Selamat Belayar Sahabat!

1
131
views

Selamat Belayar Sahabat!

Selamat Belayar Sahabat!Selamat Belayar Sahabat! | Bayangkan, kita sedang belayar di sebuah lautan yang sangat luas bersama jutaan manusia lain. Dalam perjalanan menuju ke destinasi, kapal kita berhenti di sebuah pulau yang sangat cantik. Lalu, kita diberi tempoh untuk turun berehat di persinggahan itu dan kutip segala keperluan untuk dijadikan bekalan.

 

Namun kerana terlalu leka dan terpedaya dengan kecantikan pulau itu, ada di antara kita terlupa untuk mengutip keperluan bekalan. Sampai satu masa, semboyan berbunyi menandakan kapal akan bergerak semula menuju ke destinasi, barulah kita tersedar dan mulai gelisah.. Tapi perjalanan harus diteruskan. Lalu kita menaiki kapal itu semula dengan perasaan hampa tanpa sebarang bekalan. Akhirnya kita menyesal.

 

Sahabat, inilah analogi kepada kehidupan kita. Kita semua berada di dalam kapal yang sama untuk menuju destinasi yang sama. Destinasi yang dituju itu adalah akhirat yang abadi dan pulau yang kita singgah itu adalah dunia di mana kita berada sekarang. Di hujung perjalanan nanti kita akan bertemu dengan Al-Khaaliq yang dicintai iaitu Allah s.w.t.

 

Fikirkan, bagaimanakah keadaan kita apabila bertemu Dia nanti?

 

Bahagia atau kesal?

 

Sudah cukupkah bekalan yang dikutip di dunia yang sementara ini?

 

Jika dilihat dengan mata kasar, kehidupan ini mudah. Kita dilahirkan ke dunia. Kemudian membesar hari demi hari. Kita bersekolah, kita bekerja, kita berumahtangga, kita semakin meningkat dewasa dan bila sampai masa kita kembali kepada Pencipta.

 

Simple.

 

Tapi benarkah semudah itu kehidupan? Dilahirkan hanya untuk menemui kematian?

 

Ramai orang menjalani kehidupan ini tapi seingkali terlupa matlamat utamanya. Seolah-olah dunia ini tiada makna. Seolah-olah hidup ini hanya sekali sahaja iaitu di dunia. Seolah-olah akhirat itu tidak pernah wujud. Sedarkah, matlamat kita yang sebenarnya adalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t?

 

Apa sahaja yang berlaku di dunia ini, apa sahaja yang Allah ciptakan pastinya punya tujuan. Cumanya antara kita sedar atau pun tidak sahaja. Malah Allah s.w.t menciptakan manusia pun bertujuan. Iaitu untuk beribadat kepadaNya dan pada masa yang sama diangkat menjadi khalifah untuk memimpin dunia.

 

Janganlah menjadi seperti pemain bola sepak yang bermain di padang, menendang bola ke sana sini, tetapi tiada pintu gol. Lalu apakah matlamat bermain bola? Bagaimana hendak menentukan kalah menang sesuatu perlawanan? Ataupun seorang pemanah yang mempunyai busur dan anak panah yang hebat tetapi tiada sasaran. Ataupun seorang pelumba lari yang bersungguh-sungguh berlari tetapi tidak tahu di manakah garisan penamat. Lama-lama mereka berasa bosan lalu berputus asa.

 

Begitu juga dengan kehidupan. Apabila tiada matlamat, manusia akan mudah berasa bosan dan cepat berputus asa. Seolah-olah kehidupan ini tidak bermakna. Memang benar kita belajar untuk berjaya dalam peperiksaan, kita bekerja untuk mendapatkan wang, kita berumahtangga untuk mendapatkan zuriat dan sebagainya. Itulah tujuan kita. Tetapi, tujuan di dalam tujuan adalah untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t. Jika kita sedar akan perkara ini, tidak akan ada ruang pun untuk kita berbuat mungkar, berlengah-lengah, bermalas-malasan dan berputus asa.

 

Manusia, belum sempat mencari, sudah mahu berhenti. Ada pula yang sudah di pertengahan jalan, tetapi berpatah balik kerana jemu dan penat. Sebab itulah, di saat kita jatuh, kita sering memberikan alasan untuk tidak bangkit semula. Siapakah diantara kita yang benar-benar faham akan matlamat hidupnya?

 

Namun begitu, saya punya berita baik untuk kalian. Sahabat yang dicintai, kini kita masih di pulau persinggahan itu, semboyan itu belum berbunyi. Kapal kita belum lagi mahu bergerak semula menuju ke destinasi. Kita masih punya masa! Marilah kita kutip segala bekalan yang bermanfaat agar nanti tatkala kita bersemuka dengan Pencipta kita, apa yang kita rasa cuma bahagia.

 

“Sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.”(Al Baqarah : 197)

 

Teruskanlah mencari keredhaan Illahi. Kumpulkanlah sebanyak mungkin bekalan. Jadilah khalifah yang berjiwa hamba. Jangan tunggu sehingga semboyan itu berbunyi baru kita mahu gelabah! Sebagai seorang manusia, kita akan selalu terlupa akan matlamat kita yang sebenarnya. Saya juga begitu, tapi berusahalah mengingatkan diri kita yang lemah ini. Jika jatuh bangun lagi, jika gagal bangkit lagi sampailah masanya untuk kita kembali. Bertahanlah, jangan berputus asa dan jangan mengalah. InsyaAllah, semoga Allah redha.

 

“Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya yang berputus asa itu adalah mereka yang kafir.”(Yusuf : 87)

­­­______________________________________________________________________________

Seandainya waktu memilih untuk berhenti berjalan
Seandainya mentari memilih untuk berhenti bersinar
Seandainya bumi memilih untuk berhenti berputar
maka manusia akan mati daripada kehidupan

 
Namun
waktu memilih untuk tetap berjalan memberi manusia kesempatan
mentari memilih untuk terus bersinar memancarkan cahaya
bumi memilih untuk setia berputar tepat pada paksinya
kerana redhanya mereka pada kehendak Tuhan
yang tidak pernah berhenti memberi hambaNya kenikmatan
tanpa sedikitpun kekurangan
tanpa sedikitpun kelewatan
cuma manusia berakal dangkal
tidak tahu menilai kasih sayang Tuhan
lalu berlari membelakangi keredhaanNya

 

Maka sedarlah wahai teman,

kita masih punya ruang dan kesempatan

untuk memperbaiki segala kesilapan

dan teruskanlah perjuangan

mencari redha Tuhan.

 

Farah Hani Azman

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

1 COMMENT

Leave a Reply to kiwi Cancel reply