Perihal Mutarabbi

0
28
views

Perihal Mutarabbi

Perihal Mutarabbi

Di atas nama cinta,

Pada yang selayaknya,

Ku nafikan yang fana,

Moga dalam hitungan,

Setiap pengorbanan,

Agar disuluh cahaya,

RedhaNya.

 

(Atas Nama Cinta – UNIC)

 

Sambil mendengar lagu ini, tiba-tiba azan Asar berkumandang menandakan waktu Asar telah bermula. Tangan kanan terus menutup ‘laptop’ dan mengajak adik-adik untuk bersembahyang jemaah bersama. Seorang adik sedang ‘kusyuk’ menonton televisyen rancangan Voice dan yang seorang lagi penat ketiduran selepas pulang dari sekolah. Satu persatu alasan diberi.

 

“Kak ngah sembahyang dahulu lah. Sat lagi habis la rancangan ni. Kak chik nak tengok siapa   yang tersingkir kali ini”.

 

Seorang lagi adik apabila dikejutkan daripada tidur, tidak juga bangun-bangun dari tidurnya.

 

Beginilah keadaan mad’u kita. Bukan mudah diajak untuk melakukan kebaikan. Mata dikaburi oleh godaan pemikiran dan hawa nafsu yang kadang kala, kita yang bergelar dai’e juga menjadi mangsa keadaan. Contohnya, antara meeting di pejabat dan meeting bersama Allah, mana satu yang menjadi pilihan utama? Antara ‘bershopping’ dan menunaikan solat, yang mana satu menjadi keutamaan? Kadang kala, kita sendiri tidak sedar yang sudah masuk waktu solat kerana asyik membeli-belah. Betul kan? Terlupa dengan tanggungjawab sendiri pada Allah.

 

Mengenali setiap sikap mad’u juga memerlukan kemahiran yang amat mendalam. Kemahiran semula jadi untuk memahami atau kemahiran yang perlu dilatih oleh dai’e demi dakwah yang dibawanya. Semua ini memerlukan ‘soft skills’ dalam berkomunikasi, keikhlasan dalam melakukan dakwah, istiqamah dalam beribadah dan himmah yang tinggi hanya semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

 

Manusia boleh dikategorikan kepada 3 golongan. Setiap satunya mempunyai cara pendekatan mad’u yang berbeza.

 

1)Golongan yang mempunyai akhlak islamiah

 

Golongan ini sangat mudah diajak untuk melakukan kebaikan. Ajakan jarang-jarang sekali ditolak mentah-mentah kecuali jika mempunyai alasan yang kukuh. Sesiapa yang berada dalam kalangan ini merupakan golongan yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu. Cara approach juga lebih soft mengikut kesesuaian mad’u. Jangan lepaskan peluang jika melihat mad’u kita dalam golongan ini!

 

2)Golongan yang berperilaku dengan akhlak asasiyah

 

Ia adalah orang yang tidak taat beragama, tetapi tidak mahu terang-terangan dalam

berbuat maksiat kerana ia masih menghormati harga dirinya. Orang ini masih enggan untuk berubah kerana masih memandang tinggi pandangan masyarakat di sekelilingnya. Cara approach yang terbaik ialah dengan membawa kepada pengenalan Allah terlebih dahulu. Bijak dalam berkata-kata agar tidak mengguris hati mereka berkaitan amalan mereka sebelum ini!

 

3)Golongan yang berakhlak jahiliyah

 

“Sesungguhnya sejelek-jelek tempat manusia di sisi Allah pada hari kiamat adalah

orang yang ditinggalkan (dijauhi) masyarakatnya kerana takut dengan kejelekannya.”

(HR. Bukhari dan Muslim)

 

Golongan ini menjadi tempat terakhir dalam prioritas dakwah fardiyyah. Bayangkan, kita berada di bawah pokok epal. Agaknya, tangan akan mula menggapai epal yang dekat atau yang paling jauh? Tentulah yang paling hampir bukan? Silap-silap, epal yang paling jauh terpaksa ditinggalkan di atas pokok untuk digapai oleh pemuda yang lebih tinggi daripada kita.

 

Tidaklah bererti seorang dai’e harus mengikut turutan ini. Kadang-kadang, anggapan dan pandangan kita tidak sama seperti pandangan Allah. Lihatlah seperti Saidina Umar Al-Khattab, Khalid bin Al-Walid, Amr bin Asr dan lainnya. Mereka yang pada mulanya sangat menentang dakwah Rasulullah saw tetapi akhirnya menjadi pendokong barisan hadapan dalam memperjuangkan agama Islam. Hebat bukan susunan Allah?

 

Iman Hasan Al-Banna sendiri akan berterima kasih dan memperingati sesiapa sahaja yang membantu dalam memperjuangkan dakwah Rasulullah saw. Sehingga setiap kali Imam Hasan Al-Banna ke daerah Bulaq, Kairo, beliau akan mengunjungi sahabat baginda, Ustaz Ibrahim Karrum yang pada awalnya hanya meminjamkan warung beliau sebagai tempat bagi imam syahid untuk berceramah pada khalayak umum. Akhirnya, Ustaz Ibrahim Kairo menjadi salah seorang pendokong utama Ikhwanul Muslimin.

 

Begitulah sifat seorang dai’e yang penuh dengan kasih sayang kepada sesiapa pun tidak mengira darjat ataupun pangkat. Mutarrabi yang sering membuat kita menangis dan kerisauan dek kerana sikapnya yang sukar dilenturkan merupakan salah satu permata yang perlu digilapkan. Jangan mudah berputus asa kerana mungkin permata itulah yang akan membawa kita ke syurga Allah kelak. Teruskan berusaha dan berdoa. JOM!

 

FARAH FADILAH BINTI MOD MA’ASUM

PELAJAR PERUBATAN

UNIVERSITY OF PALACKY, OLOMOUC,

CZECH REPUBLIC

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply