Ulang Tahun Rahmatan Lil Alamin – Asma’ Tajul Ariffin

0
54
views

maulidur-rasul-500x300

Setiap kali tarikh ini menjelang tiba, pelbagai jenis artikel tersebar di laman media sosial berkenaan hukum menyambut maulid Nabi, manakala di alam realiti pula,  pelbagai agenda program disusun oleh pelbagai organisasi, baik di tadika mahupun di jabatan kerajaan untuk meraikannya. Itulah politik biasa orang ramai apabila tarikh ini menjelang tiba, hingga menenggelamkan nilai keemasan yang sepatutnya diambil iktibar oleh kita semua.

12 Rabiul Awal; apa nilai keemasan di sebalik tarikh ini? Ini dua nilai utama untuk kita renungi bersama.

Nilai Pertama: Cahaya yang dibawa Nabi s.a.w.

Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk jadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi. (Q.S. Al Ahzab [33]: 45-46)

Setelah beberapa tempoh waktu manusia di bumi ditinggalkan tanpa Utusan dari Allah, mereka kian terpesong dari ajaran asal agama Samawi. Patung berhala disembah sebagai ganti Tuhan. Kemudian, Allah mengutuskan utusanNya untuk menjadi cahaya kepada segala bentuk kegelapan di zaman Jahiliyah itu. Lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdullah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah ini diakui oleh sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan, malah disenaraikan sebagai sebagai manusia nombor satu yang paling berpengaruh dalam sejarah oleh Michael H. Hart (1978).

Lahirnya Nabi s.a.w memberi impak dalam segenap hal. Jika di permulaan kelahirannya di dunia, Nabi s.a.w. membawa rahmat kepada kehidupan ibu susannya, begitu juga dalam fasa kehidupannya yang seterusnya hingga ke penghujungnya. Segala bentuk pemesongan aqidah diluruskan kembali, dari mempertuhankan manusia dan berhala kepada Ubudiyah kepada Allah yang Satu, penindasan golongan lemah kepada kesamarataan sesama manusia dan banyak lagi. Nabi yang Ummiy (tidak pandai membaca dan menulis), namun mampu mengubah dunia hasil kebenaran dan kesucian risalah yang diamanahkan Allah kepadanya!

Nilai Kedua: Keagungan akhlak Baginda yang mengesani segenap manusia

Akhlak dalam bahasa mudahnya ialah perilaku spontan yang terhasil tanpa memerlukan kita berfikir sebelum bertindak apabila menghadapi sesuatu, telah terpahat kukuh di dalam jiwa. Aisyah r.a, apabila ditanya tentang akhlak Nabi s.a.w, dijawabnya: Akhlaknya ialah al-Quran. Akhlak Baginda bukanlah akhlak yang biasa-biasa, baiknya Baginda bukanlah baik yang biasa-biasa. Setiap anjuran kebaikan yang tercatat di dalam al-Quran, semuanya ialah akhlak Baginda. Sabar, berbuat amal soleh, berbaik dengan orang tua dan manusia selainnya, Qowiy, Amin, semua ajaran al-Quran membumi di dalam diri Baginda s.a.w. Keagungan akhlak Baginda tidak dapat disangkal oleh siapa pun. Hal ini terbukti apabila masyarakat Arab masih mengamanahkan Nabi s.a.w untuk menjaga barangan mereka walaupun setelah pengisytiharan kenabian. Ironi; mereka mencaci Nabi s.a.w, dalam masa yang sama mereka meminta pertolongan Nabi s.a.w ; dan baginda sudi membantu mereka!

Bukti keagungan akhlak Baginda jelas terpancar dalam ayat: “Dan sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi (mulia).” (Surah Al-Qalam : 4). Baginda s.a.w. dipuji oleh Tuhan semesta alam, Allah yang Maha Esa, namun baginda s.a.w tidak terkesan walau sedikit pun dengan pujian itu. Jika manusia biasa, apabila dipuji oleh Perdana Menteri misalnya, pasti senyum tidak keruan seharian! Namun, Nabi s.a.w. langsung tidak terkesan dengan pujian dari Allah; menggambarkan keagungan akhlak Baginda yang melayakkannya dipuji oleh Allah! Hatinya terus tawadhu’, peribadinya masih sama, semangat juangnya tiada beza, keluhuran niat dalam hatinya masih tetap suci; tiada beza.

Menifestasi cinta kita kepada Baginda s.a.w.

12 Rabiul Awal tahun Gajah,  Allah mentakdirkan kelahiran seorang bayi dinamakan Muhammad. Kelahiran yang dinantikan oleh semua, banyak tanda-tanda terzahir sebelum kelahirannya. Kelahiran Baginda menandakan rahmat buat sekalian alam telah mula tersemai ke bumi dan kesannya tinggal sedari hari ini.

Ayuh, pada 12 Rabiul Awal kali ini, kita menyambutnya dengan melihat dari sudut pandang yang baru. 

Ayuh, kita menifestasikan kesyukuran kita dilahirkan sebagai umat Muhammad yang merasai kesan terutusnya Baginda ke dunia meskipun hanya dalam tempoh 63 tahun dengan memperbanyak selawat ke atas Baginda.

Ayuh, kita menjadikan amalan meneladani akhlak Baginda s.a.w sebagai cara hidup utama untuk mencapai redha-Nya.

Syukurilah, kita dianugerahkan Allah seorang Nabi yang merelakan dirinya disakiti dengan mehnah yang berpanjangan dalam hidupnya semata-mata supaya cahaya yang dibawanya sampai kepada generasi kita. Berbanggalah kerana dilahirkan dalam kalangan umat Muhammad yang agung ini. Muhammad yang terpuji!

Aku; umat Muhammad!

Allahumma solli ‘ala Muhammad

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply