Peranan Negara Mendaulatkan Agama (Bahagian 2) – Fakhrur Radzi

0
481
views

Bersambung dari Bahagian 1

islamic-wallpaper-1600x1200

Setelah kita semua bersetuju akan keperluan dan kepentingan wujudnya negara bagi Islam lebih terjamin kedaulatan syariah dan tersebarnya dakwah, mari kita perhalusi pula bagaimana seharusnya sesebuah negara itu berperanan.

Tulisan ringkas ini bukanlah bertujuan membahaskan secara mendasar tentang bagaimanakah sepatutnya sebuah negara ‘Islam’ dalam usaha mendaulatkan syariah.

Bahkan, usaha yang lebih awla sebelum bicara mengenai syariah, adalah mewujudkan platform yang kondusif untuk syariah bertapak.

Di sinilah tanggungjawab negara sebelum melaksanakan syariah. Bahasa mudahnya; negara (pemerintah) berusaha membentuk rakyatnya (public opinion) supaya dekat kepada agama (Islam), menjadi mainstream. Bagaimana melaksanakan syariah dalam keadaan rakyat yang masih tidak faham dan takut dengan agama.

Terdapat beberapa prasyarat utama sebelum agama menjadi mainstream dalam masyarakat.

Yang pertama adalah kebebasan. Kerana agama ini adalah pilihan. Dan tiada pilihan bagi orang yang tidak bebas. Dari hal itu, Islam memerangi dua perkara yang terkait dengan kebebasan; sistem perhambaan dan kediktatoran.

wpid-livingstone-06371

Selain perhambaan yang menyekat manusia dari membuat keputusan sendiri, kediktatoran juga mencabut hak kebebasan individu. Tiada siapa yang berhak memaksa untuk memeluk Islam kerana ianya adalah satu pilihan. Oleh kerana itu, negara perlu menjamin kebebasan rakyat dalam membuat pilihan. Tiada paksaan, tiada ketakutan.

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ

“Tidak ada paksaaan dalam agama. Sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kebatilan” –  (alBaqarah : 256) 

Seterusnya yang kedua adalah keberdayaan berfikir rakyat. Negara seharusnya memberi pendidikan yang secukupnya agar rakyat dapat menilai apa yang terbaik untuk mereka.

العقل شرط التكليف

“Akal adalah syarat kepada tanggugjawab.” – alMuwafaqat, asSyatibi

Oleh kerana itu, negara perlu menyediakan segala jenis platform demi memberdayakan kuasa berfikir rakyat. Dari pengukuhan sistem pendidikan sehingga kepada wacana umum yang terbuka. Justeru itu, rakyat yang bijaksana malah akan lebih dekat dan menerima agama.

Prasyarat yang ketiga adalah kesejahteraan. Kesejahteraan hidup bermaksud,  dari sudut perihal asas kehidupan; makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Sebagai manusia biasa, tiga perkara asas ini adalah perkara yang paling tinggi dalam prioriti kehidupan seharian. Masakan seorang bapa miskin yang punya anak kebuluran di rumah mampu berfikir tentang tuhan, tentang syariat?

Di sini kita lihat, apabila berlaku pertembungan keperluan fizikal dan spiritual, selesaikan keperluan fizikal dahulu. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Aisyah, nabi bersabda; 

إذا حضر العشاء وأقيمت الصلاة فابدءوا بالعشاء

“Apabila telah dipanggil untuk solat (Isya’), dan makan malam telah tersedia, dahulukan makan malam”

8448335_orig

Kemiskinan dan kefakiran seringkali mengheret manusia ke arah kekufuran.’ ‎كَادَ الْفَقْرُ أَنْ يَكُونَ كُفْرًا ‘ Nah, kalau negara menyelesaikan isu kemiskinan, kemelaratan dan mengukuhkan ekonomi, secara tidak langsung, semakin mudah rakyat marhaen berfikir untuk beragama.

Prasyarat keempat yang terakhir adalah negara mencipta dan membentuk satu nuansa spiritual yang membina rakyat untuk beragama. Dari hal ini Allah mensyariatkan berpuasa kepada seluruh umat Islam untuk membentuk suasana kebersamaan.

Tidak kira orang kaya atau miskin, semuanya diwajibkan berpuasa menahan lapar. Tiada beza.

Untuk menjadi baik sendirian itu mudah, tetapi apabila program-program tarbiyah dan islah dapat merakyat di segenap lapisan rakyat, sudah tentu akan membawa kesan positif kepada gambaran umum rakyat keseluruhannya terhadap kehidupan beragama.

Walaubagaimanapun, tidaklah apabila sempurna keempat-empat prasyarat ini, secara automatik rakyat akan lebih mendekati dan memahami agama. Akan tetapi inilah instrumen asas yang perlu disediakan oleh sesebuah negara, sebelum melaksanakan syariat sebagai dasar pemerintahan yang utama.

Kesimpulannya, sebagai seorang Islam yang benar-benar beriman, tidak akan pernah menafikan legitimasi pelaksanaan syariah dalam sesebuah pemerintahan, bahkan berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Namun yang lebih penting adalah bagaimana kita, dalam berinteraksi dengan zaman cuba merealisasikan cita-cita tersebut.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply