Pesan buat pemuda. Jangan hangat-hangat tahi ayam !

2
25
views

Misr

Jujur !

Air mata mana yang tidak tumpah !

Darah pemuda mana yang tidak bergelora !

Saat melihat, satu demi satu gambar rakyat Mesir yang syahid.

Dengan otak yang terburai, dengan darah merata-rata, dengan badan yang hangus terbakar !

Arghhh !!!! Rasa diri ini harus juga pergi ke Mesir saat ini dan berjihad !

Angkat senjata dan ? ? ? ?

Dan apa ?

Dan … syahid, terkorban ?

Lalu kita berazam dengan sepenuh hati sambil melaungkan kata-kata ini

” Aku mesti pergi berjuang dan mati syahid ! “

Takbir ! ! !

Dua tiga hari kemudian..

“Woii… kata nak main DOTA.. Cepatlah, aku tunggu ni … “

Ha ? Mana pergi semangat kita yang berkobar-kobar dulu.

Ini namanya semangat hangat-hangat tahi ayam

Realiti

Seringkali, semangat kita sebagai orang muda ini selalunya hanya hangat-hangat tahi ayam. Maaf kata. Tetapi itulah realitinya. Usah ditunding jari lebih jauh, lihatlah sendiri ke dalam diri kita. Sebagai seorang anak muda , saya akui, pernah sampai tidak tidur malam hanya untuk menghabiskan dokumentari tentang nasib rakyat Syria yang dibunuh oleh rejim Basyar Al Assad. Habis basah lecture note saya buat lap air mata.

Tapi, tak sampai dua tiga hari lepas tu, semangat saya mulai mereda. Pelik bukan ? Itu belum lagi masuk isu Palestin, rata-ratanya akan berakhir dengan tragedi yang sama. Semangat hangat-hangat tahi ayam ! Sekejap semangat sekejap tidak. Terasa sangat kecewa di situ.

Lalu, apakah solusi yang sebenar-sebenarnya kepada permasalahan ini ?

10 Nasihat Dr Raghib Sirjani (Ahli Ikhwan di dalam bukunya Pemuda peka zaman)

10 Nasihat ini, saya kira paling sentap buat renungan kita bersama. InsyaAllah ianya adalah solusi terbaik buat kita yang menghidap penyakit hangat-hangat tahi ayam ;

1)  Tinggalkan perbuatan dosa dan maksiat sekarang juga !

Wahai anakku, (kata Dr Raghib Sirjani)

Orang yang melakukan maksiat tidak akan mampu untuk memberikan komitmen dalam perjuangan di jalan Allah ini.

Seperti mana pesan Saidina Umar Al Khattab kepada angkatan tentera Islam, ketika mana mereka mahu berangkat ke medan perang.

“Jangan sesekali kalian berbuat maksiat, sedangkan kalian berjuang di jalan Allah”

Juga kisah yang diceritakan oleh Dr Amr Khaled di dalam bukunya mengenai  seorang pemuda yang datang kepada Saidina Ali lalu berkata ;
“Aku khuatir bencana yang terjadi di seluruh negeri Muslim adalah kerana dosaku, sebab aku mengetahui betul dosa-dosaku “

Aku terkejut ! Aku merenung ! Benar apa yang dikatakan oleh pemuda itu. Tidak ramai yang mengerti akan hakikat ini. Sesungguhnya bencana turun kerana maksiat dan lenyap kerana taubat (Saidina Ali r.a).

2) Kenalilah Agamamu

Wahai anakku, (Pesan Dr Raghib) bagaimana mungkin anda ingin menunjukkan komitmen terhadap Islam sedangkan anda sendiri tidak mengenalinya ? Bagaimana  anda akan berpegang teguh kepada sunnah, ajaran dan manhaj hidup Islam sedangkan anda tidak mengetahui asal usulnya ? 

Justeru, jangan pernah berhenti belajar agama !

Analogi mudah,

Belajar agama ini macam ambil nutrisi untuk hidup.

Cukupkah sekadar makan nestum dari kecil sampai besar ? Cukupkah zat untuk terus hidup ?

Begitu juga dengan belajar agama. Agak-agaknya, cukup ke ilmu agama yang kita belajar setakat kafa 1-6 itu buat bekalan kita sampai akhir hayat ?

Dengan cabaran yang semakin dasyat. Ianya pasti tidak akan cukup.

Sama-sama renungkan.

3)Tambatkanlah hatimu dengan masjid

Wahai anakku, sesungguhnya orang yang hatinya terpaut dan cinta akan masjid, sebenarnya ia telah berhasil membina stamina keimanannya kepada Allah.

Seperti firman Allah swt di dalam Surah At Taubah ayat 18 :

“Hanyalah orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian “

4) Jadilah pemuda yang berprestasi

Dr Amr Khaled pernah berkata ;

‘Musibah terbesar umat ini, adalah bilamana pemuda hanya menganggap agama hanya ada di masjid”

Mereka sebenarnya lupa, bahawa, keputusan cemerlang dalam pelajaran sebagai contoh adalah kayu ukur untuk menilai betapa tingginya darjat sesuatu ummat itu ? Selain kepakaran di dalam beberapa bidang yang lain.

Katanya lagi ;

Sanggupkah engkau melihat, prestasi akademik mahasiswa nasrani (bukan Islam), mahasiswa yang menganut fahaman sekularisme, plurasime, liberalisme lebih baik daripada dirimu ?

Allah.. Ampunkan dosaku ini..

5) Sambungkan tali silaturahim

Wahai anakku, eratkanlah kembali hubungannmu dengan ibu bapa, kaum keluarga, serta sanak saudara. Perpaduan ummat pada masa kini tidak dapat dicapai melainkan dengan bermula daripada yang asas. Iaitu institusi keluarga.

6) Berhati-hatilah dalam memilih teman

Wahai anakku, meskipun stamina keimananmu terasa sudah mantap, tetapi jika engkau bergaul dengan orang-orang yang tidak baik, hal tersebut akan mengembalikan kondisimu ke titik permulaan atau atau bisa terjerumus ke titik yang paling rendah. 

Jangan sesekali engkau berkata ;

“Saya akan menjaga diri dan saya tidak akan terpengaruh dengan mereka “

Sesekali jangan engkau katakan begitu. Kerana, sesungguhnya akhlak, agama dan tabiat seseorang serupa/ diukur dengan akhlak, agama dan tabiat temannya.

Adapun ada satu pesan daripada Syed Qutb, jika kita still mahu bergaul dengan mereka (dengan tujuan untuk berdakwah), kita haruslah beruzlah.

Istilah ini dinamakan sebagai  “uzlah Syu’uriyah” –

Pengertian uzlah yg dimaksudkan ialah, pengasingan jiwa dpd turut dikotori atau dijangkiti noda-noda masyarakat jahiliyah dengan ;

a) Menjadi seorang yang punya qudwah.
b) Menunjukkan akhlak yg baik
c) Terus merasai ketinggian iman

Uzlah yg dimaksudkan juga adalah perbezaan.

a)Perbezaan antara golongan yg beriman dan kufur.
b)Perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan
c)Perbezaan dari sudut akhlak dan perlakuan.

7) Peduli terhadap realiti yang menimpa umat Islam

Wahai anakku, amatlah mustahil untuk anda mengubah nasib ummat ini, melainkan anda mengetahui dengan sebenar-benarnya masalah yang berlaku terhadap umat ini.

Maka, disiplinkan dirimu pada setiap hari untuk ;

-Membaca berita-berita dunia. (Subscribe, Al Jazeera, Preess tv, CNN, BBC, di phone atau gadget canggih masing-masing)

-Membaca situasi politik, terutamanya di negara timur tengah dan negara umat Islam keseluruhannya (melazimi untuk membaca majalah times, atau melayari web-web seperti Al Jazeera dan membaca journal-journal antarabangsa)

-Mengambil tahu perkembangan ekonomi dunia.

Ingatlah, tarbiyah kita adalah tarbiyah pejuang ! Bukan tarbiyah manja-manja ! Apatah lagi, tarbiyah buih sabun ! Justeru, hanya dengan mengetahui dengan benar kondisi sebenar umat Islam, barulah kepribadian muslim yang sempurna akan terbentuk agar umat ini dapat berdiri dengan kukuh dan kuat !

8) Jadilah seorang Olahragawan

Wahai anakku, badanmu harus sihat, cergas dan kuat !

Pukulan keras yang dilakukan oleh Muadz Bin Amr r.a kepada Abu Jahal hanya mampu dilakukan oleh olahragawan sejati !

Maka, pilihlah aktiviti sukan yang bermanfaat. Yang benar-benar memberi manfaat buat dirimu dan ummat mu ! Seperti (Karate, silat, taekwando,  dan sebagainya). Sukan yang menguji kekuatan seperti angkat berat dan menunggang kuda. Sukan yang menguji stamina seperti futsal dan bola sepak. Badminton serta sebagainya.

Tetapi ingat ! jangan sampai dirimu leka dan lalai dengannya, sehingga mengahabiskan waktumu untuk ummat !

9) Ajaklah orang lain !

“Siapakah yang lebih baik perkataannya, daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal saleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (Fushilat :33)

Maaf ikhwah, maaf sekali lagi ikhwah ! Jangan pernah merasa ekslusif !

Anda berbulatan gembira, bermain belon sabun air, berukhuwah manis-manis, namun apa guna andai itu semua tidak dapat kita aplikasikan dalam dunia sebenar !

Dunia realiti ! Usrah itu bukan hanya dalam lingkungan kita sahaja.Lingkungan orang baik-baik, tetapi usrah itu menuntut supaya kita berfikir untuk ummat, pergi lebih jauh, perhalusi setiap isu lebih dalam ! Pergi pada dunia luar, buka mata, buka telinga.

Jangan jadi orang yang syiok sendiri dengan tarbiyah. Sibuk hadam segala bagai buku fikrah dan dakwah, tapi bila sebut, isu umat Islam ?ha … terlopong .. isu Rohingya ? kaum gasar apa tu bro ? Isu kristianisasi ? kau biar betul ? Sekularisme ? Liberalisme ? Ha ? Lagi aku tak tau ?

Usrah macam ni, namanya usrah di bawah tempurung !

10) Uruskanlah waktumu dengan baik !

Akhir sekali, renungi dua pesan Imam Ghazali ini yang ditujukan khas buat pemuda

“Kehidupan ini cuma tiga detik ; sesaat yang berlalu tidak dapat kita ubah lagi, sesaat yang sedang dilalui ini manfaatkan sebaiknya dan sesaat yang akan tiba pasti kita temui”

dan

Wahai pemuda,

Gunakanlah waktu lapangmu dengan sebaiknya kerana,

Pengangguran adalah penyakit dan kesibukan itulah ubatnya. Seperti air yang diam menghanyutkan, menenggelamkan, mematikan, menjadi sarang nyamuk, membusuk, memburuk dan menimbulkan penyakit.

Siapa pun orangnya, selama dia menganggur di rumahnya, dia tidak akan pernah terlepas dari kemungkaran.

Kesimpulan

Inilah serba sedikit nasihat yang saya dapat kutip mengenai pemuda melalui pembacaan yang sedikit ini. Semoga kita dijauhkan daripada menjadi golongan pemuda yang leka dan lalai dalam hidup. Seperti mana yang disebutkan oleh Imam Hassan Al Banna di dalam risalah pemuda ;


”Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa. “

Tetapi menjadi golongan pemuda yang membesar di tengah-tengah umat yang berjuang dan dirinya turut berjuang. Berjuang bersama untuk mengembalikan kedaulatan Islam agar kembali kepada posisinya yang sebenar. Posisi yang lebih agung dan mulia.

Maka sahabat sekalian, mulai saat ini, ayuh kita berubah ! Jangan kita menunda-nunda lagi ! Jangan kita bertangguh-tangguh lagi ! Jangan kita bermalas-malasan lagi !

Kerana kita tidak tahu apa yang bakal menunggu kita dihadapan nanti ! Boleh jadi cabaran yang lebih besar bakal menghalang kita untuk berubah.

Dengan lafaz Bismillah..

Mulailah dari sekarang !

Mari kita sama-sama berubah !

Henshin !

p/s :

Rujukan ;

Pemuda Peka Zaman – Dr Raghib Sirjani

Buku Pintar Akhlak – Dr Amr Khaled

Risalah Pemuda –  Imam Hassan Al Banna

 

oleh : Asyraf Farique

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

2 COMMENTS

  1. Saya nak mintak pendapat. Dalam zaman yang semua benda jadi tunggang-terbalik dan banyak yang berdusta utnuk kepentingan sendiri, macam mana nak pastikan berita yang kita dapat tu sekurang-kurangnya boleh dipercayai? Boleh berikan tips?

    • Wassalam,

      Sekadar berkongsi, saya akan baca daripada pelbagai sumber. Macam isu mesir. Selain BBC, Al Jazeera dan CNN, wajib juga kita membaca liputan dpd ikhwan sendiri, selain berita-berita sekunder dpd mesir kini, dan lain-lain. Bandingkan dan buat kajian terlebih dahulu.

      Wallahualam

Leave a Reply to asyrafarique Cancel reply