Rahsia Dakwah Hasan al-Banna Sehingga Berjaya Mempengaruhi Pemuda di Mesir – Ust Tajul Arifin

0
591
views

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan yang indah ini.

Hidup ini akan lebih indah apabila hubungan kita dengan Allah sentiasa terpelihara. Marilah sama-sama kita menjaga hubungan yang terpenting ini.

Hubungan yang akrab dengan Allah SWT inilah yang akan menjamin tugasan dakwah kita membekas di jiwa para mad’u kita (mereka yang kita seru).

Imam Syahid Hasan al-Banna pernah menukilkan jawapannya yang cukup indah bila ditanya apakah rahsia dakwahnya begitu berpengaruh dalam kalangan masyarakat terutama pemuda pemudi di Mesir ketika itu, beliau menjawab:

“Saya menyeru (berdakwah) mereka pada waktu siang dan pada waktu malam saya mendoakan (kepada Allah) pula untuk mereka (agar hati mereka menjadi lunak)”.

Sesungguhnya ia adalah akhlak para pendakwah dan murabbi (pendidik) bersama para mutarabbinya (murid) ketika para pendakwah sibuk menyantuni mereka pada siangnya dan tidak lupa mendoakan untuk mereka pada malamnya.

Ia adalah suatu pelajaran di sepanjang jalan dakwah ini. Apakah pengajaran yang dapat kita fahami dari jawapan ringkas di atas?

1. Dakwah ini adalah milik Allah. Allah menyuruh kita menyampaikan risalah ini kepada manusia.

Kerja kita para pendakwah hanya menyampaikan, bukan memaksa mereka menerima. Justeru, metodologi penyampaian harus disesuaikan dengan laras bahasa yang lunak
dan menarik.

Mungkin pelbagai cara harus digunakan.

2. Hati manusia berada dalam genggaman dan kekuasaan Allah SWT. Dia membolak-balikkan hati manusia mengikut kehendak-Nya.

Walaubagaimana hebat seorang pendakwah itu, ia bukan jaminan penerimaan manusia. Maka, banyakkan bermunajat kepada Allah siang dan malam kerana hidayah adalah milik Allah SWT.

3. Mengetuk telinga siapa yang kita seru dengan menunjuk ajar, memberi nasihat dan panduan sahaja tidak mencukupi, ia mesti disusuli pula dengan doa untuk mereka dalam ibadat kita bersama Allah SWT terutama pada waktu malam yang amat berharga itu, kerana mengadap Allah pada waktu malam itu adalah rahsia penerimaan manusia yang kita dakwahkan.

4. Hidayah adalah milik Allah SWT. Rasulullah SAW berdakwah kepada bapa saudaranya Abu Talib, namun baginda tidak berjaya mengislamkannya.

Allah memberi hidayah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Kita hanya merancang dan berusaha, Dia yang menentukan.

5. Dakwah tidak berhajat kepada kita, akan tetapi kita amat berhajat kepada usaha dakwah ini demi menyelamatkan diri daripada azab Allah SWT.

Bacalah firman Allah dalam surah as-Saff ayat 10. Allah menjelaskan bahawa berniaga dengan-Nya akan menyelamatkan kita semua daripada azab yang pedih.

Semoga kita semua dapat tsabat (tetap dan teguh) di atas jalan yang kita pilih ini sehingga ke penghujung hayat kita.

Jadilah kalian manusia yang sentiasa merindui Allah dan mendambakan redha-Nya.

 

Sumber : Tarbiatuna bil. 1

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply