Pilihanraya Presiden Dan Kaitannya Dengan Islamofobia di Perancis – Ikmal Nordin

0
130
views

Hari ini (23 April 2017) negara France akan mengundi untuk memilih Presiden mereka yang ke-25.

Sistem pilihanraya Presiden di France berjalan secara dua pusingan: sekiranya tidak ada calon yang mendapat undi majoriti pada pusingan yang pertama, maka dua calon dengan undi tertinggi akan masuk ke pusingan kedua untuk undian sekali lagi.

18056708_10212589571471018_6475336454569967205_n
Calon presiden Perancis yang bertanding

Pilihanraya ini dijangka sangat sengit, melibatkan 4 calon utama:

1) Marine Le Pen (Front National)

Marine Le Pen adalah Presiden parti Barisan Nasional (FN), parti berhaluan kanan yang populis dan nasionalis.

Antara pendirian besar parti ini ialah menentang keahlian EU dan Kawasan Schengen (yang membolehkan penduduk EU bergerak dari satu ke satu negara tanpa pasport), anti-globalisasi, dan anti-pendatang.

Le Pen dilihat sebagai populis seakan Trump di US dan Geert Wilders di Belanda, Sekiranya beliau menang, beliau akan menjadi Presiden wanita pertama di France, dan akan menjadi satu lagi kemenangan kepada arus populis yang melanda dunia Barat ketika ini.

Beliau bertanding di bawah slogan ‘Au nom du peuple’ (Dengan nama rakyat), dan dalam ceramah-ceramahnya sering kedengaran teriakan ‘On est chez nous’ (Ini rumah kita).

Kedua-kedua slogan ini ditafsir sebagai menunjukkan semangat anti-imigran dan anti-Islam, sesuatu yang merisaukan buat umat Islam di France.

Puan Le Pen juga terkenal dengan pendiriannya yang keras terhadap Islam; beliau menyifatkan Islam radikal sebagai satu ‘ideologi mengongkong yang dahsyat, yang telah mengumumkan perang terhadap negara, pemikiran dan tamadun kita’, dan mengujar supaya pendakwah-pendakwah yang dikenalpasti dibuang negara dan masjid-masjid Islamis ditutup.

French-Muslim-protest

2) Emmanuel Macron (En Marche)

Emmanuel Macron adalah calon haluan tengah yang bertanding di bawah bendera ‘En Marche!’ (Ke Depan!), parti yang diasaskan oleh beliau sendiri pada bulan April 2016.

Beliau sebelumnya pernah menjadi Menteri Ekonomi, Industri dan Hal Ehwal Digital dalam kabinet Presiden Francois Hollande, tetapi telah meletakkan jawatan untuk bertanding sebagai Presiden.

Beliau juga pernah bekerja di Kementerian Kewangan dan pernah menjadi pegawai bank di Rothschild & Cie Banque, namun tidak pernah memegang jawatan undian rakyat.

Walaupun parti beliau baru berumur setahun, tapi ia keahliannya melebihi 250,000 ahli, sesuatu yang mengejutkan dan menunjuk kepada keinginan rakyat untuk melihat muka baru dalam kepimpinan dan penolakan mereka terhadap parti-parti yang sedia ada.

Pendirian-pendirian Encik Macron sangat bertentangan dengan Puan Le Pen: beliau dilihat membawa pendekatan kosmopolitan dan terbuka, menyokong keahlian dalam EU dan menyokong dasar pintu terbuka untuk pendatang dan pelarian.

Beliau juga dilihat sebagai lebih lunak terhadap Islam di France; beliau tidak menyetujui pengharaman hijab di universiti dan menentang pemikiran sekularisme sempit, yang tidak membolehkan sebarang penonjolan identiti keagaamaan.

3) Francois Fillon (Les Republicains)

Encik Fillon ialah calon parti Republikan, salah satu daripada dua parti besar yang memerintah France sejak 60 tahun yang lalu (sebuah lagi ialah Parti Sosialis).

Beliau berpengalaman luas dalam sektor kerajaan dan pernah menjadi Menteri Pekerja, Menteri Pendidikan dan Menteri Ekologi.

Pada asalnya beliau merupakan calon yang terkehadapan dalam pilihanraya kali ini, tapi sokongan beliau merudum kerana pendedahan skandal korupsi.

Beliau dituduh mereka-reka jawatan untuk isterinya Penelope Fillon dan dua orang anaknya, dan menggunakan harta awam untuk memberi gaji kepada ahli keluarganya itu.

Walaupun tidak begitu anti-EU seperti Puan Le Pen, namun beliau tetap mempersoalkan keberkesanan kesatuan itu. Beliau ingin mengubah undang-undang kawasan Schengen, menambahkan peruntukan untuk penjagaan sempadan dan menguatkan kawalan sempadan EU.

Beliau juga dilihat cenderung kepada Rusia; beliau menyokong kehadiran Rusia di Syria dan juga membangkang sekatan EU terhadap Rusia. Beliau juga mengikut rentak Le Pen dalam menggunakan retorik anti-Islam: beliau ingin menghadkan imigrasi dan membuat kawalan ketat terhadap Islam di France.

4) Jean-Luc Melenchon (France Insoumise)

Beliau ialah calon berhaluan kiri di bawah koalisi ‘France Insoumise’ (France Yang Tidak Ditundukkan), seorang pengagum Trotsky dan mendapat dokongan Komunis.

Sokongan yang merudum terhadap parti Sosialis menyebabkan sokongan pihak berhaluan kiri berpindah kepada beliau.

Kempen politiknya menggunakan pendekatan yang menarik dan teknologi yang canggih: beliau membuat ceramah politik menggunakan ‘hologram’, dan turut melancarkan ‘video game’ bertajuk Fiskal Kombat, di mana hero permainan tersebut membelasah orang-orang kaya untuk mengeluarkan duit dari poket mereka.

Beliau juga seorang yang anti-EU, ingin mengeluarkan France daripada kesatuan NATO & berkemungkinan membawa France kepada ‘Frexit’, yakni keluarnya France dari Kesatuan Eropah.

Beliau mengagumi pemimpin berhaluan kiri seperti Hugo Chavez (Venezuela) dan Mao Zedong (China), dan akan melaksanakan dasar ekonomi sosialis sekiranya berkuasa (menambahkan perbelanjaan kerajaan dan mengenakan cukai yang sangat tinggi kepada orang kaya).

Beliau juga dianggap lebih moderat terhadap Islam: ketika sekumpulan wanita muslimah dihalang oleh mahkamah daripada memakai pakaian muslimah di tepi pantai, beliau mengatakan ‘kita telah menganiaya orang Yahudi, kemudian orang Protestan, dan kini orang Islam’.

Selepas serangan bersenjata oleh Mohammed Merah pada tahun 2012, beliau menidakkan sebarang hubungan antara serangan tersebut dan Islam dan memberi amaran untuk tidak mempolitikkan insiden tersebut.

***

Pilihanraya kali ini sememangnya unik: 3 daripada 4 calon utama merupakan ‘calon luar’ dan parti mereka tidak pernah memerintah France.

636283035009926665-AP-APTOPIX-France-Paris-Police-Shot

Hal ini memberi gambaran kepada kurangnya kepercayaan rakyat terhadap parti yang sedia ada. Calon-calon juga berhadapan dengan pengundi yang semakin nasionalis dan semakin takut terhadap ancaman Islam, lebih-lebih lagi dengan serangan terbaru di Champs Elysees.

Hal ini dimarakkan lagi oleh retorik Puan Le Pen yang terang-terangan anti-Islam. Tariq Ramadan, seorang ulama yang masyhur di Eropah, mengatakan bahawa

“Pada pilihanraya yang lepas.. ketika Hollande menang, beliau menang secara fizikal, tetapi secara politik parti FN (parti Le Pen) yang menang. Kerana retoriknya ada di mana-mana. Mereka sedang menang…semestinya kita perlu menentang parti beliau, tapi perkara yang paling penting ialah menumpulkan retorik (anti-Islam) dalam Parti Sosialis dan Parti Republikan”.

Oleh yang demikian, umat Islam di France berhadapan cabaran yang sangat besar. Kerana sesiapa pun yang memenangi pilihanraya kali ini, biarpun seorang yang terbuka dan lunak seperti Emmanuel Macron, tidak dapat melenyapkan dengan sekelip mata pengaruh FN dan perasaan anti-Islam & anti-imigran yang semakin meningkat.

Kuncinya, seperti yang dijelaskan oleh Sheikh Ramadan, ialah membina perhubungan kemasyarakatan (engagement) bersama elemen-elemen yang penting dalam masyarakat France.

Beliau menyatakan bahawa umat Islam di Barat perlu memiliki ‘pengetahuan tentang bahasa setempat; kehormatan terhadap undang-undang, kesetiaan kepada masyarakat dan kebebasan untuk warganegara’.

Sama-sama kita doakan supaya keputusan pilihanraya France pada kali ini membuahkan natijah yang baik untuk saudara-mara kita di negeri itu dan kepada umat keseluruhannya, insyaAllah

Ditulis oleh :

IKMAL NORDIN
Masters Political Economy, School of Oriental & African Studies (SOAS)

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply