Ketegangan konflik antara Ikhwan Muslimin dan kerajaan semakin sukar dibendung. Sandiwara kerajaan Mesir untuk memperbaiki hubungan itu terbukti dengan terbunuhnya pemimpin nombor satu gerakan paling berpengaruh di Mesir ketika itu.
Perbincangan diatur di Pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin.
Imam Hasan al-Banna bersama adik iparnya, Abdul Karim Mansur akhirnya membuat keputusan untuk pulang sahaja ke rumah selepas Solat Isyak.
Dari jam 5 petang mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya (wakil kerajaan) yang sepatutnya hadir bersama untuk berunding. Masih tidak kunjung tiba.

Abdul Karim meninggal di tempat kejadian.
Menggagahkan dirinya, al-Banna berjalan masuk kembali ke pejabat tersebut untuk mendapatkan bantuan. Setelah ambulan sampai, al-Banna di bawa ke Hospital Qasr al-Aini.
Malangnya di sana, Jeneral Muhammad al-Jazzar mengawal dan melarang sebarang rawatan diberikan kepada al-Banna.
Akhirnya tepat pada jam 12.50 tengah malam, Imam Hasan al-Banna menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat kecedaraan yang parah dan kehilangan darah yang banyak.
Tanggal 12 Februari 1949, syahidnya seorang mujaddid ummah yang dicintai para pengikutnya.
Seorang Ayah Yang Tiada Pilihan
Tepat jam satu pagi, pihak polis menyampaikan berita kematian kepada ayah Hasan al-Banna dengan dua pilihan:
- Pihak polis akan menghantarkan jenazah al-Banna ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengkebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan.
- Jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu.
Sudah tentu sang ayah memilih untuk menguruskan jenazah anaknya sendiri. Sekurangnya buat terakhir kalinya, beliau dapat menatap wajah anaknya yang tercinta itu.
Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Hasan al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandi dan mengkafanikan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri.
Apakah agaknya yang bermain di fikiran sang ayah, tatkala melihat sekujur tubuh anak yang kaku di hadapannya. Apalah dosa anaknya itu sampai terhukum dengan sedemikian rupa.
Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis menjawab, biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya.
Kudrat apakah yang dimiliki oleh seorang tua berusia lebih 90 tahun bersama beberapa orang perempuan untuk mengusung jenazah itu?
Tanpa pilihan lain, berjalanlah sang ayah yang sudah sangat uzur itu bersama tigo orang anak perempuannya, mengusung jenazah al-Banna menuju Masjid Qaisun untuk disembahyangkan.
Hatta, masjid tersebut telah dikosongkan oleh pihak polis agar tiada yang berkumpul atau turut sama solat jenazah untuk Imam al-Banna. Selesai disolatkan sendiri oleh ayahnya, jenazah terus dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Mereka menyangka dengan membunuh tubuh itu, fikrah dan kesatuan ummah akan berkecai, namun ternyata mereka silap. Kerana hingga hari ini, setelah 68 tahun perginya Imam al-Banna, Jemaah itu tetap utuh malah berkembang ke seluruh pelusuk dunia.