Ramadhan Hadir Menghidupkan Kembali Ruh Tarbiyah – Aizat Kamal

0
31
views

Ramadhan adalah nikmat yang tidak pernah habis disebut-sebut. Lisan para da’i dan orang beriman tidak pernah mengeluh mengulasnya.

Telinga para perindu syurga tidak pernah bosan mendengarkannya. Pena para ulama tidak pernah kering menulis dan mengupasnnya. Buku-buku mereka bertebaran di mana-mana dalam beragam versi dan bahasa.

Namun begitu, masih ramai diantara kita yang belum memiliki himmah (obsesi) untuk meraih ganjaran pahala yang besar di bulan suci Ramadhan.

Saban tahun Ramadhan silih berganti, dan tahun ini juga tetamu agung ini datang kembali. Tapi pada setiap ketika ia datang, adakah ia telah dimanfaatkan sepenuhnya?

Bagaimana mutabaah amal kita pada Ramadhan yang lalu?

Adakah sudah tercapai semuannya?

Terlalu banyak yang perlu dimuhasabah oleh kita insan yang kerdil ini. Pada kesempatan Ramadhan kita harus kembali menghidupkan ruh tarbiyah setelah sebelumnya menjadi lesu dek kepenatan kita dalam mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi.

Imam As-Syahid Hassan al-Banna pernah berpesan kepada Ikhwan Muslimin dengan katanya: 

“Wahai Ikhwan, anda bukanlah sebuah badan kebajikan atau parti politik, bukan pertubuhan setempat bagi melaksanakan tujuan yang tertentu dan terbatas. Tetapi anda bagaikan ruh baru yang mengalir di dalam jantung umat ini yang dihidupkan oleh al-Quran, suatu cahaya baru yang menyinari alam yang melenyapkan kegelapan kebendaan dengan mengenali Allah, suatu suara yang kuat dan berulang-ulang yang membawa dakwah Rasulullah saw.”

TARBIYAH RUHIYAH RAMADHAN

Tidak dapat dinafikan Ramadhan merupakan madrasah tarbiyah ruhiyah yang paling ampuh. Madarasah ini dikurniakan oleh Allah swt untuk mendidik orang mukmin agar dapat menguatkan ruh mereka.

Dengan itu mereka akan memiliki kekuatan dalam menanggung kesusahan dan untuk meraih kemenangan ke atas mehnah dalam segenap kehidupan.

Apabila ruhiyah mereka hidup hasil daripada taqarrub dengan Allah swt dan ketakwaan, maka akan tersingkaplah makna dan hakikat. Terbukalah rahsia-rahsia yang hanya dapat ditangkap oleh orang yang bertakwa.

Apabila jalan rohani telah kita daki dan derajat takwa telah kita raih, kasih-Nya akan meliput diri.

Maka cahaya keimanan akan memancar dalam setiap nafas bagai mentari. Jika cahaya itu menyirami hati yang kerontang, maka suburlah hati itu. Jika cahaya itu menyinari kegelapan batin, tentu akan teranglah ia.

Dengan itu jalan dakwah akan terasa mudah, perjuangan akan terasa ringan dan pengorbanan menjadi suatu kenikmatan. Makanya  kita harus bersungguh-sungguh bermujahadah menghidupkan amal-amal soleh dibulan suci ini.

Antara amalan-amalan soleh yang dapat menghidupkan ruhiyah kita pada bulan Ramadhan adalah :

1.Solat tarawih dan qiamullail.

doa-3

Sejarah menyaksikan bahawa qiamullail sangat terkait rapat dengan kemenangan dakwah seperti apa yang berlaku dalam kisah Sultan Salahuddin al-Ayubi membuka kota suci Baitul Maqdis.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kita dituntut untuk melaksanakan solat sunat tarawih yang tidak ada dalam bulan-bulan yang lain secara berjemaah atau bersendirian.

Hukum solat sunat tarawih adalah sunnah muakkad (sunat yang dituntut). Disebabkan itu, kita sering mendengar akan hadith-hadith berkaitan kelebihan solat sunat tarawih.

Terdapat dalil yang menjelaskan motivasi untuk melaksanakan qiam Ramadhan iaitu solat tarawih. Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa melakukan qiam Ramadhan (solat tarawih) kerana iman dan mencari pahala, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR Bukhari)

  1. Membaca, mentadabur dan mengamalkan Al-Quran.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَ بَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَ الْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkannya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang nyata yang menunjuk kepada kebenaran, yang membezakan antara yang haq dan bathil…” (QS: Al-Baqarah: 185)

Bulan Ramadhan juga disebut sebagai bulan Al-Quran. Allah swt menyanjung bulan puasa dibanding bulan-bulan lain dengan dipilihnya sebagai waktu diturunkannya Al-Quran Al-Azhim. 

Oleh yang demikian antara amal ibadah yang sangat ditekankan untuk diperbanyak pada bulan Ramadhan adalah membaca (tilawah) dan mentadabur Al-Quran.

Terdapat banyak hadith yang menyebutkan tentang keutamaan atau fadhilah membaca Al-Quran. Di antaranya ialah :

Dari Abu Umamah Al-Bahili , saya mendengar Rasulullah saw bersabda:

عَنْ أَبي أُمَامَةَ الْبَاهِلِىُّ رضى الله عنه قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ «اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

“Bacalah Al-Quran, kelak ia akan datang di Hari Kiamat memberi syafaat kepada para pembacanya.” (HR. Muslim).

Pada hari kiamat kelak, Allah swt akan menjadikan pahala orang membaca Al-Quran sebagai sesuatu yang berdiri sendiri, datang memberikan syafaat dengan izin Allah kepada orang yang rajin membacanya.

Rasulullah saw memerintahkan untuk membaca Al-Quran dengan bentuk perintah yang bersifat mutlak. Sehingga membaca Al-Quran diperintahkan pada setiap waktu dan setiap kesempatan.

Lebih ditekankan lagi pada bulan suci Ramadhan untuk kita berinteraksi dengannya.

Ada suatu kenyataan sejarah yang harus direnungkan oleh semua muslim di setiap tempat dan di setiap waktu. Dakwah Islamiyyah pernah menghasilkan suatu generasi manusia, iaitu generasi sahabat.

Suatu generasi yang mempunyai ciri tersendiri dalam seluruh sejarah Islam dan dalam seluruh sejarah ummat manusia kerana hebatnya mereka berinteraksi dan mengamalkan Al-Quran.

Generasi tersebut  disebut sebagai generasi quran yang unik oleh Sayyid Quthb.

  1. Membasahi lisan dengan zikir.

Zikir merupakan ibadah hati dan lisan yang tidak mengira batasan waktu. Bahkan Allah menyifati ulil albab adalah mereka yang sentiasa menyebut Rabnya, baik dalam keadaan berdiri, duduk bahkan juga berbaring.

Rasulullah saw pernah menggambarkan perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup, sementara orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang mati:

عَنْ أَبِي مُوْسَى رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الذِّي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالذِّي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ

“Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir, adalah seumpama orang yang hidup dan mati.” (HR. Bukhari)

Dalam riwayat lain juga, Rasulullah saw memberi perumpamaan dengan sebuah rumah. Rumah orang yang berzikir kepada Allah adalah rumah manusia hidup manakala rumah orang yang tidak berzikir adalah seperti rumah orang mati atau kuburan.

Seorang mukmin yang sentiasa mengajak orang lain untuk kembali kepada Allah swt, akan sangat memerlukan bekalan dan kekuatan zikrullah melebihi daripada seorang muslim biasa.

Hal ini kerana mereka ingin kembali menghidupkan hati umat yang telah mati. Sekiranya hati para da’i sendiri telah mati dan tidak tenteram, bagaimana mungkin sesaorang dapat memikul amanah menyebarkan risalah dakwah.

Allah swt menjelaskan dalam Al-Quran bahwa qolbi atau hati orang beriman dapat menjadi tenang dan tenteram hanya apabila kita berzikir atau mengingati Allah.

الذِّيْنَ آمَنُوْا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوْبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikir kepada Allah. Ingatlah bahwa hanya dengan dzikrullah hati menjadi tenang.” (QS: Ar Raad : 28)

Ketenangan bukanlah hanya sebuah kata-kata yang tiada makna dan hampa. Namun ketenangan memiliki dimensi yang sangat luas, iaitu mencakup kebahagian di dunia dan akhirat. Perhatikanlah bagaimana Allah swt ketika memanggil seorang hamba untuk kembali ke syurga-Nya:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠

 “Wahai jiwa-jiwa yang tenang. Kembalilah kamu pada Rabmu dalam kondisi redha dan diredhai. Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu dalam syurga-Ku.” (QS:Al-Fajr:27-30)

download

  1. Memberi makan pada bulan puasa.

Ketahuilah sekadar memberi sesuap nasi, secangkir teh atau setangkai kurma boleh menjadi ladang pahala buat mereka yang berpuasa. Maka sudah sepantasnya kesempatan tersebut tidak dibiarkan begitu sahaja.

Dari Zaid bin Khalid RA, bahwa Rasulullah saw bersabda :

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

“Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu walau sedikit pun.” (HR Tirmidzi)

Mereka yang memberi makan semasa berbuka kepada orang lain akan mendapat pahala sama dengan orang yang berpuasa itu, tidak berkurangan sedikit pun.

Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan umatnya dan juga manusia yang lain. Hal yang demikian dapat melahirkan persefahaman dan mengeratkan ukhuwah di antara satu sama lain.

  1. Menghadiri majlis ilmu, halaqah atau usrah.

“Sesungguhnya di dunia ini ada taman-taman syurga. Barangsiapa tidak memasuki taman syurga dunia, maka dia tidak akan memasuki syurga di akhirat.”

Begitulah sebuah ungkapan masyhur dari syaikh Ibnu Taimiyah mengenai taman syurga dunia. Lalu apakah taman syurga dunia itu ?.

Dari Anas bin Malik, bahwa Rasulullah saw bersabda:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا قَالُوا وَمَا رِيَاضُ الْجَنَّةِ قَالَ حِلَقُ الذِّكْرِ

“Jika kamu melewati taman-taman syurga, maka singgahlah dengan senang.” Para sahabat bertanya,”Apakah taman-taman syurga itu?” Beliau menjawab,”halaqah-halaqah (kelompok-kelompok) dzikir.” (HR Tirmidzi)

Marilah kita duduk dan beriman sejenak dalam halaqah-halaqah tarbiyah meyegarkan kembali kekuatan ruhiyah. Kita mencelupkan peribadi kita dan mewarnainya dengan warna Islam . Peruntukkan waktu kita walaupun sebentar. Ambillah manfaat dari taman-taman syurga terutama dibulan suci Ramadhan yang merupakan madrasah tarbiyah.

Yang Terakhir , Yang Teristimewa, Kita Persembahkan

Ramadhan, tahun 10 Hijrah. Ada yang tidak biasa dilakukan oleh baginda Rasulullah saw. Biasanya, malaikat Jibril menyemak bacaan Al-Quran baginda sebanyak satu kali.

Namun pada Ramadhan tersebut ia melakukan sebanyak dua kali. Begitu juga, kebiasaannya pada hujung bulan Ramadhan, baginda melakukan iktikaf sepuluh hari. Namun, Ramadhan itu, baginda melakukan sebanyak dua puluh hari.

Bolehkah-Sujud-Tilawah-bagi-Wanita-Haid

Ternyata sebuah lambaian perpisahan telah datang daripada Rasulullah saw kepada bulan suci nan agung. Ramadhan terakhir yang istimewa buat baginda. Perhatikanlah Rasulullah saw tidak melepaskan peluang memperbanyak amalan melebihi kebiasaannya pada Ramadhan terakhir baginda.

Begitu juga seharusnya kita. Mungkin saja Ramadhan kali ini adalah yang terakhir. Tidak ada lagi peluang bagi kita untuk meyambutnya pada tahun akan datang.

Sesungguhnya maut itu akan pasti dirasai oleh insan yang bernyawa dan kehadirannya merupakan rahsia Allah swt. Justeru itu kita harus sentiasa bersiap sedia dengan bekalan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah swt saat segala amal ibadah kita dihisab.

Jadikanlah Ramadhan kali ini lebih bermakna dan berkualiti daripada tahun-tahun sebelumnya. Semoga pada bulan puasa ini tidak kita hanya menahan rasa lapar dan dahaga malah madrasah tarbiyah ini menghidupkan ruhiyah baru dan menjadikan kita insan yang bertakwa.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply