Titipan Buat Pemuda Sempena Ramadhan

0
1,580
views

Titipan buat pemuda sempena ramadhan

Bismillahirrahmanirrahiim.

Ramadhan kini menjadi temasya dalam banyak laman sosial. Laman sosial menyediakan tips-tips memproduktifkan Ramadhan, amalan yang boleh dikerjakan buat wanita yang uzur syari’e malah ada juga laman web yang menyediakan diet sesuai yang diamalkan ketika Ramadhan. Saya sendiri pernah muat turun satu pdf ‘Highly Effective Ramadhan’ dari satu laman web pada Ramadhan lepas.

Saya yakin kita semua amat seronok apabila disediakan kemudahan seperti ini. Arus kemajuan dan kemodenan berjaya kita gunakan dengan baik khusus untuk mempertingkat nilai Ramadhan. Artikel kali ini saya tujukan khusus buat para pemuda sempena Ramadhan kali ini kerana kita adalah agen pengubah ummah. Maka, sudah tentu setiap Ramadhan antara titik penting dalam kehidupan!

1. BUANG CARA HIDUP HAMBA RAMADHAN

Mungkin masih ada dalam kalangan kita bergantung harap pada Ramadhan untuk menjadi hamba mukmin mukminah yang lebih bertaqwa selepas keluarnya dari madrasahnya. Kita menjadi hamba yang taat kepada Ramadhan selama 30 hari. Kemudian ketika tibanya Hari Raya Aidilfitri, kita seolah hilang arah dalam mencari ketaqwaan kepada Tuhan yang sebenar.

Kita meraba-raba mencari jalan lalu kita kembali menjadi diri yang lama. Sungguh, cara hidup hamba Ramadhan ini tidak elok. Ya benar, Ramadhan boleh menjadi asbab untuk iman kita meningkat namun begitu iman yang meningkat ini perlu dijaga dengan amalan zahir dan batin. Beruntunglah bagi mereka yang berjaya meletakkan nilai rabbani pada Tuhan yang sebenarnya ketika Ramadhan kerana itulah hikmah Ramadhan yang sebenar!

Dari segi bahasa, Ibnul Anbari menjelaskan bahawa, kata ‘rabbani’ diambil dari kata dasar Rabb, yang artinya Sang Pencipta dan Pengatur makhluk, iaitu Allah. Kemudian diberi imbuhan huruf alif dan nun (rabb+alif+nun= Rabbanii), untuk memberikan makna hiperbola.

Dengan imbuhan ini, makna bahasa ‘rabbani’ adalah orang yang memiliki sifat yang sangat sesuai dengan apa yang Allah harapkan. Kata ‘rabbani’ merupakan kata tunggal, untuk menyebut sifat satu orang. Sedangkan bentuk jamaknya adalah rabbaniyun.

Bulan Ramadhan adalah bulan latihan, maka jadilah pelatih yang mantap. Seandainya bulan Ramadhan ini adalah sebuah pertandingan, maka jadilah orang yang menjuarainya. Jangan  sekali menuhankan Ramadhan kerana ia sendiri tidak meminta hal itu dari hamba-hamba Allah.

2. RAMADHAN SEBAGAI SATU MUNTALAQ

Wahai pemuda, maka bermusafirlah!

Ibarat biji benih yang disemai elok, seperti itu jugalah Ramadhan menjadi titik tolak bermulanya seorang mukmin dalam melakukan perubahan.  Perubahan yang tidak mempunyai titik mula adalah perubahan yang bersifat sementara. Antara sebabnya adalah:

A) Persediaan yang tidak cukup sebelum berubah.
B) Suasana menjadi faktor terbesar pengubah sedangkan faktor utama adalah diri sendiri.
C) Hanya memikirkan kesan jangka pendek sebuah perubahan.
D) Merasakan hanya sedikit sahaja perkara yang perlu diubah.

“We first make our habits, and then our habits make us.” – John Dryden

Konsep di atas elok untuk memberi anda lebih kefahaman dalam menggunakan Ramadhan sebagai titik tolak momentum perubahan. Di sini, saya sertakan sekali 8 tips mudah untuk menjayakan bagi anda yang mahu berubah:

1. Mempunyai kepercayaan yang teguh

Percaya pada diri sendiri adalah ‘core’ kepada pengakhiran yang baik dalam sebuah perubahan. Jika kita tidak yakin bahawa kita akan berjaya melakukannya, maka hanya sia-sialah jika kita menanamkan banyak impian tetapi kita kerap kali berputus asa.

2. Kepercayaan anda harus dikawal dengan baik.

Jangan sampai over-confident kerana sifat ini amat merbahaya bagi mereka yang mahu berubah. Malah, sifat inilah yang kerap kali menjadikan kita bertangguh dalam melakukan perubahan.

3. Merancang strategi.

Bayangkan apa yang anda ingin capai. Jadikan ianya seolah filem tentang kehidupan diri anda sendiri pada masa hadapan.

Contohnya: “Saya akan membaca surah-surah lazim juzuk 30 ketika menjadi imam kepada rakan-rakan solat berjemaah di rumah.

4. Memilih langkah-langkah.

Pilih beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk mencapai sebuah perubahan sampai setiap langkah tersebut menjadi habit anda dalam kehidupan seharian. Contohnya untuk mencapai target hafalan quran yang lebih baik:

-buat jadual yang sesuai dengan kemampuan diri sendiri (sehari lima ayat hafalan baru)
-gantikan lagu-lagu di dalam mp3 dengan surah yang ingin dihafal.
-membaca atau mendengar tafsir berkaitan surah tersebut untuk lebih faham dalam hafalan

5. Spesifik.

Spesifik dari segi masa setiap satu dari target perubahan yang ingin dilakukan. Contohnya:

“Setiap Isnin, Rabu dan Sabtu saya akan bersedeqah sekurang-kurangnya kepada tiga orang pengemis.”

6. Memberi komitmen kepada perubahan yang ingin dilakukan dan raikan diri sendiri setiap perubahan yang berjaya dilakukan.

7. Meng’alarm’kan diri sendiri jika terlupa buat perubahan

‘Alarm’ bertujuan untuk mendidik disiplin dan mentazkirah diri sendiri atas setiap keterlupaan dalam melakukan perubahan.

8. Tulis jurnal/diari Ramadhan

Rekodkan setiap hari dalam Ramadhan dalam diari khusus untuk muhasabah kehidupan selepas Ramadhan sehingga tiba Ramadhan yang seterusnya.

 

3. RAMADHAN PENGAWAL GELORA

Wajarnya bagi setiap para dua’t khususnya pemuda semakin matang dalam mendepani gejala kerosakan dan keruntuhan akhlak di sekeliling kita. Darah muda yang mengalir penuh dengan tuntutan nafsu perlulah dilembutkan dengan berpuasa pada bulan Ramadhan. Malah, Rasulullah SAW sendiri mewajibkan para pemuda agar berpuasa untuk menahan diri mereka dari gejala yang bermula dari mata turun ke hati ini.

Hargailah Ramadhan sebagai satu rukhsah dan benteng untuk kamu wahai para pemuda di kala pemuda-pemudi lain sibuk memenuhi tuntutan nafsu mereka dengan cara haram. Itulah tanda putus asanya mereka pada Ramadhan dan mereka lebih mengutamakan nafsu sendiri.

Tetaplah pada keyakinan kamu bahawa mendirikan rumahtangga Muslim adalah antara cara pengislahan masyarakat yang berkesan untuk menyelesaikan masalah ini. 30 hari berpuasa ini gunanya bukan sekadar untuk menahan nafsu, malah mengawalnya agar tidak berada pada paras merbahaya.

Malah, teruskan dengan berpuasa sunat selepas Ramadhan agar kamu bersedia menghadapi kerosakan yang mungkin lebih dahsyat pada masa akan datang!

cara melawan nafsu syahwat
[Kredit]

4. RAMADHAN ADALAH BEKAL AKHIRAT

Ramadhan adalah satu bentuk bekal bonus akhirat. Setiap amalan yang dikerjakan diberikan amalan berlipat kali ganda. Rancanglah agar Ramadhan mempunyai kesan jangka panjang ke atas keseluruhan kehidupan apatah lagi buat kamu para dua’t!

Atas jalan yang panjang, kita perlu mempunyai persiapan emosi dan jiwa yang kuat serta bekal bekal yang mencukupi. Ramadhan adalah bekal kesabaran terhadap ketaatan kepada Allah, meninggalkan maksiat dan menerima takdirNya.

 

bersabarlah orang beriman

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)

Ramadhan adalah bekal kejujuran menepati janji dengan Tuhan sebagaimana diabadikan dalam Firman Allah berkenaan kisah Anas bin Nadhr R.A

“Di antara orang-orang mu’min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya),” (33:23)

Dan pastikan bekal amalan ketika Ramadhan ini tidak terhenti sekadar pada Ramadhan sahaja. Teruskan menjaga amal sampai ke akhirat nanti.

 

mylittlepencilPenulis : My Little Pencil
Blog Penulis : mylittlepencil.wordpress.com
Merupakan Pelajar Tahun 6 Pengajian Perubatan Universiti Ain Shams, Mesir.Boleh ikuti twitter beliau di sini Twitter Pensil.

Leave a Reply