Sejarah Adalah Tentera Tuhan Yang Menguatkan Hati – Inche Faris

0
24
views

knowledge-book-library-glasses-min

Apa yang tertimbul di benak fikiran kita apabila terdengar atau terbaca perkataan ‘sejarah’?

Jika soalan ini ditanya kepada pelajar-pelajar sekolah menengah yang mengambil subjek Sejarah, ramai dari mereka yang akan memberkan jawapan yang serupa seperti;

“ bosan “

“ boring “

“ tak best “

“ ngantuk “

Dan pelbagai lagi jawapan-jawapan yang kurang positifnya.

Buat mereka yang jatuh cinta kepada sejarah, sudah pasti jawapan atau respon sebegini akan member kesan kepada diri mereka. Manakan tidaknya, sejarah yang mereka cintai itu diperlakukan sebegitu rupa oleh golongan yang tidak mahu mengerti sejarah.

Saya percaya, punca kepada ketidaksukaan seseorang terhadap sejarah, khususnya golongan pelajar adalah kerana pelbagai faktor yang berlaku dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh dari pemerhatian saya, ada antara guru subjek Sejarah yang hanya mengajarkan sejarah kepada anak-anak murid mereka atas sebab mahu cepat menghabiskan silibus dan mengajar mereka bagaimana untuk skor subjek Sejarah di dalam peperiksaan, sama ada peperiksaan pertengahan semester atau peperiksaan besarseperti PMR, PT3 atau SPM.

Ini akan memberikan kesan yang begitu mendalam dalam diripelajar, membina mind set mereka bahwa Sejarah itu adalah koleksi ribuan malah jutaan fakta dan maklumat yang perlu dihafal dan dihadamkan untuk dimuntahkan ke atas kertas-kertas soalan peperiksaan di kemudian hari. Mereka akan membina persepsi awal ini terhadap sejarah dan akan ‘memperkosa’ subjek sejarah dengan mentality kurang enak ini, dan akhirnya menanamkan sikap bosan untuk mempelajari sejarah. Terang-terang kita dapat lihat bahwa tenggelamnya nilai-nilai sejarah yang begitu indah dalam pemikiran ‘kejam’ ini.

Memetik mutiara kata Imam Abu Qassim Al-Junaid, bahwa Sejarah itu merupakan tenteraTuhan yang menguatkan hati.

Mengapakah begitu?

Jika hendak membedah definisi sejarah, sejarah bukanlah hanya himpunan hikayat-hikayat atau cerita-cerita klasik yang tidak member erti, yang hanya memberikan fakta-fakta, nombor-nombor, tarikh-tarikh untuk dihafal, bahkan sejarah mengandungi makna yang lebih cantik dari apa yang diperkatakan. Hendaknya member sebuah definisi dalam satu ayat yang lengkap, sudah pasti tidak terkata akan makna sejarah.

Sejarah bukanlah seperti yang diperkatakan orang ramai, sejarah adalah guru bukan fizikal yang membentuk peribadi manusia.

Kerana sejarah itu sentiasa ada bersama kehidupan manusia, sama dia suka atau pun tidak, ia tidak boleh lari dari pada sejarah yang sentiasa terikat dengannya. Setiap saat yang berlalu dalam kehidupan kita adalah sejarah, apa yang kita lakukan semalam hari adalah sejarah, kelahiran kita di dunia ini adalah sejarah, pertandingan yang pernah kita menangis sewaktu di zaman persekolahan adalah juga sejarah. Bahkan setiap perkara atau peristiwa yang telah berlaku dalam kehidupan kita, tidak boleh terkeluar dari ruang lingkup sejarah.

Namun pada hari ini, pada saat ini, belum ramai yang begitu menghargai sejarah sedang sejarah itu adalah sebahagian besar dari kehidupan kita, bahkan ia adalah seluruh kehidupan kita!

Hari ini sejarah diperlakukan dengan begitu kejam     sekali, seolah-olah kita tidak memerlukan kepada sejarah kerana terlalu sibuk mencipta dan mengukir masa hadapan yang dirisaukan. Bagaimana mungkin kita ingin membina sebuah tamadun yang cemerlang tanpa melihat kepada sejarah, tanpa melihat ke belakang, menyaksikan peristiwa-peristiwa lepas yang telah menghiasi jalan-jalan yang telah kita terokai. Sudah pasti binasa akan apa yang akan kita cipta jika tidak mempelajari kesilapan-kesilapan lalu yang pernah dilakukan oleh orang-orang terdahulu.

Persoalan yang perlu kita fikirkan sekarang adalah,

Bagaimana kita ingin mencintai sejarah dengan sebenar-benar cinta?

Salah satunya adalah, dengan mengutip mutiara-mutiara usaha sang pengkaji sejarah. Saya tidak sempitkan definisi ahli sejarah itu adalah terdiri dari kalangan mereka yang ambil bidang sejarah dalam universiti. Namun makna ahli sejarah sebenar bagi saya adalah mereka yang sanggup meluangkan waktu, tenaga dan wang untuk mengkaji sesuatu fakta dengan jalan kajian yang benar dan diiringi semangat ingin mengetahui sesuatu perkara dengan betul dan bukan hanya terima mentah-mentah dari mulut-mulut manusia yang tidak suka mengkaji.

Sebagai contoh saya datangkan seorang pengkaji sejarah yang amat terkenal di tanah air, Dr. Hafidzi Mohd Noor. Beliau bukanlah seorang yang pernah mengambil bidang sejarah ketika zaman kampusnya, namun cintanya terhadap sejarah yang begitu tinggi dapat dibuktikan dengan usaha beliau yang bersungguh-sungguh dalam mencari sejarah. Beliau berkorban masa, tenaga dan wang untuk menjelajah ke tempat dan kawasan-kawasan bersejarah di dalam mahupun di luar negara untuk membuat kajian dengan lebih mendalam. Dan alhamdulillah, dari kajian-kajian beliau lahirlah siri buku-buku sejarah iaitu Jejak Risalah Di Nusantara dan Jejak Risalah Di Nusantara II yang telah menjadi rujukan ramai orang.

Antara jalan lain untuk mencintai sejarah adalah dengan tidak bergantung kepada satu sumber rujukan sahaja. Mungkin ini kesilapan sebahagian besar kita, di mana kita terlalu memilih dalam mengetahui sesuatu perkara, hingga hampir ke semua sumber yang kita pilih itu adalah yang kita suka atau minati, inilah apa yang digelar sebagai bias atau berpihak kepada satu pihak sahaja.

Dalam mengkaji sesuatu, khususnya mengkaji sejarah, kita perlu perluaskan minda dan merajinkan diri untuk membuka lebih dari satu buku atau laman web yang kita percayai untuk menimba ilmu yang lebih luas dan pelbagai. Mungkin kita mengkaji sesuatu topik yang sama, akan tetapi penjelasan atau latarbelakangnya berbeza berdasarkan pengetahuan penulis atau pengkaji. Usah bertindak jumud dalam apa jua perkara, tentu kita akan lebih terbuka untuk menerima sesuatu yang bukan dari pihak kita.

Mencintai buku adalah juga merupakan langkah besar untuk mencintai sejarah. Mereka yang mencintai buku, tidak akan berkira untuk mengeluarkan duit dari sakunya untuk memiliki sesuatu buku itu meskipun harganya agak mahal dan benar-benar menguji. Bahkan dia sanggup pergi mengembara di seluruh dunia dan singgah di kedai-kedai buku untuk membeli dan menatapi koleksi buku-buku lama yang mungkin sudah tidak dicetak lagi dan hanya terdapat di sebahagian kecil kedai-kedai buku. Terhad buku-buku itu.

Sejarah adalah tentera Tuhan yang benar-benar menguatkan hati!

Penulis : Inche Faris – budakpicisan.wordpress.com

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply