Tupperware Puasa

0
84
views

Tupperware Puasa

 

Tupperware Puasa | “Cik Nurul pernah dengar pasal Tupperware?” Doktor yang merawat saya tiba-tiba bertanya lalu mengeluarkan katalog Tupperware. Hairan juga.

 

Err, dah pernah dengar doktor. Mak saya memang dealer Tupperware.” Ya, emak saya memang pengguna tegar Tupperware. Kata emak, Tupperware tahan, tidak masuk angin. Kejap!

 

Doktor yang baik hati itu menyimpan semula katalognya sambil tersenyum.

 

MENGAPA TUPPERWARE

 

Sinonimnya Tupperware adalah bekas untuk meletakkan bekal dalam jangka masa yang lama agar ia tidak lemau dan terus segar untuk digunakan. Walaupun harganya lebih mahal, para penggunanya sanggup untuk bayar lebih kerana kualitinya.

 

Maka, seharusnya puasa kita juga seperti Tupperware! Bekalan yang terdapat padanya bermanfaat kepada tuannya walaupun setelah tamatnya Ramadhan. Puasa dalam bulan Ramadhan semestinya lebih istimewa dan luar biasa. Keberkatan bulan Ramadhan menjadikan bekal yang tersimpan jauh lebih gemuk daripada bekalan bonggol unta di padang pasir.

 

BEKAL TAQWA

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah:183)

 

Ubay bin Ka’ab ketika menjawab pertanyaan Umar al-Khattab tentang taqwa, mengumpamakan taqwa ibarat berjalan menerusi suatu jalan yang dipenuhi duri-duri, yang mana kita perlu berhati-hati dan berusaha untuk menghindarinya. Taqwa juga ditafsirkan bahawa seseorang itu tidak melakukan dosa walaupun sendirian. Jeling sekali lagi ayat al-Quran di atas di mana Allah menjodohkan puasa itu dengan taqwa.

 

Orang yang berpuasa tidak melakukan puasanya untuk manusia, bahkan hanya dia sendiri yang mengetahui sama ada dia berbuka puasa secara diam-diam atau tidak. Kita juga melihat, ramai orang menjadi sensitif dan berhati-hati dengan hal-hal yang membatalkan puasa kerana khuatir puasanya tidak diterima. Kedua-dua situasi di atas telah cukup membuktikan bahawa didikan taqwa telah tersedia melalui ibadah puasa tanpa kita sedari. Apa yang Allah mahukan agar bekal taqwa inilah yang akan memandu langkah-langkah ahli puasa menghindari fitnah dan godaan syaitan setelah tamatnya Ramadhan.

 

BEKAL QURAN

 

“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antarayang benar dengan yang salah.” (al-Baqarah: 185)

Kita pasti tidak dapat menolak bahawa Ramadhan adalah Pesta al-Quran. Sehinggakan infaq al-Quran itu menyebabkan seorang memiliki dua al-Quran. Jika masuk sahaja masjid, dalam LRT, atau di perhentian bas, kita seolah-olah dapat melihat bahawa tsunami al-Quran itu melanda dengan dahsyatnya. Belum lihat lagi mereka yang berlumba-lumba khatam al-Quran sebanyak  mungkin dalam bulan Ramadhan.

 

Apa kaitannya pula dengan berpuasa? Banyak masa yang kita tidak habiskan untuk makan dan bergerak ke sana sini. Waktu rehat di sekolah dan pejabat terisi dengan bacaan al-Quran yang menjadi makanan jiwa. Tidak kurang juga, di surau-surau kawasan perumahan, para suri rumah digalakkan untuk hadir majlis tadarrus al-Quran yang dianjurkan oleh AJK surau. Lihatlah begitu simbolik al-Quran ketika Ramadhan.  Al-Quran itu pembersih jiwa, menyucikan dosa dan jahiliyah hati. al-Quran mencerahkan iman sehingga ia menjadi cahaya yang akan memandu tuannya. Itulah bekalan al-Quran akan terus hidup bersamanya setelah Ramadhan.

 

BEKAL IBADAH

 

Pelik atau tidak bulan puasa kita boleh berdiri 21 rakaat tanpa henti untuk tarawih? Pelik atau tidak bulan puasa kita boleh buka mata luas-luas pukul 5.00 pagi untuk sahur dan terus solat subuh awal waktu setiap hari? Itu belum termasuk mereka yang sempat qiamullail setiap malam sebelum sahur selama 30 malam.Pelik atau tidak bulan puasa kita boleh baca al-Quran 20 muka surat sehari dan puasa ‘straight’ 30 hari? Sedangkan selain bulan puasa, semua itu seolah-olah ajaib bagi kita untuk melakukannya.

 

Itulah istimewanya puasa Ramadhan. Seolah-olah berlaku kelahiran semula diri kita apabila anak bulan 1 Ramadhan muncul. Petandanya, syariat Allah itu adalah dalam kemampuan manusia untuk melakukannya. Latihan ibadah yang tersedia dalam bulan Ramadhan merupakan bekal hebat untuk mengekalkan stamina ibadah seseorang setelah berakhirnya Ramadhan.  Semasa berpuasa, perut dikosongkan dan pemakanan dikurangkan. Kedudukan roh menjadi tinggi, hati menjadi jernih, seterusnya hijab dan tarikan duniawi terhindar. Kejernihan dan sinaran memancarkan cahaya kebenaran di dalam hati. Maka teranglah hati, dan nafsu pun bersedia untuk menjalani proses tazkiah dengan zikir, bacaan Al-Qur’an, istighfar, taubat dan do’a. Lahirlah kebahagiaan hakiki, keselesaan ruh dan perasaan mendekati Allah. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:

 

“Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam diri anak Adam melalui saluran darah, maka sempitkanlah laluannya dengan berlapar”.(Muttafaqun Alaih).

 

Maka, apa yang menghalang kita untuk beribadah pada bulan-bulan yang lain? Kita sudah kehilangan alasan ‘tidak mampu’ kerana ternyata kemampuan kita telah terbukti ketika Ramadhan. Bahkan bekalan ibadah ini sudah sepatutnya melajukan stamina ibadah kita sehingga bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya.

 

 

BEKAL IKHLAS

 

Ikhlas itu apabila kita melakukan amal tanpa kepentingan peribadi melainkan redha Allah. Maka, puasa adalah ibadah yang paling tepat untuk membentuk sifat ikhlas. Jika kita solat, membaca al-Quran dan bersedekah barangkali mudah sahaja orang lain melihat kita lakukan dan mencetuskan riak. Sedangkan puasa? Tidak makan dan minum tidak bererti berpuasa selagi mana kita tidak isytiharkan puasa itu. Maka ia adalah rahsia antara hamba dan Tuhan-Nya.

 

Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam: Allah ‘Azzawajalla berkata: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. la adalah untukku dan Akulah yang membalasnya…..” (Muttafaqun Alaih)

 

Jika yang diharapkan daripada puasa adalah redha Allah, maka jangan mencacatkan puasa dengan perbuatan keji. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan palsu dan melakukannya, maka Allah SWT tidak mempedulikannya dalam meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat al-Bukhari). Sebegitu berat bekalan ikhlas yang diperoleh melalui ibadah puasa sehingga ia melatih kita untuk sedia melakukan apa sahaja untuk Allah tanpa perlu pujian dan perhatian orang lain.

 

BEKAL SABAR DAN MUJAHADAH

 

Menahan daripada makan dan minum setengah hari dalam keadaan bekerja atau ke kuliah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatahlagi puasa setakat itu belum lagi diterima Allah sehinggalah anggota yang lain harus turut berpuasa. Sabar dan mujahadah adalah gandingan yang sekufu. Tiada sabar tanpa mujahadah iaitu berjuang melawan hawa nafsu.Tatkala melihat wanita cantik, jangan kau menoleh, tatkala melihat isteri yang menawan, jangan kau setubuhi, tatkala melihat makanan lazat, jangan kau mencicip, tatkala kau melihat Jus oren dengan titisan ais, jangan kau meneguk, tatkala kau dihina jangan kau membalas keji pula.

 

Payah bukan?

 

“Maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”(ali-’Imran: 146)

 

Bekalan sabar dan mujahadah akan menguatkan jiwa sesorang saat ditimpa sesuatu kesusahan dan ujian. Inilah tarbiyah Allah melalui syariat puasa agar hamba-Nya nanti tidak akan lemah dan mengalah dengan cabaran yang semakin berat.

 

BEKAL BELAS DAN KESATUAN

 

Tanpa cinta, kesatuan tidak akan tertegak. Tahukah anda bahawa puasa adalah medium kesatuan tanpa kita sedari. Cinta itu hanya akan subur apabila umat Islam merasakan mereka adalah satu tubuh yang sama. Perasaan suka dan duka itu turut ditanggung bersama. Maka puasa akan mengajar umat Islam yang lebih senang hidupnya merasai kelaparan dan kesakitan orang lain sehinggakan jiwa untuk memberi dan membantu akan wujud. Kerana itu, zakat fitrah disyariatkan dalam bulan Ramadhan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

 

Kesatuan akan menghapuskan kasta sehingga semua dianggap sama. Begitulah puasa mengajarkan kita, tiada siapa antara kita yang istimewa. Sama ada seorang bangsawan, hartawan, sehinggakan banduan sekalipun, mereka tetap menjalani puasa dalam tempoh dan syarat yang sama. Bekal inilah yang akan kita bawa setelah Ramadhan, saat umat Islam yang lain meraung kesakitan kerana ditindas, kitalah yang dahulu menghulur belas.

 

BEKAL DISIPLIN

 

Puasa membiasakan Muslim mementingkan dan menepati masa. Setiap orang yang berpuasa meneliti waktu imsak dan waktu berbuka. Mereka menghalusinya agar puasa tidak terbatal dengan sebab pengabaian atau tidak teliti. Perbuatan sebegini berulang-ulang selama sebulan sehingga boleh melengkapkan diri seseorang dengan karakter tersebut. Para daei kepada Allah pada hari ini amat memerlukannya dalam kehidupan dengan dakwah, perjumpaan dan pekerjaan, supaya ia tidak membantutkan perkara yang penting atau mensia-siakan masa orang lain tanpa faedah.

 

BEKAL YANG GAGAL

 

Seindah apa hiasan yang telah tersedia dalam sebuah istana, ia tetap tidak bererti andai penghuninya bermain mercun yang menghanguskan semua yang indah itu. Itulah analogi bagi kita yang menjejaki istana  Ramadhan tetapi kita musnahkan ia dengan perkara kotor dan keji di dalamnya. Begitu juga Tupperware yang telah siap menyimpan bekal tidak lagi mampu menyelamatkan iman tuannya saat anak bulan 1 Syawal pula menjelma. Apalah ertinya Ramadhan kita saat itu..

 

NURUL ‘IZZAH ZAINOL

GRADUAN UNDANG-UNDANG, UIAM

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply