Persoalan Hukum Sepanjang Perhimpunan Aman @ Demonstrasi

0
519
views

dsc00596

1. Bolehkah solat tanpa alas dan di atas jalanraya tempat orang lalu lintas, bukannya masjid?

Sah kerana sejadah dan masjid bukanlah kewajipan apatah lagi menjadi syarat sah solat, yang pPerenting tempat solat suci daripada najis seperti sabda Rasulullah dalam riwayat Bukhari dan Muslim:

وجعلت لي الأرض مسجداً وطهوراً

“Telah dijadikan bumi untukku sebagai tempat bersujud dan alat bersuci”

2. Bolehkah mengambil air wuduk dengan air mineral dan kuantiti yang sedikit?

Air mineral boleh digunakan untuk berwuduk kerana zahirnya ia adalah air mutlak iaitu bau, warna, dan rasanya seperti air asal. Cumanya tidak boleh dicelup anggota dengan niat bersuci kerana ia akan menjadikannya musta’mal.

Digalakkan berjimat, membuat basuhan pada anggota wajib yang 4 iaitu muka, tangan, kepala, dan kaki seperti disebut dalam Surah Al-Maidah ayat 6.

Juga boleh membuat basuhan sekali sahaja seperti perbuatan Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari:

تَوَضَّأَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً مَرَّةً

“Nabi S.A.W berwudhu sekali sekali.

Selain itu, dibolehkan menggunakan kaedah sapuan khuf sebagai ganti basuhan kaki seperti sabda Nabi dalam riwayat Muslim:

يمسح المقيم يوما وليلة والمسافر ثلاثة أيام ولياليها”

“orang yang muqim boleh menyapu (ke atas khufnya) selama sehari semalam manakala bagi musafir selama 3 hari 3 malam”.

Caranya:

– mengambil wudhu’ sebelum memakai stokin (khuf) dan kasut.

– pastikan stokin bersih, tidak jarang, tidak koyak, dan menutup buku lali. Stokin tidak semestinya diperbuat daripada kulit.

– jika terbatal wudhu’ dan ingin mendirikan solat, ambil wudhu’ seperti biasa tetapi apabila ingin membasuh kaki cukup sekadar menyapu air di atas stokin daripada bahagian jari kaki naik ke atas pergelangan buku lali.

– pakai kembali kasut atau terus tunaikan solat.

– sekiranya stokin dibuka, kaedah sapuan khuf tidak lagi boleh dilakukan.

3. Bolehkah mendirikan solat sambil memakai kasut?

Sah hukumnya kerana kaki tidak wajib mencecah lantai. Pastikan kasut bersih dari najis, tapaknya boleh digosokkan sahaja di atas tanah sehingga hilang kesan najis, tanpa perlu dibasuh. Sahabat Rasulullah iaitu Anas bin Malik pernah ditanya dalam satu riwayat Bukhari dan Muslim:

أَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي نَعْلَيْهِ قَالَ نَعَمْ

“Pernahkah Nabi solat dengan memakai kasut? Anas menjawab: Ya.

4. Bagaimana hukum Jama’ dan Qasar bagi peserta perhimpunan aman?

Bagi peserta yang sememangnya datang musafir 2 marhalah (sekitar 90 km) maka tiada masalah. Mereka boleh Jama’ (gabung dua solat dalam satu masa) dan Qasar (memendekkan solat 4 rakaat menjadi 2).

Bagi yang tidak bermusafir, sekiranya ada kesempitan seperti tugas keselamatan dan lain-lain, boleh dilaksanakan Jamak sahaja tanpa Qasar.

5. Apakah hukum bagi wanita yang auratnya terdedah ketika mengambil wuduk?

Aurat wanita perlu dijaga daripada pandangan awam seperti perintah dalam Surah An-Nur ayat 31 dalam apa keadaan sekalipun.

6. Bolehkah wanita solat tanpa telekung dan tirai?

Sah solat tanpa telekung, cuma pastikan pakaian menutup aurat dengan sempurna, tidak jarang dan mestilah longgar. Tirai juga bukanlah syarat sah solat sepertimana kita lihat situasinya di Tanah Haram.

7. Bagaimana jika pakaian kotor dan tidak ada pakaian ganti untuk solat?

Perlu dibezakan antara kotoran dan najis. Jika ada najis, perlu dipastikan adakah ianya najis yakin, sangkaan kuat, atau syak. Sekiranya yakin atau sangkaan kuat, maka perlu berusaha basuh atau cari pakaian lain. Sekiranya syak, maka solatnya sah kerana hukum tertegak di atas perkara yang jelas sahaja iaitu zahir pakaian itu tidak terdapat najis.

Wallahu A’lam

Disediakan oleh:
-Asatizah IKRAM Selangor
-Ulama Muda IKRAM

KUPON BUKU DISKAUN RM5 IMANSHOPPE

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply