Rukun Usrah : Dalami 3 Elemen Ini Supaya Usrah Tidak Hambar

0
287
views

perbincangan didalam usrah

Umum mengetahui ‘usrah’ adalah salah satu wacana yang penting dalam proses pentarbiyahan individu Muslim.

Keberkesanan pengendalian usrah pula sangat berkait rapat dengan kesungguhan dan komitmen setiap ahli usrah memahami rukun usrah yang menjadi batu asas kepada wasilah tarbiyah ini.

Hari ini tidak sedikit yang mengadu akan hambarnya usrah, tidak seperti mula-mula mereka menyertainya dahulu.

Ini kerana usrah yang mereka fahami itu hanya setakat pertemuan-pertemuan jasad ahlinya yang tidak disertai ruh iman.

Mereka menyangka usrah itu adalah program pertemuan seminggu sekali selama beberapa jam sambil berbincang beberapa perkara berkaitan Islam.

Sekiranya hanya sekadar ini yang dimaknai sebagai ‘usrah’ bagaimanakah mahu menghasilkan tarbiyah yang berjaya seterusnya membina lebih ramai individu-individu Muslim?

Oleh itu, tidak dapat tidak, adalah menjadi kemestian untuk kita kembali mengamati dan mendalami kembali rukun dalam usrah yang telah disusun oleh Imam as-Syahid Hasan Al-Banna.

Ketiga-tiga rukun usrah ini, tidak lain hanyalah amal praktikal kepada firman Allah dan juga sabda Nabi Muhammad SAW.

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara.” – (al Hujuraat : 10)

“ Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, saling mengasihi, dan saling berlemah lembut adalah seperti jasad yang satu. “

Kata al-Banna memelihara rukun-rukun dalam usrah ini seharusnya dilakukan dengan ruh iman yang tinggi demi mencapai redha Allah bersama-sama.

 

3 Elemen Utama Rukun-Rukun Usrah

 

rukun usrah

 

Rukun Pertama : Taaruf

Antara salah faham yang sering berlaku adalah menyangka proses ‘taaruf’ atau saling berkenalan adalah berlaku pada fasa-fasa permulaan usrah sahaja.

‘Taaruf’ yang sering dilakukan oleh ahli usrah adalah sekadar saling mengetahui nama, pekerjaan dan tempat tinggal masing-masing. Jadi sesi yang ringkas seperti ini hanya berlaku pada pertemuan-pertemuan awal usrah sahaja.

Walhal, taaruf itu seharusnya berlaku sepanjang masa. Semasa berada di dalam pertemuan usrah, mahupun di luar.

Banyak kaedah untuk saling berkenalan (taaruf) dengan ahli usrah antaranya termasuklah menziarahi rumah masing-masing. Bahkan ziarah-menziarahi ini sepatutnya menjadi agenda wajib setiap usrah.

Ini kerana dengan ziarah, bukan sahaja ahli usrah yang lain dapat mengetahui di manakah rumah ahli tersebut, malah dapat mengenali keluargnya dengan lebih dekat.

Proses taaruf adalah proses yang sangat penting dan tanpa taaruf yang benar-benar berkesan, dua rukun yang berikutnya akan menjadi sangat sukar dilakukan.

Rukun Kedua : Tafahum

Seterusnya adalah saling memahami ataupun tafahum. Faham adalah tahap yang lebih tinggi daripada sekadar tahu atau kenal. Faham memerlukan perasaan empati. Rasa ingin mendalami perasaan ahli usrah lain. Rasa cinta dan sayang kepada ahli usrah.

Atas dasar iman dan juga cinta, seorang ahli usrah akan menegur rakan ahli lain sekiranya beliau ada melakukan kesilapan. Ini kerana bencinya ahli usrah tersebut kepada maksiat yang akan menyebabkan rakannya terjerumus ke jalan dosa.

Atas dasar cinta juga, ahli usrah yang menegur tersebut akan mencari jalan terbaik yang paling berhikmah untuk menegur rakannya. Kerana niatnya yang ikhlas dan murni, bukan untuk mengaibkan rakannya.

Seterusnya dengan rendah hati dan insaf, rakan yang ditegur itu menerima dengan hati terbuka, malah berterima kasih kepadanya kerana membetulkannya dari kesilapan.

Beliau bahkan gembira kerana ahli usrahnya menegur dan membantunya dalam usaha mentarbiyah diri menjadi insan yang lebih baik.

Semua ini hanya dapat dicapai apabila setiap ahli usrah telah mencapai tahap saling memahami dengan baik antara satu sama lain. Pransangka jahat dan bisikan syaitan yang ingin memecahbelahkan kesatuan ukhwah mereka sedikit pun tidak akan berkesan.

rukun-rukun usrah
kredit

Rukun Ketiga : Takaful

“Seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain adalah ibarat batu-bata yang menjadikan sebuah bangunan; sebahagiannya mengukuhkan sebahagian yang lain.”

Hadis ini menjadi sandaran utama kepada rukun usrah yang ketiga iaitu takaful atau saling tolong menolong. Saling tolong menolong adalah bukti yang paling konkrit untuk menzahirkan keimanan dan ukhuwah sesame ahli usrah.

Setiap ahli usrah harus selalu peka dan cakna akan perihal ahli yang lain. Sentiasa mencari peluang untuk memberi bantuan sekiranya diperlukan.

Biasakanlah bertanya keadaan ahli usrah; mengenai keluarganya, pekerjaannya, dan medan amalnya.

Percayalah, sekalipun anda tidak dapat memberi bantuan yang diperlukan, ahli usrah tersebut akan sangat menghargai keprihatinan yang anda zahirkan.

“ Barangsiapa yang memasukkan kegembiraan kepada sebuah keluarga Muslim, maka Allah tidak melihat balasan (yang lebih baik) baginya kecuali syurga.”

rukun dalam usrah
kredit

Penutup

Tuntasnya, sekiranya anda yakin dengan wacana usrah untuk mengubah dan mentarbiyah individu Muslim, maka peliharalah ketiga-tiga rukun usrah tersebut. Kerana tanpa salah satu sahaja usrah akan menjadi tempang.

Sekali lagi ditegaskan, usrah bukanlah pertemuan-pertemuan ringkas yang dijalankan setiap minggu. Usrah adalah keluarga yang diikat dengan tali ukhuwah, iman dan kefahaman dakwah.

Artikel Yang Berkaitan :

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply