Surat Untuk Mereka Yang Mengalami Musibah

0
2,164
views

Surat untuk mereka yang mengalami musibah

Tahun 2014 adalah tahun yang tidak mudah buat kita.

Sepanjang tahun, kejadian-kejadian yang tidak kita ingini menimpa kita satu persatu. Sepanjang tahun, ada banyak tangis dan sendu terhimpun di dalamnya.

Maka, buat saudara-saudara kami yang:

1) kehilangan orang-orang yang mereka sayangi dalam nahas MH370, MH17 dan QH8501
2) terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun ini
3) ditimpa apa-apa jua musibah sepanjang tahun lalu

Surat ini ditujukan buat kamu.

Dalam kehidupan ini, kita akan menemui pelbagai ujian, musibah, cabaran dan rintangan sama ada ujian itu kita rasakan adil atau tidak untuk berlaku ke atas diri kita. Namun, setiap kali kita melalui semua itu, setiap kali itu juga kita akan dapati bahawa apa yang penting tidak bergantung pada apa ujian yang kita lalui. Tetapi, bagaimana kita menghadapi semua itu. Apa reaksi kita? Apa pemahahaman kita? Apa refleksi kita? Apa tindakan kita? Semua itu akan menentukan sama ada kita mampu menghadapi ujian tersebut dengan baik atau tidak. Malahan, mungkin ada orang yang mampu mencipta kejayaan hasil dari ujian tersebut.

Maka, kami lihat kamu adalah orang yang mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Kerana kamu adalah orang yang mengatakan ‘Sesungguhnya kami datang daripada Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’ (2:156) apabila musibah datang menimpa.

Kerana kamu adalah orang yang digambarkan pada sabda Rasulullah saw: ‘Sangat mengagumkan sekali keadaan orang mukmin itu. Sesungguhnya semua keadaannya itu merupakan kebaikan baginya. Jika mendapat nikmat ia bersyukur dan syukur itu lebih baik baginya. Apabila menderita kesusahan maka ia bersabar. Maka kesabaran itu lebih baik darinya (Muslim)

Untuk bersabar bukanlah satu kerja mudah kerana sabar itu termasuk ‘pekerjaan yang dilakukan dengan hati yang teguh’ (As-Syura:34). Jikalau musibah yang sama menimpa kami, kami sendiri tidak tahu sama ada kami mampu bersabar seperti itu.

Jika kita amat-amati firman Allah’dan sabda Rasulullah saw. Kita akan dapati ganjaran untuk orang-orang yang sabar ini sangat besar.

Contohnya, seperti ini:
‘Tidak ada balasan bagi hamba yang beriman di sisi-Ku, di waktu Aku mengambil (mematikan) kekasihnya dari ahli dunia, kemudian mengharapkan redha Allah,melainkan orang itu mendapat syurga.’ (Bukhari)

Dan ini:
‘Tada seorang Muslim yang menderita kelelahan, atau penyakit atau kesusahan…melainkan sebagai penebus dosanya’ (Bukhari, Muslim)

Berbahagialah kerana kamu bakal memperoleh semua ini.

Selain itu, musibah yang menimpa kita ini telah menyerlahkan sisi kita yang jarang ternampak sebelum ini.

Sisi terbaik kita.

Ramai di antara kami telah bersatu hati mengirim doa, mengumpul dana dan sumbangan, turun untuk berziarah, membantu untuk memulih dan merawat.

Semua ini menunjukkan bahawa kamu tak pernah bersendiri. Jika ada antara kita yang telah (dan akan) ditimpa musibah, yang lain akan akan turut sama menanggung akibatnya.

Kerana kita saling mencintai antara satu sama lain laksana satu tubuh ‘Jika satu bagian anggota tubuh sakit maka kan merasa sakit seluruh tubuh dengan tidak bisa tidur dan merasa demam.” (Bukhari dan Muslim)

Semua ini tak akan terlihat jika semua ini tidak pernah terjadi.

Terima kasih kerana mengajar semua ini pada kami.

Kamu adalah hero-hero di tanah air ini yang ingin saya jadikan jiran di jannah.

Moga Allah izinkan.

 

Penulis : Amal

Blog Penulisamalasyurablog.wordpress.com

Leave a Reply