Tapisan

0
5
views

Tapisan

TapisanTapisan Allah tidak pernah berhenti. Manusia yang pada mulanya disanjung dan dihormati oleh masyarakat sekeliling mungkin pada suatu hari nanti akan berada di bawah. Berada pada tahap yang sama dengan manusia dahulu yang dipandang rendah dan tidak bermaya. Saat tangan melipat baju di rumah, hati terusik dengan keadaan baju tersebut.

Hati mula disentuh oleh Allah sekali lagi untuk mengimbau keadaan diri manusia yang dibentuk atau di ‘tarbiyyah’ oleh Allah.  Baju yang dilipat atau di ‘iron’ kemas akan membawa kepada pengakhiran yang cantik dan tidak berkedut. Satu langkah demi satu langkah bermula dari saat kita melipat di bahagian tangan dan diakhiri di bahagian badan baju akan membentuk pengakhiran baju yang cukup cantik untuk dipandang.

 

Begitulah manusia. Setiap manusia akan diuji apabila diri bergelar sebagai seorang daie. Setiap ujian yang dihadapi akan membentuk sifat yang cukup positif dan bertaqwa pada Allah. Apabila diuji dengan ujian A, hati akan terbentuk menjadi B sampailah manusia melepasi ujian itu. Kemudian diuji pula dengan ujian C dan hati terbentuk dengan sikap D. Sampailah daie itu lengkap dengan sifat A sehingga Z. Indah kan susunan Allah? Allah hanya menginginkan yang terbaik untuk hambaNya.

 

Firman Allah swt (maksudnya) :

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi ini sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antara mereka yang lebih baik amalnya” (al-Kahfi : 7)

 

Mari kita menelusuri sirah dalam Al-Quran berkenaan kisah Talut dan Jalut dalam surah Al-Baqarah, ayat 246 – 251. Kisah yang berlaku dalam kalangan Bani Israel telah membuka mata berkenaan pelbagai sikap manusia yang semakin lupa dengan nikmat Allah. Semakin diberi nikmat, semakin ego dan sombong manusia itu. Apabila hidup susah dan menderita, manusia menangis di hadapan Allah meminta pertolongan.

Tetapi, apabila senang dan hidup dengan penuh kenikmatan, manusia terus lupa untuk bersyukur pada Allah. Dengan kesombongan dan keangkuhan Bani Israel, mereka enggan tunduk dan patuh untuk ikut berperang di jalan Allah. Keangkuhan telah mengaburi mata mereka tentang realiti bahawa mereka hanyalah insan biasa di hadapan mata Allah. Ingatkah kita bahwa nikmat susah dan senang itu merupakan ujian Allah untuk hambaNya? Jadi, jangan terus lalai! Mari perbaiki diri.

 

Firman Allah (maksudnya) :

Maka adapun manusia, apabila Tuhan mengujinya lalu memuliakan dan memberinya kesenangan, maka dia berkata,”Tuhanku telah memuliakanku”. Namun apabila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata, “Tuhanku telah menghinaku”.Sekali-kali tidak!” (al-Fajr : 15-17)

 

Apabila Allah menetapkan bahawa Talut menjadi ketua bagi memerintah kerajaan tersebut, Bani Israel tetap angkuh dengan kelebihan diri sendiri. Merasa bongkak dengan kebolehan diri menyebabkan manusia enggan tunduk pada pilihan Allah yang dirasakan tidak layak untuk menjadi ketua. Jika diambil pelajaran daripada sirah terdahulu, kaum yang ingkar pada Allah akan dikenakan hukuman berat oleh Allah di dunia dan akhirat. Malahan, Allah akan melenyapkan kaum tersebut dan menggantikannya dengan kaum baru lain yang lebih baik.

Tidak takutkah kita dengan janji Allah? Sesiapa yang beriman pada Allah dan melakukan kebajikan, Allah akan membalasnya dengan kebaikan. Jadi, wahai hamba Allah sekalian, janganlah berputus asa untuk mencari redha Allah dalam setiap perbuatan. Lalat yang dicipta untuk hinggap di tempat yang kotor juga sentiasa berzikir pada Allah, inikan pula manusia yang dicipta cukup mulia di sisi Allah. Cukup sempurna untuk menjadi khalifah dan pentadbir di muka bumi ini.

 

‘Ujilah bakal para pejuang dengan amal kuat yang banyak yang tidak disukai oleh mereka yang membebankan mereka, pisahkanlah mereka dengan hawa nafsu dan kebiasaan mereka agar mereka tahu apa itu hakikat perjuangan’ – kata-kata Imam Syahid Hasan Al-Banna

 

Dalam mengenal hakikat perjuangan, akan datang bertubi-tubi ujian dalam kehidupan seorang daie. Ujian nafsu diri, pelajaran, rumahtangga, ketidakfahaman rakan seperjuangan, naqib ataupun naqibah, mutarrabi yang makin sukar dibentuk dan sebagainya. Betul. Itulah bentuk ujian yang sentiasa mengawal kotak pemikiran manusia. Allah mentakdirkan tentera Talut untuk menghadapi saat getir di padang pasir bagi menghadapi tentera Jalut.

Ujian kehausan, kepenatan, kelemahan diri mengakibatkan satu persatu tentera tumbang dalam mematuhi arahan Allah. Tapisan Allah tidak mengenal rupa, darjat dan kepandaian. Hanya manusia yang benar-benar ikhlas berjuang di jalan Allah akan mengenal hakikat perjuangan yang sebenar dan terus subur membanjiri bumi dengan laungan takbir Allah. Hanya segelintir sahaja tentera Talut yang berupaya mengharungi ujian Allah dengan tidak minum air sungai atau minum dengan hanya sekali tegukan. MasyaAllah. Adakah kita berupaya menjadi dalam kalangan yang sedikit itu? Renung-renungkan lah.

 

Ingatlah bahawa ujian membawa kepada pentarbiyahan diri dan akhirnya membentuk kepada peribadi muslim dan mukmin yang cukup cantik di mata Allah. Teguhkan kaki melangkah dan ikhlaskan hati hanya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Mari berusaha insyaallah!

 

FARAH FADILAH BINTI MOD MA’ASUM

PELAJAR PERUBATAN

UNIVERSITY OF PALACKY, OLOMOUC,

CZECH REPUBLIC

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply