Tentang Tanggungjawab Muslim dan Kasih Sayang – Anas Mahmood

0
270
views

 

Manusia adalah makhluk terikat yang dengan makna-makna.

Makna di sini berkonotasi: tempat letak sesuatu dalam sebuah sistem.

Sistem pula boleh ditakrifkan dengan pengertian yang luas dalam ruang-ruangnya tersendiri yang terala dalam kesatuan kewujudan.

Oleh itu, jika berlaku kekeliruan makna dalam diri manusia, maka rosaklah penentuan hakikat dirinya sendiri.

Seorang muslim itu, sayugialah dia mengenal dirinya dalam makna yang terbaik.

Hal ini kerana junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. itu diutuskan Allah ke bumi hakikatnya menyempurnakan makna kemanusiaan seluruhnya yang dinamakan sebagai ‘risalah kenabian’.

Tiadalah risalah ini melainkan tersemat hakikat kalimah Toyyibah iaitu syahadah;

Tiadalah Tuhan yang layak benar dijadikan tujuan segala melainkan Allah, juga hanyasanya Nabi Muhammad itu pengutus juga pelengkap risalah Tuhan (syariah) buat seluruh manusia.

Begitulah, ia adalah amanat buat seluruh Kaum Muslimin; syahadah.

Syahadah, kalimah ini meletakkan peta bagi manusia itu berbahagia. Syahadah, kalimah ini mengundang kemesraan juga kejujuran dalam keluarga.

Syahadah, kalimah ini memandu masyarakat menjadi harmoni juga rahmah.

Dengan syahadah juga, ia membentuk sistem hidup yang mapan seluruhnya untuk kemaslahatan sejagat.

Ia adalah peletak dasar bagi penentuan makna yang terzahir pada konsep keadilan, hikmah juga adab.

Oleh itu, seorang muslim itu, sedari dia mengucap kalimah ini, selayaknya dia melebur serta menafikan dirinya sendiri semata-mata untuk mencapai hakikat syahadah. Tiadalah ia kata dua.

Di dalam tulisan kecil ini, saya ingin menekankan dua perkara agar bersama-sama kita menginsafi amanat ini:

1) Kesedaran

Kesedaran di sini bermaksud pengiktirafan diri sendiri akan batas-batasnya juga kekuatan-kekuatanya.

Dengan ini seseorang itu akan menghindari sifat angkuh juga lalai yang mana ia adalah musuh kepada kebenaran. Kesedaran juga bermaksud usaha bersungguh-sungguh untuk mengenal dirinya sebagai hamba dengan hikmah.

Oleh itu, seorang muslim itu akan sentiasa terkawal pada tiap perilakunya. Dia akan melihat dunia itu tiadalah ia hanyalah cukup sekadar tempat permusafiran dan bukannya tempat menetap selama-lamanya sesuai dengan sifat dunia itu; fana.

2) Cinta

Cinta itu adalah jalan sempurna. Ia adalah daya penarik bagi jiwa dan rasa segala. Tanpanya, terputuslah makna-erti hidup manusia.

Menginsafi akan peripentingnya hal ini, jiwa Muslim itu akan sentiasa menyambungkan dirinya dengan cinta.

Cinta dalam faham Muslimin itu seluruhnya adalah Allah S.W.T. sebagai sumber yang sempurna. Cinta yang mana tenaganya selamanya tidak pernah berakhir.

Cinta Allah S.W.T. adalah muara juga penentu segala. Dengan itu, dengan bersambungnya cinta seseorang pada Allah, ia akan mengalir juga mengufuk dalam segenap urusan manusia.

Lantas, menghasilkan bahagia sesungguhnya pada diri juga masyarakat. Jalan ini tiadalah akan dapat hanya melalui pendisiplinan diri juga rasa yang dalam.

Kita, manusia, hanyalah hamba semata. Seorang yang budiman lagi bijaksana, tidak akan melampaui akan hakikat dirinya. Semoga Allah sentiasa menerima amal-amal kita.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply