QuranicGen?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani.

Segala puji dan syukur selayaknya hanya untuk Dia, Pencipta seluruh alam buana yang ghaib dan yang nyata. Hanya kerana nikmat, rahmat dan kasih sayang-Nya, maka dilahirkan kita ke dunia dengan tanggunjawab sebagai khalifah (al-Baqarah: 30) dan a’bid (az-Zariyat: 56) kepada-Nya. Alhamdulillah, tanggunjawab itu jugalah yang menolak kami untuk menubuhkan laman web yang sangat baru ini.

Untuk pengetahuan pembaca, laman web ini adalah tertubuh hasil daripada gabungan ikhwah dan akhawat yang pada asalnya mengendalikan laman web muharikah.com dan juga dakwat.org. Hasil daripada kesamaan aspirasi di antara kami yang bersatu atas landasan aqidah dan fikrah yang sama, maka tertubuhlah laman web baru ini sebagai salah satu medan pentarbiyahan buat kami dan juga agar menjadi sumber bahan tarbiyah kepada antum para pembaca. Insya-Allah.

Harapan kami semoga laman web ini dapat membantu sedikit sebanyak keperluan tarbiyah para da’ie dalam menjadi seperti Generasi al-Quran yang unik, persis kata-kata yang pernah dilafazkan Imam as-Syahid Hasan al-Banna:

“Kamu merupakan semangat baru yang mengalir dalam jiwa umat ini; yang menghidupkan umat dengan al-Quran. Kamu adalah cahaya yang memancar, yang menghapuskan kegelapan malam dengan ma’rifat Allah. Kamu juga adalah suara nyaring yang berkumandang mengulangi dakwah Rasulullah SAW. Oleh itu, kamu hendaklah merasakan bahawa diri kamu memikul tanggungjawab yang berat itu setelah semua orang menyisihkannya.”

Mari kita bersama berkongsi pengalaman dan kecintaan kita atas jalan dakwah dan tarbiyah ini. Bukankah dakwah KITA adalah dakwah C.I.N.T.A? Jadi seharusnya, atas dasar cinta itu, sama-sama kita alirkanlah segala nikmat dan penghayatan sepanjang perjalanan dakwah kita disini menjadi satu diari untuk tatapan kita dan umat sejagat… Insya-Allah, amin.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Dia (Allah) menjinakkan hati kamu sehingga kamu menjadi bersaudara dengan nikmat-Nya (nikmat Allah), padahal (dahulunya) kamu berada di pinggir lubang neraka, lalu Dia (Allah) selamatkan kamu. Demikianlah Allah menyatakan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda Allah) kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk.” (ali-‘Imran:103)