Salah Faham Jamak Dan Qasar Ketika Musafir – Ust Syed Shahridzan

0
51154
views

Allah SWT memberi dua kemudahan kepada orang yang bermusafir untuk melaksanakan solat iaitu JAMAK dan QASAR.

Untuk seseorang itu mendapat kelayakan rukhsah(keringanan) solat musafir(jamak dan qasar) mestilah menepati beberapa syarat.

Berikut adalah syarat-syarat yang dimaksudkan :

Pertama: Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah.

Kedua: Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah(boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat).

Ketiga: Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat.

Keempat: Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’ie, Jilid 1, Bab Solat Musafir)

HUKUM YANG DISALAH ERTI

Syarat ke-4 merupakan perkara yang PALING DISALAH ERTIKAN oleh ramai orang.

Sehingga mereka menyangka jika sudah merancang untuk menetap di sesuatu tempat (contohnya) 2 minggu, maka menyangka masih boleh menjamak dan mengqasarkan solat dalam tempoh tiga hari.

Sedang ia adalah sangkaan yang salah dan tidak bertepatan dengan apa yang termaktub di dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafi’ie.

Jika seseorang yang menetap (contohnya) di Shah Alam merancang untuk berada (contohnya) di Kota Bahru selama 7 hari.

Maka dia hanya dibenarkan untuk menjamak dan qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan setibanya di destinasi dia sudah menjadi orang yang bermukim.

MENGAPA TIDAK BOLEH LAGI JAMAK DAN QASAR?

Ini kerana apabila seseorang itu berazam untuk menetap (contohnya) di Kota Bahru lebih dari 3 hari, ini bermakna ia telah berniat bermukim di destinasi itu.

Apabila dia sampai ke destinasi tersebut maka dia sudah mendapat status orang yang bermukim bukan lagi musafir.

Sedangkan rukhsah(keringanan) solat musafir hanya diizinkan oleh Allah Ta’ala bagi orang yang berstatus musafir, sepertimana Allah berfirman di dalam surah al-Nisa’, ayat 101:

وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”

Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Mihaj al-Tolibin’, menurut beliau:

ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح

Maksudnya: “Jika seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.”

Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir(jamak & qasar) selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi.

Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir .

APAKAH MAKSUD ‘TIDAK TERMASUK HARI KELUAR DAN MASUK’?

Menurut mazhab Syafi’ie, tempoh untuk menentukan seseorang itu berstatus mukim ialah menetap di sesuatu tempat selama 4 hari(24 jam darab 4) atau lebih, tetapi tidak dikira hari perlajanan ke destinasi dan hari pulang.

Sebagai contoh:


Situasi 1:

Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 6 hari iaitu dari hari Isnin hingga Sabtu. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Sabtu.

Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 4 hari setelah tolak hari pergi dan pulang.

Menurut kiraan tersebut, Ahmad secara otomatik telah berniat bermukim di Kota Bahru iaitu selama 4 hari(Solid).

Dengan ini, setiba Ahmad di Kota Bahru beliau tidak boleh lagi solat musafir.

Situasi 2

Berlainan pula jika Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 5 hari iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Jumaat.

Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 3 hari setelah tolak hari pergi dan pulang.

Ini bermakna Ahmad masih lagi berstatus musafir meskipun sudah tiba di Kota Bahru kerana keberadaannya di sana kurang dari 4 hari.

 

PENUTUP

Sememangnya solat jamak dan qasar merupakan rukhsah kurniaan Allah ta’ala pada hamba-hambanya. Ini membuktikan rahmat dan kasih sayang Allah pada kita semua agar tidak lekang dari mendirikan solat yang telah disyariatkan kepada kita.

Artikel di atas menerangkan konsep sebenar solat musafir dalam kaedah yang sebenar menurut mazhab Imam Syafi’ie beserta dengan dalil yang sahih dari Rasulullah.

Oleh itu perlu beramal sesuatu itu dengan ilmu pengetahuan dan fakta yang tepat bukan dengan ikut-ikutan, apatah lagi dengan sengaja mencari pendapat yang lebih ringan sehingga menjadikan seseorang itu bermudah-mudahan di dalam menjalani ibadah.

Amalan bermudah-mudah sebegini semestinya dicela oleh para ulama salaf dan khalaf, malah ulama bersepakat bahawa seseorang yang memilih-milih pendapat atas dasar kemudahan atau mengikut hawa nafsu diharamkan di sudut syarak.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Artikel asal daripada : Laman Facebook Ust Syed Shahridzan

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply