Tips Menjadi Bapa Osem Berdasarkan Kisah dari Al-Quran – Fakhrur Radzi

0
2326
views

Seorang ayah yang stereotype sering dilihat tidak mesra atau jauh daripada anak-anak.

Garang, sering tiada di rumah dan tidak pandai berkomunikasi dengan anak-anak antara ciri-ciri kebanyakan bapa hari ini.

Lebih malang, bagi anak-anak kecil, bapa dianggap orang asing yang hanya ‘bertugas’ sebagai pelaksana hukuman jika mereka melakukan kesalahan.

Tidak dinafikan, hakikatnya semua bapa sangat menyayangi anak mereka.

Cuma cara interaksi dengan anak serta kefahaman seorang bapa akan tanggungjawabnya yang beranggapan hanya perlu mencari nafkah(duit) untuk diberikan kepada anak dan isteri perlu diperbetulkan.

Ini kerana peranan seorang bapa dalam pendidikan anak adalah tersangat besar.

Kalau tidak, mengapa Allah rakamkan lebih 10 dialog antara anak dan ayah di dalam al-Quran?

Antaranya termasuklah dialog Nabi Yusuf dan ayahnya Nabi Yaakob, Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dan juga nasihat Luqman yang panjang kepada anak-anaknya.

Semua dialog ini menunjukkan suatu mesej yang sangat penting.

Betapa besar peranan seorang bapa dalam kehidupan seorang anak!

Mari kita perhatikan tips dan kaedah yang al-Quran ajar untuk seorang bapa.

  1. Seorang bapa perlu ‘masuk’ dengan anaknya

Kebiasaannya, bila si anak nak mengadu apa-apa, contohlah seperti masalah di sekolahnya, siapa yang akan dicarinya dahulu?

Bahkan bagi seorang bapa, pasti dialog sebegini tidak asing lagi apabila si anak membuat panggilan ke rumah dari asrama sekolahnya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikum Salam.” (Suara bapa)

“Ooo.. Ayah boleh tolong panggilkan mak tak?”

“…… Ok”

Majoriti anak akan mencari emaknya dahulu berbanding bapa.

Kerana apa?

Mereka lebih selesa bersembang dan berbual dengan emak berbanding bapa.

Tetapi lihat bagaimana pula keadaannya Nabi Yusuf dan bapanya Nabi Yaakub.

Sampai cerita tentang mimpi pun Nabi Yusuf ceritakan kepada bapanya.

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya:

“Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”.

(Surah Yusuf: 4)

Ini jelas menunjukkan Nabi Yusuf mempunyai special bonding dengan bapanya. Bukan seperti kebanyakan kita sekarang.

Tersangatlah jarang si anak mencari bapanya untuk berkongsi apa cerita, apatah lagi kalau ianya mengenai perasaan.

  1. Mengenal karekter setiap anak

Daripada kisah Nabi Yusuf dan Nabi Yaakub juga, kita sedar bahawa walaupun anak Nabi Yaakub ramai bilangannya, baginda tahu benar karekter dan perwatakan setiap seorang dari mereka.

Baginda melarang keras Nabi Yusuf daripada menceritakan perihal mimpinya kepada adik beradiknya yang lain.

Ini kerana baginda tahu mereka pasti akan melakukan sesuatu yang buruk kepada Nabi Yusuf jika mendapat tahu mengenai mimpi tersebut.

Nah, bandingkan pula dengan kita hari ini.

Anak yang seorang itu pun masih kita keliru lagi sekolahnya darjah berapa, subjek apa yang dia lemah di sekolah dan siapa pula rakannya.

  1. Memanggil anak dengan panggilan kasih sayang

Lihat sahaja bagaimana Al-Quran merakam nasihat Luqman kepada anaknya yang intipatinya itu sangat baik.

Tetapi sebelum terus meneliti butir-butir nasihat Luqman, perhatikan dulu bagaimana beliau memanggil anaknya.

“Wahai anakku yang ku kasihi……..”

Bukan sekadar, wahai anakku. Ataupun terus memanggil nama.

Ini penting, bahkan menjadi prasyarat utama sebelum menyampaikan apa jua mesej kepada anak.

Jangan hanya kerana hendak nasihatkan anak, ditengking dan dimarahnya mereka.

Dengan justifikasi, “Saya cuma nak nasihat!”

Tanyalah diri sendiri, apakah berhasil dengan cara anda sebegitu?

Begitulah sedikit sebanyak yang mungkin boleh dikongsikan hasil daripada kefahaman cetek tentang kisah para Anbiya yang sampai bila-bila pun tidak akan terhabiskan hikmah dan ibrah, sekiranya kita terus mengalinya.

Bagi bapa, ingatlah, anak itu anugerah sekaligus tanggungjawab yang perlu diuruskan sebaiknya.

Mereka adalah asset dan mereka adalah legasi setelah kematian anda.

Perhatikan selalu sabda nabi yang terkait perihal anak.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

(Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

 

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply