Tetap Berdegil Sampai Masuk Syurga – Semut Hitam

0
324
views

Setiap manusia yang diciptakan pasti ada sisi kedegilan yang tersendiri.

Baik anak-anak kecil, mahupun kita yang sudah dewasa pasti akan ada masanya kita hanya mahu menurut kemahuan sendiri tanpa menimbang tara pandangan orang lain ataupun implikasi yang bakal terjadi.

Yang pasti, kita hanya mahu kemahuan kita itu dipenuhi.

Antara contoh situasi ‘kedegilan’ yang mungkin biasa terjadi dalam kehidupan seharian kita;

1) Encik A tetap menghantar permohonan anaknya untuk didaftarkan ke sekolah berasrama penuh meskipun dia sedia maklum bahawa anaknya itu tidak memenuhi syarat kelayakan sekolah tersebut.

2) Puan B tetap ingin membeli kereta Honda Civic dan akan melakukan apa sahaja untuk memiliki kereta tersebut meskipun dia tahu bahawa dari segi kewangan dia sebenarnya tidaklah berkemampuan untuk memilikinya.

3) Pelakon wanita terkenal bernama C mengatakan bahawa beliau tidak akan bertudung kerana ingin menjadi diri sendiri.

4) Cik D meminta doktor untuk melakukan apa sahaja cara supaya adiknya dapat diselamatkan meskipun doktor telah memaklumkan kepadanya bahawa harapan untuk adiknya pulih seperti biasa adalah sangat tipis.

Degil merupakan satu kata adjektif ataupun satu sifat yang negatif.

Namun jika diamati sebaiknya, agak menarik sebenarnya jika kita cuba menggunakan konsep degil ini yang kebiasaannya membawa maksud negatif untuk diaplikasikan kepada perkara yang positif.

Contohnya;

1) Walaupun kita tahu bahawa kita ini mempunyai banyak dosa dan tidak layak untuk masuk ke dalam syurga, namun kita tidak berputus asa dan tetap berusaha melakukan apa sahaja cara asalkan kita dapat juga masuk ke dalam syurga.

2) Walaupun orang sekeliling berkata tentang hal yang tidak baik terhadap kita setelah kita melakukan penghijrahan, kita tetap memilih untuk istiqamah dengan penghijrahan tersebut kerana hanya kita yang tahu niat dan matlamat penghijrahan kita.

3) Walaupun pada awalnya kita mungkin berasa malu untuk menjadi seseorang yang baru dengan meninggalkan jahiliyah yang lama sudah menjadi kebiasaan kita, apatah lagi terhadap orang yang terdekat dengan kita, namun kita tegar melawan rasa malu itu dan memilih untuk meneruskan penghijrahan itu, semata-mata kerana Allah tanpa mempedulikan apa kata orang.

Mungkin sebenarnya kedegilan seperti inilah yang Allah mahukan daripada kita, degil untuk terus kekal dalam perkara ketaatan kerana sangat takut jika disingkirkan daripada senarai orang yang diredhaiNya.

Hamba yang obsesinya adalah Tuhannya sendiri akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan dicintai oleh-Nya dan pasti tegar mengharungi apa sahaja cabaran yang cuba menghalangi dan tidak mudah mengalah.

Jika kita berasa terharu dengan manusia yang berusaha untuk memenangi hati kita, begitu jugalah Allah.

Setinggi manapun usaha kita untuk mencintai Allah, lebih tinggi lagi cinta Allah kepada kita.

Asalkan kita berusaha, Dia pasti akan membalasnya dengan sebaik-baik balasan.

 

Artikel Yang Berkaitan :

 

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply