Perjalanan Menuju Tuhan

0
92
views

Perjalanan Menuju Tuhan

Perjalanan Menuju Tuhan
Apa tujuan hidup kita sebenarnya?

Perjalanan Menuju Tuhan | Walau manusia hidup untuk seratus tahun sekalipun, belum tentu dia ingat pada tujuan kehidupannya. Manusia itu memang sifatnya selalu dalam kesibukan. Mereka sibuk dengan perkerjaan, perniagaan, pelajaran, perhubungan dan selainnya. Pokoknya manusia itu selalu sibuk dengan dunia yang mereka lupa sifatnya hanyalah sementara.

 

Bukanlah dunia itu tiada kepentingan malah kerana kehidupan dunialah kita dibawa ke negeri akhirat dan akhirnya tinggallah kita di sana menikmati kehidupan yang abadi. Sementara kita diberi kesempatan oleh Allah hidup di dunia ini, kumpullah sebanyak mana bekalan agar sejahtera kehidupan kita di akhirat kelak. Namun sememangnya sifat manusia itu sering lupa. Lupa tentang siapa kita di dunia, mengapa kita di dunia dan yang paling menyedihkan manusia lupa tentang dirinya sebagai seorang hamba.

 

Jika kita hamba, mengapa di dunia kita berlagak seperti kita ini Tuhan? Jika kita hamba, mengapa tanpa segan silu kita hirup segala nikmat Allah tanpa rasa kesyukuran? Jika kita ini hamba, mengapa masih ada yang lupa tentang tujuan sebenar kehidupan?

 

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku. (Az-Zariyat: 56)

 

Dan inilah tujuan sebenar manusia diciptakan. Mari kita tanyakan pada diri kita wahai para hamba. Bagaimana dengan ibadah kita? Cukuplah dengan hanya kita renungi solat kita hari ini. Kerana itulah yang paling utama. Cukupkah lima waktu? Andai cukup, khusyukkah solat itu? Andai khusyuk, sudahkah kita menyebarkan ilmu tentang kepentingan solat yang betul ini kepada orang lain?

 

 

Firman Allah S.W.T maksudnya,

Adalah Dia yang telah menjadikan engkau khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-An’am: 165)

 

Kerana ayat di atas inilah aku bertanya. Kerana kita juga adalah khalifah.

Menjadi hamba itu bukanlah satu kehinaan tetapi satu kemuliaan kerana kita hamba kepada Yang Maha Agung, Yang Maha Kuasa atas segalanya. Malah kita turut diangkat sebagai khalifah untuk memimpin dunia. Belum nampakkah kita dengan kasih sayang Allah? Jika belum, kita patut menyesal sekarang.

 

Wahai saudara ku, marilah kita membuat perubahan mulai detik ini. Ketepikan segala sifat keegoan. Dan sentiasalah ingatkan diri yang sering lupa ini tentang hakikat kehidupan. Baikilah diri kita agar kita hidup benar-benar sebagai seorang hamba dan khalifah kepada-Nya. InsyaAllah. Semoga Allah redha.

 

Farah Hani Azman

Pelajar Komunikasi dan Pengajian Media

Universiti Teknologi MARA Melaka.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply