Cara Lain Untuk Membuat Azam Tahun Baru

0
2,298
views

Azam tahun baru

Pejam celik, pejam celik.

Kita sudah masuk ke tahun 2015.

Ritual biasa untuk setiap tahun baru? Fikir, tulis dan senaraikan azam-azam baru.

Sebenarnya, kita tak perlu menunggu tahun baru untuk merancang mengubah dunia.

Namun, ada satu momentum pada tahun baru yang dapat mendorong kita melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Tapi, berapa ramai antara kita sudah mencapai azam-azam kita tahun lepas? Atau dua tahun lepas? Erm..

Seperti orang lain, saya juga selalu membuat azam tahun baru setiap tahun.

Namun, apabila tahun tersebut berakhir, azam itu sendiri hilang lesap entah ke mana. Nak capai apatah lagi.

Mungkin ada yang mula menyangka ‘Tak perlulah fikir-fikir nak buat azam tahun baru. Tak tercapai pun,’

Tunggu dulu.

Jika kita merasakan azam-azam yang kita pernah buat sebelum ini tidak tercapai, ini tak bermakna membina azam itu tidak perlu. Mungkin kita perlukan cara yang lebih baik.

Tahun ini saya cuba cara yang berbeza. Saya kongsikan seperti di bawah:

1) Untuk berubah, kita perlu tahu di manakah tahap kita berada sekarang. Untuk berubah juga, kita perlu kembali kepada diri kita sendiri. Mengenali diri sendiri adalah kunci untuk kita tahu apa perubahan yang kita perlukan.

Sebab itu ada hadis yang mengatakan: ‘Orang yang paling cerdik adalah orang yang memuhasabah dirinya’ (At-Tirmizi)

Apa yang boleh kita buat: Fikir-fikir apa kelemahan dan kekuatan kita?
Senaraikan (4 hingga 5 sahaja)

2) Lihat senarai tersebut. Fikir-fikir bagaimana pula kita boleh menjadi lebih baik dari keadaan kita sekarang.

Jika yang ditulis itu kelemahan, fikir bagaimana kita boleh mengubah kekurangan itu menjadi kekuatan. Jika yang ditulis itu kekuatan, fikir juga bagaimana meningkatkan kekuatan kita untuk menjadi lebih baik.

Ideanya adalah: kita mahu menjadi seorang mukmin yang lebih baik berbanding hari semalam.

Jika tidak, ‘orang yang sama keadaannya seperti hari semalam adalah rugi dan orang yang keadaanya lebih buruk dari semalam adalah celaka,’ (Saidina Ali)

3) Siap tulis? Letak di tempat yang akan selalu kita lihat.

Pilih sama ada:

tampal di meja belajar.
simpan dalam buku nota yang akan kita ulang baca.
simpan di dalam dompet.
apa saja tempat yang kita sukai.

Nota tersebut akan mengingatkan kita tentang komitmen yang ingin kita laksanakan untuk diri sendiri. Jangan biarkan azam-azam itu terapung-apung di akal fikiran kerana ia akan mudah hilang lesap tanpa jejak.

Nota terakhir, apa jua perubahan yang kita pilih, pilihlah perubahan yang akan menjadikan kita lebih baik setiap hari.

Pilihlah untuk menjadi golongan yang sentiasa beramal soleh.

Pilihlah untuk menjadi hamba yang lebih taat.

Pilihlah Allah

 
Penulis : Amal

Blog Penulisamalasyurablog.wordpress.com

Leave a Reply