Trump Atau Clinton, Palestin Bagaimana? – Prof Nazari Ismail

0
74
views

trumphill_third

Donald Trump, calon pilihanraya jawatan Presiden Amerika Syarikat sekarang sedang dalam keadaan yang tergugat berbanding lawannya Hillary Clinton. Ini susulan beberapa pendedahan berkenaan sikapnya yang tidak beretika atau bermoral terhadap wanita. Bukan sahaja kata-katanya sahaja yang membuktikan hakikat ini, bahkan pengakuan dari ramai wanita yang pernah dicabul oleh beliau secara fizikal menguatkannya lagi.

Sekarang ini beliau telah ditolak oleh ramai pemimpin Parti Republikan yang tidak mahu diri mereka dikaitkan dengan isu pencabulan wanita yang memalukan. Hanya mereka yang benar-benar fanatik dalam menyokong Donald Trump sahaja yang enggan menukar fikiran mereka terhadap beliau.

Pungutan suara terkini oleh agensi berita Reuters menunjukkan bahawa Trump sekarang tujuh mata di belakang Clinton.[1] Oleh itu kemungkinan Trump memenangi pilihanraya presiden di Amerika Syarikat adalah amat tipis. Clinton adalah kemungkinan besar akan menjadi presiden yang baru menggantikan Barack Obama pada awal tahun hadapan.

Persoalannya adakah pelantikan Clinton nanti sebagai pemimpin Amerika Syarikat positif untuk Islam dan perjuangan di Palestin?

Memang betul Clinton adalah lebih lunak dalam sikapnya terhadap Islam dan orang Islam. Bahkan beliau setakat ini masih enggan untuk menggunakan istilah `Radical Islamic Terrorists’ (Pengganas Islam Radikal). Bahkan pada 19 November 2015, beliau sendiri menyatakan bahawa Amerika tidak memusuhi Islam dan orang-orang Islam adalah aman dan bertoleransi dan tidak ada kena mengena dengan keganasan

“Let’s be clear: Islam is not our adversary. Muslims are peaceful and tolerant people and have nothing whatsoever to do with terrorism.”[2].

Ini adalah satu perkara yang menarik memandangkan ramai di kalangan orang Islam sendiri yang mengakui bahawa memang wujud kumpulan orang Islam yang menjadi pengganas seperti puak-puak ISIS yang telah membunuh ribuan orang Islam di Iraq dan Syria. Jelas bahawa orang Islam di Amerika Syarikat nanti akan mempunyai seorang presiden yang kemungkinan besar tidak akan menganaktirikan mereka jika Clinton memenangi pilihanraya Presiden nanti.

Namun ada satu aspek dari Hillary Clinton yang perlu diketahui oleh orang Islam yang peka dengan kesengsaraan rakyat Palestin yang sehingga hari ini masih dizalimi oleh rejim Zionis Israel iaitu beliau adalah sebenarnya lebih kuat dalam menyokong rejim Zionis berbanding Donald Trump. Beliau bukan sahaja mengutuk Hamas sebagai pengganas, bahkan juga enggan mengkritik polisi zalim Israel mengepung Gaza yang mengakibatkan dua juta rakyat yang mendiami nya hidup dalam kesengsaraan.

Beliau juga pernah menjanjikan bahawa sebarang serangan terhadap Israel oleh mana-mana pihak akan disusuli oleh serangan balas yang hebat dari Amerika terhadap penyerang tersebut

“an attack on Israel would incur massive retaliation from the United States.”[3].

Yang paling membimbangkan ialah beliau juga sangat keras menentang usaha `Boycott, Divestment and Sanctions’ atau BDS, iaitu satu usaha global yang berbentuk aman dari kalangan berbagai lapisan masyarakat untuk menyekat kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin. Dalam satu kenyataan beliau pada bulan Mei 2016, beliau menyatakan:

“It is because of my longstanding commitment to the Israeli people and to the security of Israel that I am writing to express my opposition to the Boycott, Divestment, and Sanction movement, or “BDS,” the global effort to isolate the State of Israel by ending commercial and academic exchanges. I know you agree that we need to make countering BDS a priority, and that we need to work together—across party lines and with a diverse array of voices—to reverse this trend with information and advocacy, and fight back against further attempts to isolate and delegitimize Israel.”[4]

Terjemahan: “Berdasarkan komitmen yang sudah lama saya pegang terhadap warga Israel dan kepada keselamatan Israel, saya menulis untuk menyatakan penentangan saya terhadap gerakan Memboikot, Penjualan, dan Sekatani, atau “BDS”, iaitu satu usaha global untuk mengasingkan negara Israel dengan cara menyekat perdagangan dan pertukaran akademik dengan negara tersebut. Saya tahu anda bersetuju bahawa kita perlu membuat usaha menentang BDS satu keutamaan, dan kita perlu bekerja bersama-sama-merentasi parti dan kepelbagaian pendapat -untuk mengubah trend ini dengan maklumat dan sokongan, dan menentang segala percubaan-percubaan untuk mengasingkan Israel atau menaggangapnya sebagai negara haram”.

Jelas kepada kita yang menganggap perjuangan membebaskan Palestin dari cengkaman zalim penjajah Zionis Israel sebagai isu yang terpenting umat Islam hari ini bahawa sebenarnya perlantikan Hillary Clinton nanti akan membawa implikasi yang lebih mencabar kerana Amerika Syarikat akan bertambah kuat menyokong negara haram tersebut.

Namun bagi kita yang hanya tunduk hanya kepada Allah yang Esa, senario di atas langsung tidak membuat kita gentar dan putus asa. Usaha BDS akan diteruskan dengan giat lagi dengan sokongan giat dan padu dari rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan merentasi semua fahaman dan aliran politik. Di samping itu perlu dinyatakan juga bahawa usaha BDS di Amerika Syarikat sendiri semakin kuat dengan disokong oleh ramai rakyat Amerika sendiri dari pelbagai kumpulan dan latar belakang termasuk dari golongan yang berbangsa Yahudi.

InshaAllah, dengan bantuan Allah yang Maha Kuasa, kebenaran akan menang dan kebatilan dan kezaliman akan di hapuskan di bumi Palestin yang suci. Palestin akan bebas satu hari nanti dengan perjuangan yang diberkati Allah. Pastikan apabila kemenangan itu berlaku nanti, anda semua adalah tergolong dari kalangan yang telah menyumbang kepadanya.

[1] http://www.reuters.com/a…/us-usa-election-poll-idUSKBN12E2CS
[2] https://twitter.com/hillaryclinton/status/667371059885301761
[3] http://www.haaretz.com/…/clinton-vows-massive-u-s-retaliati…
[4] http://religionnews.com/…/hillary-clinton-opposes-bds-movem…

Prof. Mohd Nazari Ismail, PhD.
Faculty of Business and Accounting
University of Malaya
50603 Kuala Lumpur

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply