Pohon Hari Esok

0
98
views

Pohon Hari Esok

Suatu masa dulu
Suatu masa dulu saya pernah uja (aim, jika dalam bahasa inggeris) tangan saya ke langit. Saya kepal jari jemari dan sambil itu, saya pejam mata erat-erat. Terus saya pasangkan niat. Memohon supaya hasrat yang saya pendam selama ini dimakbulkan jua.

” Ya Allah, makbulkanlah doa ku. Makbulkanlah hasratku. Moga kau benarkan aku untuk menaiki kapal terbang ke situ “

Kadang kala, ada pesawat yang lalu lintas bila saya membuat doa ini. Macam drama pun ya juga. Macam novel pun ya juga. Terharu saya. Allah ringankan rasa ingin saya dengan menghadirkan pesawat di langit malam. Subhanallah.

Kini, dengan izin Allah, saya berjaya menginjakkan kaki ke bumi Munster, Ireland. Bila difikirkan kembali, saya bukanlah antara barisan pelajar yang cemerlang. Antara pelajar yang corot mungkin. Pernah juga terasa hasrat saya tidak akan kesampaian. Tapi begitulah suratan takdir. Tiada siapa tahu apa yang disimpan oleh masa depan, sehinggalah kita sendiri melangkah dan membukanya.

Wang dan kehidupan
Saya sebenarnya seseorang yang sangat meminati fizik dan oleh itu, membicarakan perihal masa depan membuatkan saya terfikir berkenaan konsep masa dalam kehidupan kita. Kita mengambil kira faktor masa dalam semua aktiviti yang kita lakukan. Sebagai contoh, pukul berapa temu janji dengan doktor bermula, tempoh masa yang diperuntukkan untuk mengulang kaji pelajaran, tarikh tutup penulisan Behaviour and Health Module, dan sebagainya.

Dalam kata mudah, jika kita tidak meletakkan faktor masa dalam aktiviti yang kita lakukan, maka sangat mudah untuk kita tersasar dari apa yang kita rancang. Mungkin atas dasar inilah, kita sangat kisah akan masa. Kita mahu masa kita terisi dengan apa yang kita rasakan sesuai dengan diri dan kehendak kita, biarpun mungkin tidak dilihat berfaedah dari kaca mata orang lain. Kerana pada kita, masa adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti. Jika ada seseorang ingin membeli 20 tahun dari masa kita, belum tentu trillion pound sterling harga yang memadai.

Ajaib bukan? Bukan mata wang euro mahupun wang ringgit menjadi tukaran asas untuk kita terus hidup. Tetapi masa. Kita membayar “masa”, supaya kita boleh terus membeli “hak kita untuk hidup” di dunia ini.

Masa yang kita miliki
Tetapi mata wang masa yang kita ada adalah terhad. Tidak seperti mata wang yang lain. Seumpama petroleum, semakin lama disedut, semakin habis dan kering. Tidak ada cara untuk kita penuhkan tangki-tangki semula jadi bumi dengan petroleum, kerana kita sendiri tidak boleh mencipta petroleum. Di luar pengetahuan dan batasan kita.

Maka kita hanya boleh menggunakan sumber yang kita ada secermat yang mungkin. Supaya petroleum itu bertahan lama, maka kita cipta mesin-mesin yang lebih efisien supaya tidak ada pembaziran yang berlaku. Kita tambahkan juga nilai dan kualiti yang ada pada petroleum itu agar dapat memberikan prestasi berkualiti tinggi.

Begitu juga dengan masa. Oleh kerana kita tidak dapat menambahkan jumlah masa yang kita ada, maka kita permudah dan meringkaskan cara kita menangani tugasan kecil agar kita boleh memberi lebihan masa pada tugasan yang lebih besar. Kita juga tidak membazirkan keterhadan masa kita dengan perkara tidak penting. Selain itu, kita juga menambahkan nilai dan kualiti masa kita agar kita dapat acap kali memberikan prestasi terbaik di mana jua kita berada.

Nilai dan kualiti masa kita
Namun, soalnya bagaimana kita menambahkan nilai dan kualiti masa kita? Malang sekali masa bukanlah sesuatu yang bersifat fizikal. Jika tidak pasti kita boleh letakkan dengan sesuatu yang bersifat fizikal juga agar nilai dan kualitinya bertambah. Analogi mudah, kita tambahkan kicap pada nasi bersama juadah yang dimakan agar lebih sedap dan enak. Begitulah.

Ramai yang terlupa bahawa untuk meraih nilai dan kualiti masa yang tertinggi, kita perlu rujuk pada “pengeluar” masa. Pasti ada saranan bagaimana untuk meraih nilai dan kualiti tersebut.

Analogi lain adalah cara memasak thin crust pizza yang baru saja dibeli. Kita akan lihat pada belakang kotak pizza suhu dan langkah paling sesuai untuk memasak pizza itu. Hasilnya, pizza yang enak, berkualiti dan hangat dari ketuhar untuk dinikmati.

Justeru, harus kita ingat selalu bahawa nilai dan kualiti masa tertinggi adalah keberkatan waktu. Keberkatan itu dapat kita raih dengan doa, dan usaha yang ikhlas dalam memberikan kebaikan dan mencari kebaikan.

Berapa ramai di antara kita yang punya 24 jam yakni 1440 minit sehari akan tetapi menggerutu merasakan waktu tidak cukup? Berapa ramai di antara kita sudah hidup lebih dua dekad namun merasakan ada kekosongan yang belum terisi?

Sehubungan dengan itu kita memerlukan keberkatan dalam waktu kerana ia bakal melahirkan perasaan qanaah atau perasaan puas dan cukup. Pernahkah anda makan juadah lazat sehingga kenyang, dan anda menolak bila diajak lagi? Begitulah perasaan qanaah.

Jika kita tiada keberkatan dalam waktu, maka kita akan memperoleh deretan masa yang tidak akan memadai sehingga ke akhir hayat kerana rasa puas dan cukup tidak dihadirkan dalam jiwa, seumpama manusia lapar yang disogokkan dengan angin. Kenyangkah manusia itu?

Pohon yang kuat
Sebagai kesimpulan, masa depan yang bakal kita singkap bergantung pada penggunaan masa kita. Kerana penggunaan masa kita pada hari ini menentukan bagaimanakah rupa bentuk masa depan kita. Jika mahu lihat pokok yang tersergam kukuh dan kuat, maka lihatlah bagaimana pada awalnya benih itu dijaga, disiram dan dibaja. Percayalah, tidak sia-sia untuk anda melabur benih waktu anda. Siramlah benih itu dengan doa, dan bajalah dengan usaha yang ikhlas kerana Allah. Pasti berbaloi.

Kerana sudah tentu, kita mahu benih itu tumbuh menjadi pohon rimbun, rendang dan membuahkan manfaat untuk menjadi teduhan kita pada masa akan datang. In shaa allah.

Penulis : Mohd Fahmi Maslan

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply