Semangat Infiru

1
6,680
views

Semangat Infiru

Semangat Infiru

Apabila diperhatikan, saya selalu tertanya-tanya,

“Mengapa ramai akhawat yang saya kenali menjadi super women hanya selepas menyertai gerabak dakwah dan tarbiah?”

Kerana saya melihat mereka yang berduit, tak kisah untuk mendermakan ke tabung-tabung Palestine dan Syria. Tidak lokek membelanja rakan-rakan akhawat. Malah, mungkin boleh membelikan handphone baru untuk akhwat yang kecurian handphone nya.

Saya melihat akhawat yang tidak sihat, sanggup melupakan rehat di atas katil. Bersama-sama turun padang berdaurah, berprogram bersama-sama. Paling tidak pun akan menolong AJK program dengan kerja-kerja ringan.

Saya memerhati akhwat terlalu baik sehingga tidak pernah berkata TIDAK apabila akhwat lain memerlukan pertolongan. Muka sentiasa tersenyum walaupun keletihan merangkul dirinya. Ajaib sungguh!

Saya melihat akhwat yang sudah berkeluarga, sedang mengandung malah sudah mempunyai anak, masih cool dan bergaya menguruskan kehidupan rumahtangga mereka, menyediakan juadah  seawal mungkin, segera membasuh pakaian dan selesai menyiapkan kelengkapan ahli keluarga supaya dapat bersama-sama akhwat yang yang lain bermesyuarat, berdaurah, malah berjaulah bersama-sama. Anak kecik dibawa ke sana ke sini tanpa rasa terbeban.

Saya selalu terfikir, apakah formula sehingga mereka ini boleh menjadi super women?

Adakah mereka mengambil supplement tambahan? Atau ada Pil Kuat yang sangat menakjubkan? Atau sebenarnya mereka ini bukan manusia? Mereka ini adalah robot tanpa penat?

Akhirnya saya dapati, jawapannya hanya satu. SEMANGAT INFIRU!

Allah berfirman,

“ Berangkatlah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. ( At-taubah: 41)

Subhanallah, Saya menyaksikan sendiri kesan Infiru ini.   Alhamdulillah, apabila Allah mentakdirkan saya untuk berada di Mesir sepanjang Ramadhan yang lepas, mengizinkan saya merasai dan melihat sendiri perjuangan ikhwanul muslimin dan rakyat-rakyat mesir yang berkampung di Rabaah untuk mengembalikan semula demokrasi yang dicabul.

Jujur saya menyatakan bahawa saya dapat merasai kuatnya sumpahan semangat Infiru itu menyelubungi mereka semua. Tidak kira tua, muda, kanak-kanak, bayi, perempuan dan lelaki, kaya atau miskin, semuanya turun padang bagi menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Bayangkan mereka yang datang jauh dari seluruh pelosok Mesir untuk bersama-sama berkumpul di Rabaah. Bersusah-payah menaiki kereta api, bas, tremco dari Iskandariah, Aswan, Mansuro, dan lain-lain. Perjalanan yang mengambil masa beberapa jam, untuk sampai ke Kaherah.

Kemudian apabila sampai di Rabaah, tiada hotel mewah yang menyambut mereka. Hanya disediakan khemah-khemah sahaja di dataran itu. Tidak kira kaya atau miskin, semuanya duduk dan baring di lantai yang sama. beratapkan langit yang sama. Tiada sofa dan katil empuk tersedia.

Jika hendak mandi dan berhadas, mereka akan memenuhi masjid-masjid di sekeliling Rabaah. Selalu sahaja saya terserempak dengan makcik-makcik yang sedang membasuh pakaian di tandas di Masjid Fatimah Zahra, masjid yang terletak berdekatan dengan medan Rabaah.

Tetapi, mengapa mereka tidak kisah dan tidak mengeluh?

Kerana mereka faham apa tujuan mereka ke sana. Untuk menegakkan al-haq dan menumpaskan kebatilan. Bukannya datang bercuti makan angin. Tetapi untuk menegakkan kebenaran, perlu ada bayaran dan maharnya.

Malah, ada yang siangnya bekerja,kemudian lewat petangnya selepas tamat sahaja bekerja, terus sahaja bergegas ke Medan Rabaah. Untuk berbuka puasa, menunaikan solat terawih, qiamullail bersama-sama ikhwah akhawat di sana.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi mereka sudah bergegas ke tempat kerja semula.   Subhanallah..

Terkelu saya saat terserempak dengan mereka di pagi hari ketika bas yang saya naiki untuk ke hospital berhenti di tepi medan itu, dan berpusu-pusu lelaki menaikinya. Paling menginsafkan apabila melihat Al-quran kemas tersisip di tangan masing-masing.

Kerana apa mereka sanggup melupakan empuknya katil di rumah mereka? Selesanya tandas di rumah mereka? Dinginnya aircond di kediaman mereka? Dan bersusah payah berhimpit-himpit berkumpul di Medan Rabaah ini?

Kerana mereka memiliki Semangat INFIRU ini..

Apakah anda terfikir, dalam kesesakan ramai orang sebegini, bagaimana agaknya mereka berwudhu dan berhadas?

Malu saya dengan mereka ini. Saya yang tinggal di rumah yang selesa, tak perlu berebut tandas, masih boleh menggosok baju setiap hari (kerana ini antara concern besar utk seorang perempuan) pun masih merungut setiap hari jika terpaksa ke hospital, sedangkan rakan-rakan batch lain sudah menikmati cuti masing-masing.

Ahh, sikit sangat semangat infiru saya dibandingkan dengan mereka. Mungkin, sikit sangat saya bersyukur jika dibandingkan dengan mereka.

 INFIRU!!

Berangkatlah!!   Mahupun ringan atau berat.

Saya pasti, setiap orang ada mempunyai mujahadah masing-masing.

Bagi yang berada, untuk menginfa’ kan duit ke tabung-tabung adalah ringan baginya, tetapi berat untuk mereka yang wangnya cukup-cukup makan.

Bagi yang mempunyai kereta, untuk ke tempat program/ keluar berdakwah mudah baginya dibandingkan dengan orang yang terpaksa bersusah payah mengangkut beg, menahan bas/ public transport untuk ke program.

Bagi yang bujang, ringan baginya untuk ke program, dibandingkan dengan yang sudah bekeluarga, lagikan pula jika sudah beranak-pinak. Mana mahu diuruskan anak-anak ketika keluar berbulatan gembira/ berprogram/ berdakwah.

Mereka yang sikit tanggungjawabnya ringan untuk menawarkan tenaganya untuk jalan dakwah ini dibandingkan dengan mereka yang punya banyak tanggungjawab, harus difikirkan banyak perkara terlebih dahulu.

Yang sudah berumur pasti sangat berat untuk bergiat aktif dibandingkan dengan yang muda bergetah. (Tapi sejujurnya saya melihat masih ramai pakcik makcik yang fizikalnya nampak tua, tapi semangat mereka masih muda dan mantap, bahkan mengalahkan orang muda.. =,=)

Mereka yang lelaki, mudah jika ingin meminta keizinan keluar rumah berprogram, tetapi berat pertimbangan ibubapa untuk mengizinkan anak perempuan mereka keluar rumah.

Itulah, masing-masing punya keringanan dan keberatan tersendiri.

Jika kita menyingkap sejarah para sahabat, mereka juga mempunyai mujahadah masing-masing. Contohnya ketika tiba seruan jihad Perang Tabuk, mengapa Kaab Bin Malik begitu payah untuk menyertainya? Berlengah-lengah persiapannya sehingga akhirnya beliau ketinggalan?

Kerana saat itu Allah sedang mengujinya dengan hasil tanaman yang menjadi, masak ranum dan musim panas yang sangat terik ketika itu.

Lihatlah, sedangkan ahli badar yang keislaman mereka tidak diragui lagi juga diuji dengan kesenangan dunia, apatah lagi kita yang marhaen ini.

 Jika tidak mampu, mari jadi yang begini  

Allah juga berfirman,

“ Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Al-Anfaal: 74)    

Jika kita tidak mampu menjadi orang Muhajirin yang berhijrah dan mengorbankan harta ke jalan Allah, tak apa kerana Allah Maha Penyayang dan memahami keadaan dan mujahadah hambaNya.

Mari kita menjadi Ansar yang menyambut Muhajirin dengan penuh kesyukuran dan membantu dengan penuh keikhlasan.

Kaum Ansar menawarkan rumah, harta malah isteri kesayangan mereka kepada kaum Muhajirin. Subhanallah.

Bagaimana mereka boleh membuat keputusan tak masuk akal ni? Hebat betul pengorbanan mereka, sehinggakan boleh menawarkan  Isteri tersayang kepada saudara yang baru sampai ke Madinah, saudara seislam yang tak pernah dikenali sebelum ini?

Ini kerana mereka betul-betul beriman dengan ayat INFIRU ini.

Jika kita tak mampu untuk keluar berdakwah, mari kita sumbangkan harta kita.

Jika kta tak mampu ke Palestine, Syria dan Mesir, mari kita terus menderma dan sumbangkan doa kita untuk umat islam di sana.

Jika kita terlalu sibuk dengan kerjaya,dan betul-betul tiada pilihan lain, tak apa. Mari kita sedekahkan sebanyak mana harta kita untuk anak-anak yatim atau masjid-masjid.

Buatlah apa sahaja yang anda mampu. Mainkan peranan anda di setiap ceruk sudut yang anda mampu celahi.

Kerana Allah menghitung usaha kita, bukan Natijahnya.

Mari serap semangat Infiru ini!

Jika kita rasa sangat malas untuk keluar berdakwah, ingatlah, Ada lagi orang lain yang susah payah keluar berdakwah dengan hanya wang yang cukup-cukup di tangan.

Jika kita merasa lengah, ingatlah bahawa kematian tidak menunggu kita.

Jika kita merasa futur, bangkitlah, kerana iman itu perlu disemai dibaja dan jangan biarkan futur anda dihiasi.

Jika anda merasa susah, berdoalah supaya Allah memudahkannya.

Jika kita merasa sangat lemah, bangkitlah! Kuatkan diri anda!! Mantapkan mujahadah anda, kerana syurga itu memang mahal dan perlukan mujahadah.

Dan jika anda merasa sangat pahit, senyumlah! Ketahuilah memang mujahadah itu pahit, kerana SYURGA nanti sangat MANIS.

Penulis : Musyirah Hanan Zulkarnain

Blog Penulis : musyirahanan.blogspot.com

1 COMMENT

  1. Semangat yang tidak putus asa. Semoga semangat ini ada di dalam sanubari muslimin muslimat di Malaysia. Betapa sekarang anak muda sangat kacau jiwanya. Terlalu banyak sogokan persekitaran ke arah melemahkan peribadi muslim diberikan; sama ada kita sedar atau tidak.
    Tidaklah dapat kita mengangkat pedang. InsyaAllah, akan kami usahakan agar generasi keturunan kami adalah generasi penghuni syurga yang kekal, muslimin dan muslimah cemerlang dunia…Aminn!

Leave a Reply