TAK IKUT USRAH PUN BOLEH MASUK SYURGA!!!

0
104
views

IMG_0262

Saya telah dikunjungi oleh beberapa orang pelajar yang Allah telah buka hati mereka dan beri peluang untuk mengikuti program tarbiah dan usrah yang dikendalikan oleh IKRAM.

Kami berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam pelbagai topik. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka mengemukakan satu persoalan:

“Ada kawan yang dulunya ikut usrah bersama kami, tapi sekarang tidak lagi. Alasannya, nak masuk syurga tidak semestinya ikut usrah. Tak ikut usrahpun boleh masuk syurga juga! Macamana nak jawab, Ustazah?”

Memang betul. Ikut usrah atau tidak bukan jaminan boleh masuk syurga. Hatta Rasulullah s.a.w. sendiri tidak dijamin selamat dengan amalannya (Hadis Sahih riwayat Muslim, Kitab Riyadhus-Solihin, bab Istiqamah). Kita masyuk syurga dengan rahmat Allah. Namun Allah berjanji dalam banyak ayat bahawa orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkanNya ke dalam syurga. Kita wajib percaya bahawa Allah tidak memungkiri janji-janjiNya.

Berbalik kepada persoalan ikut atau tidak ikut usrah adakah mempunyai kaitan dengan masuk syurga atau tidak? Jawapannya, kalau Allah hendak bagi masuk dengan rahmatNya kita akan masuk. Kalau tidak, tidaklah. Maka tak perlulah nak bergaduh, tak perlu nak bersusah payah tarik orang sana sini supaya join usrah dan sebagainya! Betulkah begitu?

Pada pendapat saya, kita perlu ikut usrah bukan kerana kalau tak ikut kita tidak dapat masuk syurga, tetapi kita perlua ikut kerana:

Pertama – surah al-‘Asr. Allah tegaskan bahawa untuk membebaskan diri dari golongan yang rugi mesti mempunyai empat perkara: iman, amal soleh, pesan berpesan dengan kebenaran, pesan berpesan dengan kesabaran.
Kalau tidak bersama kumpulan usrah, mungkin tidak ada masalah untuk memelihara iman dan amal soleh. Tetapi yang ketiga dan keempat, bagaimana? Senangkah untuk kita pergi memberi nasihat, berpesan kepada semua orang dengan kebenaran dan kesabaran? Dan senangkah semua orang akan datang memberi nasihat dan pesanan kepada kita? Ayat itu menyebut pesan berpesan (tawasau), bermakna ada dua pihak atau lebih yang saling berpesan. Itulah sebenarnya satu daripada agenda usrah. Jika kita tidak berada di dalam kumpulan usrah, dapatkah kita laksanakan pesan berpesan itu dengan berkesan? Jika tidak dapat, maka kita tidak terkeluar dari lingkungan orang yang rugi!

Kedua – nasihat Luqman. Antara ayat yang paling popular dan sering dibaca untuk diambil pengajaran, khususnya dalam bidang pendidikan atau pertarbiahan ialah nasihat Luqman yang terkandung di dalam ayat ke 13, 16, 17, 18 dan 19 surah Luqman. Di dalam nasihatnya itu, Luqman bukan sahaja berpesan agar anaknya menjadi seorang yang baik (soleh) dengan memiliki iman yang kental dan amalan yang mantap. Sebaliknya dia berpesan supaya anaknya juga menjadi seorang musleh (yang membaikkan) “… dan suruhlah manusia berbuat yang makruf dan cegahlah mereka dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu …” Untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, tidak mudah jika bersendirian tanpa dukungan dan sokongan teman-teman seperjuangan. Nabi Musa a.s. bila diperintahkan pergi berdakwah kepada Firaun, memohon supaya Allah jadikan saudaranya Harun sebagai pembantu. Maka usrah merupakan persiapan untuk kita melaksanakan tugas sebagai musleh.

Ketiga – surah al-Hajj:77 dan 78. Ayat-ayat ini menjelaskan tanggungjawab yang dituntut ke atas orang-orang beriman bukan hanya menyempurnakan ibadah rukuk sujud kepada Allah semata-mata. Mereka disuruh berbuat baik dalam erti kata yang seluas-luasnya, berjihad menegakkan agama Allah di muka bumi dan menjadi saksi kepada umat manusia seluruhnya. Tanggungjawab yang begitu besar dan berat pastinya tidak mampu kita pikul bersendirian. Kita perlu bergabung tenaga, idea, membuat perancangan, mengatur langkah, menyusun tindakan dan memacu amalan. Oleh itu, menggabungkan diri di dalam usrah adalah permulaan kepada mempersiapkan diri melaksanakan satu misi yang diperintahkan oleh yang maha pencipta lagi maha kuasa.

Keempat – sirah Nabi s.a.w. Cara membina diri dengan pantauan ketua atau naqib bukan sesuatu yang baru. Ketika perjanjian ‘Aqabah kedua yang berlaku sebelum hijrah antara Rasulullah s.a.w. dengan 75 orang Yathrib (73 lelaki dan 2 perempuan –ar-Rahiq al-Makhtum), setelah selesai perjanjian Nabi s.a.w. meminta supaya mereka memilih 12 orang ketua sebagai naqib dari kalangan mereka untuk memantau dan mempastikan semua yang telah berbai’ah mematuhi apa yang telah dipersetujui. Baginda s.a.w. tidak membiarkan mereka masing-masing pegang dan laksanakan apa yang telah dijanjikan. Sebaliknya baginda s.a.w. meminta supaya mereka memilih naqib untuk memantau dan memerhatikan kesetiaan mereka.

Itulah pandangan saya. Jika anda bersetuju, marilah sertai kami. Jika tidak bersetuju, saya doakan semoga Allah temukan anda dengan jalan yang terbaik untuk dunia dan akhirat anda.

Ditulis oleh : Ustazah Maznah Daud

Artikel Berkaitan :-

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply