Untukmu Yang Bergelar Daie

0
55
views

Untukmu Yang Bergelar Daie

Untukmu Yang Bergelar Daie | Aku segelas air kopi.

Malam ini merupakan majlis hari lahir sahabat saya. Iaitu, air sirap. Majlis ini diadakan di rumahnya. Kelihatan ramai sahabat yang bertandang ke rumahnya semata-mata untuk meraikan kelahirannya yang ke 11 tahun. Saya juga tidak turut melepaskan peluang ini untuk bertemu dengan sahabat handai yang sudah lama tidak bersua. Dek semua sibuk dengan kerjaya masing-masing. Ada yang bekerja sebagai pengurus di Hotel Adelphi: ada yang sudah bekerja di Jabatan Bekalan Air sebagai pagawai eksekutif dan ada juga sebagai akauntan di Maybank, Kuala Lumpur.

“Aku sahaja yang masih bekerja sebagai pekerja kilang on-semiconductor,” getus hati saya.

Tetapi, saya cuba menyahkan perasaan tersebut. Cuba bawa ke tepi seketika.

Saya meletakkan motorsikal di tempat parkir yang telah disediakan oleh tuan rumah. Saya memakir elok-elok kerana motorsikal tersebut baru sahaja seminggu dibeli. Masih berkilat. Saya berasa sedikit bangga. Kelihatan dari luar rumah, ramai sahabat sepersekolahan dahulu. Antaranya, yang masih kekal di ingatan, air milo, air limau dan air bandung. Hati saya mula di taut rasa gembira. Bak bunga yang ingin mekar di pagi hari.

Setibanya…

 

Derapan tapak kaki saya yang baru sahaja memasuki daun pintu, tiba-tiba, semua beralih memandang saya. Semuanya, berpaling ke diri ini. Ralit sungguh. Macam, seekor singa yang ingin menerkam mangsanya. Saya kaget sebentar. Tidak tahu mengapa.

Saya terus berjumpa dengan sahabat lama iaitu air sirap. Kelibatnya kelihatan di sudut rumah. Nampaknya, dia sedang rancak berborak. Sekali gus, saya tidak mempedulikan atas apa yang berlaku sebentar tadi.

“Buat endah tak endah. Buat tak tahu sahaja.”

Saya terdengar kata-kata halus dari sebelah kiri. Mereka sedang ketawa melihat saya. Nama saya kadang-kadang di sebut dalam perbualan mereka. Saya semakin tidak selesa. Terasa punggung di panggang. Panas sangat. Tiba-tiba, suatu suara sinis datang dari arah belakang. Saya menoleh.

“Eh, air kopi! Mengapa kau datang ke majlis ini. Sudahlah muka hitam. Gelap pula.”
air teh rupa-rupanya.

 

“Kau tidak tahu ke yang majlis ini untuk mereka-mereka yang cantik dan kacak sahaja?” kata air milo.

 

“Cubalah cermin muka kau itu. Sudahlah hodoh. Jelek aku lihat kau ini. Memang tidak sedar dirilah, kau ini,” cantas air limau.

Hati saya mula merah. Berdarah. Diri menjadi kaku dan beku. Saya akur. Lantas, saya pun berkata,
“Ya, aku akur. Apa yang kamu lihat aku, itulah diriku.”

 

“Cuba lihat macam kami. Cantik dan anggun. Bukannya seperti budak hingusan ini. Muka, gelap yang teramat.” kata air jambu batu dengan reaksi diri yang amat sombong.

Hati saya sudah terasa membengkak. Telinga panas dan kebas. Dengan leteran dan sindiran mereka. Pipi saya mula berasa hangat. Mata berkolamkan air mata. Bergenang. Tunggu masa untuk merembes keluar. Akhirnya, berjurai juga membasahi pipi ini. Jurainya, jernih. Hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui akan perasaan hati ini. Ya Allah…

Suasana menjadi hangat dan gamat. Dengan suara-suara sinis. Sinis yang menyindir. Dalam kegamatan itu, tiba-tiba, air suling bersuara. Dia semenjak tadi hanya berdiam diri. Membisu. Tidak tahu puncanya. Sekarang, baru ingin membuka mulut. Macam, telinganya tidak dapat menangkap apa yang berlaku di sini. Saya mengeluh, “Huh!”.

Tampaknya, dia sedang menyusun bicara. Sesekali, nafasnya turun dan naik. Suasana menjadi hening. Sunyi buat seketika.

“Atas sebab apa, kalian berkata sedemikian?”

Semuanya, tersentap dengan kata-katanya.

“Adakah hanya sebab rupanya?”

Semua yang mendengar saling memandang antara satu sama lain. Mencari jawapan yang satu. Tetapi muflis. Hanya mampu menggeleng.

“Bukankah satu ketika dahulu, kita berasal daripada air yang sama? Bukankah sebelum kita menjadi beraneka jenis air, kita dimasukkan dahulu dengan air suling?”

Semua terpana dan terkejut dengan soalan yang berbentuk jawapan sedemikian. Tidak langsung terlintas dalam fikiran.

Menarik.

“Mengapa kita harus mencaci dan memaki hamun orang lain, walhal kita dahulu adalah sama?” dia fasih meneruskan bicara.

“Ingatlah, kita adalah bersaudara. Tidak harus berhasad dengki. Tidak perlu menyimpan seribu perasaan iri hati. Kita berasal daripada benda yang satu. Yakni, air suling. Selepas itu, kita dibancuh dengan serbuk perisa mengikut citarasa tuan kita. Pasti, ada tujuan yang baik dan molek atas bancuhannya yang bermacam-macam itu. Kita harus bersatu. Hendakkah kita melihat air kopi ini terus menerus berduka disebabkan bicara kalian? Dia adalah kita. Kita adalah dia. Kita adalah daripada acuan yang sama. Tidak ada apa-apa yang lebihnya pada kita. Kita, semua sama.”

 

 

Air suling mengakhiri dengan kata-katanya yang sungguh mendamaikan dan tenang, “Kita dinilai atas hati yang suci, bukan atas rupa paras yang menjadikan empunya badan lupa diri. Kerana itulah, timbangan tuan kita.”

Semuanya khusyuk. Ada suara tangis di belakang sudut sana. Sayu bunyinya. Semuanya hanya mampu menunduk untuk mendengar ceramah pendek daripada air suling. Tajam sungguh kata-katanya tadi. Tidak disangka-sangka. Air suling mampu berkata sebegitu. Sememangnya, percakapannya seperti angin yang berpuput di samudera lautan. Ya. Saya yakin suatu hari nanti dia akan menjadi seorang yang hebat dan mampu menggoncang dunia ini. Saya tekad ingin mencontohinya.

 

Mohd Arif bin Mohd Yusof,

Pelajar Diploma Takhassus Al-Quran Wal Qiraat,

Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply