya.

Apakah yang sedang dunia katakan tentang perkara ini?

Pelbagai pihak telah menunjukkan keprihatinan terhadap Aleppo, namun ianya perlu campur tangan serta tindakan yang serius dari semua pihak. Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon berkata, beliau bimbang dengan laporan kekejaman dan telah mengarahkan wakil khas beliau ke Syria untuk “susulan segera dengan pihak-pihak berkenaan”.

Perancis dan UK pula telah meminta Majlis Keselamatan PBB untuk megadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tentang Aleppo. Penasihat kemanusiaan PBB ke atas Syria, Jan Egeland, mendakwa pro-kerajaan militia Syiah Iraq sebagai pihak yang bertanggungjawab bagi pembunuhan, tetapi menyalahkan kerajaan Syria dan Rusia atas kekejaman yang berlaku.

Lebih daripada empat tahun yang lalu, Aleppo telah dibahagikan kepada dua, barat yang dikawal oleh kerajaan dan timur yang dikawal oleh kumpulan pemberontak. Pada awal bulan September, tentera Syria mengambil semula kawasan sebelah timur dengan bantuan militia Iran dan serangan udara oleh Rusia.

Isu Syria, Aleppo terutamanya bukanlah suatu isu yang baru diperkatakan. Seharusnya, kita semua tanpa mengira agama dan kaum hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan Aleppo dan membantu mereka atas nama kemanusiaan. Semoga Aleppo dan penduduknya diberi kemenangan dan berdiri semula sebagai sebuah bandar bersejarah suatu hari nanti.

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply