Punca Sebenar Terjadinya Zina Dan Bagaimana Menyelesaikannya – Ayat Ibrahim

0
766
views

“Jangan pergi dekat-dekat dengan dapur! Bahaya!”

Seorang ibu sedikit menyergah anaknya tatkala melihat buah hatinya ligat bermain ke sana ke mari.

Si ibu yang begitu mengenali karakter anaknya cukup masak dengan risiko-risiko yang ada kerana telahpun berlaku beberapa kecederaan kecil sebelum ini disebabkan kelincahan anaknya.

Larangan itu tanda sayang dan cinta.

Dan Allah bahkan lebih mengenali sifat hamba ciptaanNya. Manusia yang bersifat lemah, mudah sekali nafsunya terseret dan terperosok tatkala mendekati perkara-perkara larangan dan keji.

Konsep jangan dekati “lingkaran bahaya” itu apatah lagi merupakan larangan pertama yang diterima manusia pertama.

Dan (Allah berfirman) “Wahai Adam! Tinggallah engkau bersama isterimu dalam syurga dan makanlah apa sahaja yang kamu berdua sukai. Tetapi janganlah kamu berdua dekati pohon ini. (Jika didekati) menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”

Al-‘Araf, 7 : 20

Bicara Tuhan tidaklah berbunyi “Jangan panjat batang pokok” atau “Jangan makan buah khuldi”. Tetapi,  Dia langsung mengarahkan untuk “Jangan dekati.”

Ibarat pasir jerlus, tatkala terperosoknya kaki, sulit untuk dikeluarkan kembali, terus dan terus masuk ke dalam bumi. Berani untuk mendekati pasir jerlus?

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya (zina) itu suatu perbuatan keji dan jalan yang buruk.

Al-Isra’, 17 : 32

***

Terkait tajuk entri kali ini, apakah cara untuk menjauhi zina? Inginkan solusi?

Sebelum pergi lebih jauh, izinkan penulis menangkap perhatian pembaca berkaitan potensi dan kekuatan perubahan yang ada dalam diri manusia. Umum mengetahui, setiap manusia itu, ada diri fizikalnya, intelektual, emosional dan spiritual.

Seandainya solusi difokuskan kepada elemen fizikal, maka nasihatnya akan berupa : block segala laman web lucah, bangunkan software yang membantu ibu bapa monitor perlakuan anak-anak di alam maya, asingkan pelajar lelaki dan perempuan di sekolah, lancarkan kempen, desak kementerian penerangan untuk tapis setapis-tapisnya segala drama atau filem yang tidak senonoh.

Dan senarai ini akan berterusan.

Segala usaha murni dan jerih payah ini amat dihargai. Dan… fuh.. fuh.. fuh..  Sejujurnya, sangat penat andai solusi berfokus kepada segala apa yang ada di “luar”.

Meskipun banyak usaha di peringkat fizikal ini dilakukan, tetapi ibu bapa masih resah mengenangkan “imuniti jauhi zina” di kalangan anak-anak masih lemah.

Bagaimana pula seandainya solusi berfokuskan pada intelektual atau kebijakan manusia? Ini juga satu usaha murni untuk diteruskan.

Berikan input kefahaman dan kesedaran terkait keburukan zina, sisi buruk penyakit-penyakit kelamin dan macam-macam lagi. Perkenalkan masyarakat dengan pendidikan seksualiti secara ilmiah.

Dan usaha ini telahpun dilaksanakan. Pun begitu, masih ada ngomelan guru kaunselor

“Semasa program bukan main nangis-nangis bertaubat takut tengok akibat. Tapi malam boleh pulak sambung dating dengan pakwe dia.”

Ini realiti. Kita mampu berusaha, tetapi hati yang mahu berubah sahaja akan mendapat kebaikan.

Dan kekuatan emosi itu bahkan lebih merajai daripada faktor yang lain. Berilah segala maklumat terkait keburukan zina, namun, “Demi cinta, lautan api sanggup kuredah.” 

Bicara soal emosi bukan mudah untuk dirawat. Pun begitu, masih boleh diusahakan. Bina kembali ikatan murni antara diri dan keluarga. Rawati emosi-emosi tidak terurus.

Dan sebenarnya, fokus entri kali ini mensasarkan pembangunan ruh spiritual agar iman yang dibina itulah yang membangkitkan kekuatan untuk menjauhi zina. Bagaimana pendapatmu mengenai  solusi buat hati yang berteraskan Al-Quran?

***

Sebelum menyelam lebih mendalam, sisi perspektif masing-masing perlu diperhalusi. Mengambil contoh dunia perubatan, ada istilah signs & symptoms (tanda-tanda penyakit) dan root cause of disease (punca penyakit).

Seandainya sesuatu signs & symptoms disalah erti sebagai root cause of disease, kaedah rawatan akan jauh berbeza dengan seseorang yang benar-benar meletakkannya pada posisinya.

Begini.

Contoh penyakit – tinggi kolesterol dalam darah.

Ini adalah root cause of disease atau signs & symptoms?

Andai melihatnya sebagai sejenis penyakit yang “berdiri sendiri”, tiada perkara lain yang menjadi punca.

Maka kaedah rawatan adalah memberikan pil untuk suppress penghasilan kolesterol atau merendahkan paras kolesterol dalam darah. Dan pil yang diambil harus ditelan seumur hidup.

Aneh. Mengapa golongan sebegini, selepas menerima rawatan, ada yang kembali ke hospital dengan tanda-tanda ketidakcukupan kolesterol dalam badan?

Didiagnos sebagai “tinggi kolesterol”, tetapi pesakit datang dengan keadaan rambut gugur hampir botak dan melaporkan masalah sexual dysfunction .

Kedua-duanya ada kaitan dengan keadaan badan yang kekurangan hormon bilamana “batu-bata”nya iaitu kolesterol, tidak mencukupi.

Bahkan tatkala menganalisa kualiti darahnya di bawah mikroskop, terlihat setiap sel darah merahnya berbentuk leper, berpunca daripada dinding selnya tidak cukup kolesterol untuk membentuk phospholipid bilayer.

Cerita konflik “kolesterol” ini berhenti di sini terlebih dahulu. Cukup sekadar memberikan gambaran seandainya perspektif tidak diposisikan dengan betul, ini akan mempengaruhi kaedah rawatan.

Misalnya, memang berlaku di negara kita, bilamana melihat isu virus HIV dan penyakit AIDS, ia diposisikan sebagai masalah yang “berdiri sendiri”, tiada kaitan dengan isu lain. Masalah AIDS bukanlah tanda-tanda (symptoms) kepada masalah lain (root cause).

Kerana itu kita pernah melihat di iklan-iklan billboard yang memberi kesedaran kepada masyarakat dan menganjurkan pemakaian kondom, agar diri anda selamat daripada dijangkiti virus HIV.

Di sebaliknya ada mesej, tak apa berzina, asalkan pakai kondom. AIDS itu satu masalah. Bukan symptoms kepada masalah yang lebih besar iaitu zina?

Turut berlaku di kalangan keluarga yang hampir berpecah belah apabila sesuatu isu tidak diletakkan pada perspektif yang betul.

Isu si suami yang ketagih pornografi dan memaksa isteri mengikut kehendaknya yang melampaui batas sehingga si isteri berkali-kali minta diceraikan.

Ada yang tampil memberikan khidmat nasihat agar si isteri turut bersama-sama suami melihat bahan pornografi, agar si isteri memahami kehendak suami.

Celaru.

Rumahtangga yang retak itu masalah. Tetapi pengingkaran kepada Tuhan itu bukan masalah?

Atau, rumahtangga yang retak adalah symptoms kepada masalah yang lebih besar iaitu kesyirikan kepada Tuhan dengan mentaati syaitan? Perbezaan perspektif ini benar-benar akan mempengaruhi kaedah rawatan yang akan diberikan.

Semua orang bebas berpendapat.

Dan izinkan penulis untuk berpendapat bahawa masalah zina adalah symptoms kepada masalah yang lebih besar iaitu Syirik kepada Tuhan dengan mentaati syaitan.

Zina itu sendiri adalah masalah ranting yang sekumpulan dengan perkara lain seperti meminum arak & membunuh, yang mana kesemuanya dikelompokkan Allah di dalam kitabullah sebagai “fawahish” (perkara keji).

Justeru, apa puncanya, apa masalah akarnya (root cause)?

Puncanya terkait iman. Mensyirikkan Allah dengan syaitan melalui ketaatan kepada bisikannya, menjerumuskan seorang hamba menjadi pengikut kepada pimpinan syaitan.

Wahai anak cucu Adam! Janganlah sekali-kali kamu tertipu oleh syaitan sebagaimana halnya dia (syaitan) telah mengeluarkan ibu bapamu daripada syurga, dengan menanggalkan pakaian kedua-duanya untuk memperlihatkan auratnya. Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya dapat melihat kamu daripada suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

Al-‘Araf, 7 : 27

Tidaklah sesuatu itu dilabel sebagai pemimpin melainkan ada yang mengikutinya. Tidaklah manusia itu menjadi pengikut syaitan melainkan kerana dirinya terus dan terus mengikuti bisikan syaitan. Mensyirikkan Allah tanpa sedar.

Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tdak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencela aku, tetapi celalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu” Sesungguhnya, orang yang zalim akan mendapat seksaan yang pedih.

Ibrahim, 14 : 22

Seperkara yang harus difahami, gaya bahasa Al-Quran andai diperhalusi dan dihayati akan membantu setiap kita memahami isu ini. Sebagai contoh, seseorang memberi nasihat

“Jangan minum teh tarik dan air manis yang lain.”

Mesej ini memberi makna, jangan minum semua air manis terutama sekali teh tarik. Walaupun teh tarik tergolong dalam kumpulan air manis, tetapi si pemberi nasihat memfokuskan teh tarik dengan menyebutkan namanya sendirian, disusuli air-air manis yang lain.

Justeru, bagaimana pendapatmu seandainya di dalam Al-Quran, kerap kali kita mendengar frasa “perkara keji dan mungkar”?

Perkara keji itu sendiri adalah sesuatu kemungkaran. Tetapi mengapa Allah fokus kepada perkara keji kemudian baru disusuli perkara mungkar yang lain?

Seolah-olah mesejnya berbunyi “Jangan buat kemungkaran, terutama sekali perkara keji ni!”

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya dia (syaitan) menyuruh kamu mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar. Kalau bukan kerana kurniaan Allah dan rahmatNya kepadamu, nescaya tidak seorang pun di antara kamu bersih (daripada perbuatan keji dan mungkar) itu selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

An-Nur, 24 : 21

Sudah tadabbur sepotong ayat di atas? Selain terfokus kepada keterkaitan syaitan dan perkara keji dan mungkar, ada satu lagi mesej Tuhan yang harus difahami.

Mesejnya turut konsisten dalam sirath (jalan hidup) salah seorang nabi yang ternukil di dalam AL-Quran. Mesej yang ingin disampaikan adalah

“Kalau bukan kerana kurniaan Allah dan rahmatNya kepadamu, niscaya tidak seorang pun di antara kamu bersih (daripada perbuatan keji dan mungkar) itu selama-lamanya.”

Dan aku tidak (mengatakan) diriku bebas (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nasu itu selalu mendorong ke arah kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Yusuf, 12 : 53

Mesej ini sangat “besar”. Buatlah apa-apa, kalau bukan kerana kurniaan Allah dan rahmatNya, semua orang tak boleh lari daripada perkara keji & mungkar.

Ouch.

“Habis tu, bagaimana nak dapat kurniaan Allah dan rahmatNya? Saya tak nak terjebak dalam perkara keji dan mungkar…”

Dan ini adalah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan dengan penuh keberkatan. Ikutilah, dan bertaqwalah agar kamu mendapat rahmat.

Al-An’am, 6 : 155

Mahu tidak mahu, solusinya adalah keimanan kepada Al-Kitab. Melalui Al-Kitab yang disusuli ketaatan dan ketaqwaan, akan hadirnya Rahmat Allah.

Rahmat Allah bukan main-main. Justeru, keimanan kepada Al-Kitab, bukan sekadar keimanan berbasa-basi mengaku diri muslim. Tetapi benar-benar mengimaninya sehingga nampak dalam segala perilaku.

Keimanan kepada Al-Kitab penting buat mereka yang mahu menjauhi zina. Ini kerana, dengan melupakan Al-Quran, diri itu terperangkap dengan kekuasaan syaitan tanpa sedar.

Dan barangsiapa yang berpaling daripada pengajaran Allah Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami biarkan syaitan menyesatkannya dan menjadi teman karibnya.

Az-Zukhruf, 43 : 36

Ayat ini selari dengan formula dalam surah Al-Hijr. Andai benar tidak mahu dekati zina, perkara asas yang perlu difahami adalah :

  1. Kenali Tuhan. Fahami posisi keberadaanmu di bumi ini sebagai hamba dan terus memohon rahmat dariNya agar terselamat daripada perkara keji dan mungkar.
  2. Kenali syaitan. Kenali taktik-taktiknya. Sedari segala bisikan-bisikannya yang hadir dalam bentuk pemikiran-pemikiranmu. Dan, jangan ikut!

Ia (iblis) berkata “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang terpilih di antara mereka.” Dia (Allah) berfirman “Ini adalah jalan yang lurus (menuju) kepadaKu” Sesungguhnya kamu (iblis) tidak berkuasa ke atas hamba-hambaKu, kecuali mereka yang mengikutimu, iaitu orang yang sesat. Dan sesungguhnya, neraka Jahannam itu benar-benar (tempat) yang telah dijanjikan untuk mereka semuanya.

Al-Hijr, 15 : 39-43

Ayat di atas mengajar dua perkara untuk tidak mendekati zina.

Pertama, jadi hamba Allah.

Kedua, jangan ikuti syaitan.

Justeru , buat jiwa yang bertaubat, tatkala terlintas di fikiranmu yang mengajak untuk mendekati zina, mula menapak ke zon kelabu itu, dipujuk berkali-kali dalam benakmu “takpe, ni tak salah.”, bersegeralah mengingati Tuhan.

Bersegeralah mengingati Allah. Itulah benteng dan imuniti keimananmu.

Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingat Allah, lalu memohon keampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedangkan mereka mengetahui.

Ali-‘Imran, 3 : 135

“Aish, tapi kan. Saya benci dengan diri sendiri. Saya selalu bertaubat, tetapi lepas tu terjebak lagi berkali-kali, apa yang perlu saya buat.”

Untuk ini, anda memerlukan Surah Hud. Selami formula meneguhkan hati atas jalan iman. Ada 4 formula untuk teguh atas taubat yang diungkapkan (Baca selanjutnya http://tadabburmadeeasy.com/2017/07/16/setia-dengan-iman/ )

Maka tetaplah engkau (di jalan yang benar), sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu lakukan…

Hud, 11 : 112

Akhirnya, pilihan di tangan kita.

Untuk melihat zina sebagai masalah tersendiri atau melihat zina sebagai masalah yang berpunca daripada kesyirikan?

Mahu fokus kepada solusi berbentuk fizikal atau yang berbentuk spiritual?

Mahu memasang segala “tembok” luaran agar tidak terkena tembakan dan bedilan syaitan dan pengikutnya, atau fokus kepada imuniti keimanan dalaman sehinggakan meskipun diri itu dicampak di tengah-tengah musuh yang menyerang dari segala arah, masih kuat atas kebenaran kerana hadirnya rahmat Tuhan.

Kedua-duanya penting. Solusi luaran dan dalaman. Tetapi, yang dalaman itu lebih penting.

Begitu?

Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan pakaian untuk menutupi auratmu dan sebagai perhiasan bagimu. Tetapi pakaian taqwa, itulah sebaik-baik pakaian. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka beringat.

Al-‘Araf, 7 : 26

Antara pakaian (solusi fizikal) dan taqwa (solusi spiritual).

Senyum.

Pilihan di tangan anda.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply