Peranan Negara Mendaulatkan Agama (Bahagian 1) – Fakhrur Radzi

0
568
views

Agama (Islam) sejak dari wahyu pertama sampai pada nabi, punya wibawa spiritual yang jauh melangkaui kuasa perintah sesebuah negara. Contohnya, syariat agama yang memerintahkan solat.

cara-qada-solat-yang-ditinggalkan

Tiada seorang Muslim pun mengingkari kefardhuan ini, sekalipun ada yang culas, dia tetap merasakan telah berbuat dosa. Walhal tidak pula jika seseorang itu meninggalkan solat, dia terus binasa/dihukum (secara zahir).

Tidak pula perlu kepada penguatkuasa; mencari siapa yang tidak solat untuk dihukum. Seorang Muslim ‘biasa’ secara fitrahnya, akan merasa bersalah rasa berdosa jika telah meninggalkan suruhan atau melanggar larangan dalam syariat Islam.

Dibandingkan dengan perintah dan undang-undang sesebuah kerajaan, walaupun telah diatur penguatkuasa bagi memastikan rakyat patuh, tetap saja ada yang ‘melawan’.

Contoh mudah di atas jalan raya; dari melebihi had laju, pemakaian tali keledar, memotong di kawasan larangan memotong, hingga ke parking ikut suka hati. Kesemuanya dilanggar selagi mana tiada polis atau JPJ yang kelihatan berhampiran.

Padahal rakyat sedar akan hukuman serta merta yang akan dikenakan jika mereka ‘ditangkap’. Sekalipun ‘tertangkap’, tidak mustahil juga, kesalahan yang sama diulang lagi selepas beberapa ketika. Tak serik barangkali ?

police-roadblock-in-malaysia-for-raya-season

Oleh itu, negara sering jauh ketinggalan dalam mendidik manusia menjadi lebih baik jika dibandingkan dengan peranan yang dimainkan agama.

Dan kerana itu juga, agama telah berjaya kekal merentasi garis masa yang panjang walaupun sesudah wafatnya pembawa risalah seribu tahun yang lalu.

Negara, raja dan kerajaan silih berganti, sempadan geografi juga berubah namun risalah yang sampai kepada nabi lebih 1400 tahun lalu, risalah yang sama juga kita warisi hari ini.

Hari ini, tiada lagi yang kita namakan khalifah atau daulah Islamiah, tapi tetap juga Muslim (majoriti) serata dunia dapat mengamalkan syariah (hampir kesemuanya). Oleh itu, sama ada dengan kewujudan negara atau tidak, tanpa kompromi, syariat agama itu terus dilaksanakan setiap individu Muslim di seluruh pelusuk dunia.

Nah kalau begitu, jadi apa perlunya kepada sebuah negara Islam? Bukankah tanpa negara Islam itu tetap tersebar luas. Bahkan bilangan orang yang memeluk Islam dari hari ke hari semakin bertambah, lebih mengejutkan fenomena ini terjadi di negara yang bukan majoriti Muslim.

ليبلغن هذا الأمر ما بلغ الليل والنهار

‘Akan tersebarnya urusan ini (Islam) sehingga ke seluruh pelusuk dunia.’ – alHadith

Jadi apa sebenarnya tujuan penubuhan sebuah negara Islam? Ataupun, soalan yang lebih kontroversial, perlukah kita kepada sebuah negara Islam? Sekiranya perlu, negara Islam yang bagaimana kita mahukan?

Hakikatnya tiada siapa yang boleh menafikan keperluan negara bagi sesebuah agama. Jika disoroti kembali sirah Rasululullah, bezanya dua fatrah antara Makkah dan Madinah.

Apabila baginda mendapat Madinah (asalnya Yathrib) dan didirikan sebuah kerajaan, Madinah menjadi platform terbesar untuk menyebarkan dakwah. Buktinya, di penghujung hayat baginda, jumlah orang Islam yang turut sama mengerjakan Haji sekitar 100,000 orang.

2512

Cuba kita bandingkan fasa sebelum wujudnya negara; pada peristiwa Hijrah, hanya sekitar 300 orang (tanpa menafikan fasa Makkah adalah fasa ta’sis:pembinaan core group) yang bersama baginda. Dalam tempoh masa sepuluh tahun, dengan platform negara, Islam tersebar luas di sekitar semenanjung Jazirah Arab.

Bahkan semasa hayat Rasulullah lagi, ada utusan telah dihantar kepada Raja Empayar Rom. Dakwah sebegini hanya boleh dilakukan apabila agama mendapat medium dan kuasa.

Analogi mudah, suara seorang rakyat biasa adalah hampir mustahil untuk didengari seorang pemimpin negara lain, tetapi apabila seorang ketua negara juga yang bercakap, natijahnya berbeza.

Jika persoalannya adakah agama perlu kepada sebuah negara; jawapannya Ya. Selepas kewafatan Rasul, negara (baca : pemimpin) menjadi penyambung hayat risalah Nabi, memastikan Muslim mematuhi syariat Islam dan juga menyebarluaskan dakwah Islam.

Persoalan utama yang timbul adalah bagaimana. Di sini bermulanya perbezaan pendapat dari pelbagai pihak akan bagaimana seharusnya nanti, negara itu berperanan untuk agama.

Bersambung ke Bahagian 2.

KUPON BUKU DISKAUN RM5 IMANSHOPPE

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply