Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL) Untuk Rakyat Atau Siapa?

0
1794
views

27885077

Pada 31 Oktober 2016 yang lepas, kerajaan Malaysia telah mengumumkan rancangan pelaksanaan projek keretapi yang dipanggil Laluan Kereta Api Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL) yang bernilai RM55 billion. Ianya adalah sebuah projek pembinaan rel berkembar baharu yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan bandar Tumpat di Kelantan. Projek ini dijangkakan akan bermula pada tahun hadapan.

Dalam usaha meyakinkan rakyat tentang rancangannya, kerajaan telah menyatakan bahawa di antara manfaat projek berkenaan ialah ianya akan dapat mengurangkan kos pengangkutan di antara Pantai Barat dengan Pantai Timur Semenanjung, malah ianya turut dikatakan akan dapat mengurangkan harga barangan di Pantai Timur di samping akan memendekkan masa perjalanan. Manafaat lain yang akan diperolehi kata kerajaan lagi, adalah projek ini bakal merangsang pertumbuhan bandar-bandar kecil di sepanjang laluan.

Kerajaan juga telah menyatakan bahawa projek ini akan dibiayai oleh Export-Import Bank of China (EXIM) dengan tempoh pembayaran balik selama 20 tahun, manakala kontrak pembinaan akan diberikan kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Keputusan untuk melibatkan syarikat dari China dalam projek ini adalah anih jika ia bakal memberikan keuntungan dan manfaat yang besar kepada Malaysia. Sepatutnya jika benar projek berkenaan akan memberi keuntungan, maka kerajaan hanya perlu melibatkan syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia sendiri seperti Khazanah yang telah terbukti sangat mampu menentukan sama ada sesuatu projek itu boleh menjana keuntungan kepada negara atau tidak? Sekarang ini kita berhadapan dengan situasi yang sangat pelik di mana Khazanah, iaitu sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan yang sangat berwibawa telah dipinggirkan, sementara syarikat luar dari negara China dijemput masuk untuk melabur di negara kita.

Satu sebab utama yang memungkinkan Khazanah tidak dilibatkan dalam projek ini ialah kerana prosedur dalaman Khazanah yang diketahui umum adalah sangat ketat sebelum meluluskan sesuatu projek. Pihak Khazanah telah menetapkan prosedur supaya bagi setiap projek yang dirancangkan, ianya perlu menjalankan `Kajian Kemungkinan’ atau `Feasibility Studies’ yang terperinci sebelum ia dapat diluluskan. Ini menimbulkan persoalan sama ada `feasibility studies’ yang terperinci telah dilakukan untuk menentukan sama ada manfaat yang disebutkan oleh kerajaan di atas benar-benar akan diperolehi atau tidak dalam kes projek ECRL ini? Persoalan lain yang juga perlu dijawab berkaitan isu `feasibility’ ini ialah adakah pembekal barang-barang akan betul-betul menggunakan perkhidmatan rel ini untuk menghantar barangan mereka atau mereka akan kekal menggunakan lori atau kenderaan lain atas dasar kos yang lebih murah serta lebih fleksibel di mana barangan boleh dihantar terus ke destinasi tanpa perlu dipunggah sekali lagi dari stesen keretapi.

Dari segi penggunaan oleh penumpang, adakah ramai yang akan menggunakan perkhidmatan ini atau adakah mereka akan terus menggunakan perkhidmatan bas atau kapalterbang? Sekiranya ramai yang menggunakan perkhidmatan rel, apakah yang akan terjadi kepada syarikat-syarikat bas sedia ada? Adakah mereka akan terpaksa ditutup? Jika jawapan-jawapan kepada soalan ini tidak meyakinkan, maka sepatutnya projek ini tidak perlu dilaksanakan lagi.

the-east-is-red-original

Tambahan pula projek ini akan melibatkan hutang yang sangat besar. Malahan urusan pembiayaan kelak adalah dalam bentuk Riba kerana Export-Import Bank of China (EXIM) bukanlah sebuah institusi kewangan yang beramal dengan sistem perbankan Islam. Oleh kerana tempoh pembiayaan adalah selama 20 tahun, maka sudah tentu bayaran hutang pokok kepada pihak Export-Import Bank of China (EXIM) perlu ditambah dengan bayaran bunga (interest). Kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank tersebut akan menentukan jumlah akhirnya yang pasti akan jauh melebihi jumlah pokok RM55 billion.

Namun jika masyarakat Islam di Malaysia menjadikan isu Riba sebagai bantahan untuk melaksanakan projek ini, saya yakin kerajaan akan dengan mudah mengatasi masalah tersebut dengan merujuk kepada pakar perbankan Islam Malaysia yang kemudiannya dengan mudah boleh merangkakan suatu perjanjian yang `Patuh-Syariah’ dan seterusnya menjadikan hutang RM55 billion ini sebagai `hutang halal’ dengan tambahan untung kepadanya untuk pihak Export-Import Bank of China (EXIM). Namun kesemua kos tersebut nanti masih lagi akan ditanggung oleh rakyat kerana sama ada ianya hutang halal atau tidak, ia tetap hutang yang mesti dibayar balik.

Satu lagi aspek yang membimbangkan saya ialah kos nya yang tinggi ini mungkin akan bertambah di masa hadapan. Biasanya bagi projek mega, masalah keterlebihan kos (cost overruns) adalah suatu perkara yang biasa berlaku. Ini terutama sekali jika ia berbentuk projek keretapi laju. Sebagai contoh pada tahun 2009, projek California High Speed Rail Authority yang menghubungkan bandar Los Angeles dengan San Francisco dijangka berjumlah US$42.6 billion. Namun apa yang berlaku, pada hari ini jumlah tersebut telah meningkat sebanyak 60 peratus.

Oleh kerana risiko kos adalah tinggi, kebiasaannya projek pengangkutan mega akan dijalankan di atas dasar perkongsian di antara sektor swasta dan awam yang dikenali sebagai `public-private partnerships’ (PPPs). Namun sering kali masalah kos akan membuatkan projek seperti ini akhirnya terpaksa diambil alih oleh kerajaan. Inilah yang telah berlaku dalam projek keretapi laju Itali yang pertama akibat dari kekurangan suntikan wang dari sektor swasta.

Di Taiwan pula, projek keretapi lajunya yang memulakan perkhidmatan pada tahun 2007 dengan kos sebanyak US$16.5 billion telah berakhir dengan kerugian. Di Sepanyol, rangkaian sistem keretapinya melibatkan kos sebanyak €40 billion. Namun akhirnya kerajaan terpaksa berbelanja dengan banyak untuk memberi subsidi kepada pengguna bagi menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan tersebut. Oleh sebab itulah banyak negara yang keberatan untuk memulakan projek keretapi laju kerana bimbang kemungkinan kerugian yang akan dialami serta beban kewangan yang tinggi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Apa yang pasti, jika projek ini diteruskan juga, maka dalam jangka pendek, banyak pihak akan mendapat keuntungan semasa fasa pembinaan, khususnya syarikat kontraktor utama China Communication Construction Company Ltd (CCCC) serta sub-kontraktor kepada CCCC sama ada dari Malaysia atau dari negara China. Oleh kerana jumlah projek adalah lebih dari RM55 billion, keuntungan kepada mereka juga adalah dalam jumlah berbillion-billion. Alangkah untungnya mereka.

Apa yang membimbangkan ialah dalam jangka panjang sebenarnya projek ini akan menjadi beban kewangan yang sangat besar kepada kerajaan. Kemungkinan besar pada masa itu pemimpin kerajaan sekarang sudah tidak lagi berkuasa. Namun beban hutang yang sangat besar itu tidak akan hilang bersama mereka bahkan akan ditinggalkan kepada pemimpin lain selepas mereka. Pemimpin lain itulah yang akan terpaksa memikul tanggungjawab menjelaskan hutang tersebut dan hutang-hutang kerajaan yang lain yang sekarang ini pun telah mencecah hampir RM700 billion. Mereka jugalah yang akan terpaksa memaksa generasi akan datang bekerja siang dan malam untuk membantu membayarnya melalui sumbangan cukai GST, cukai pendapatan dan cukai-cukai lain.

Prof. Mohd Nazari Ismail, PhD. Ketua, Biro Penyelidikan IKRAM

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply