Ujian Ini Cuma Sebentar

0
5,187
views

ujian

Ujian | Malam itu, usai solat sunat ba’da Isyak, aku pun kembali ke kamar. Kitab Al Quran Tafsir yang baru kumiliki hujung tahun lepas kugapai lembut. Seperti biasa, aku akan bertilawah sekitar dua hingga tiga helai muka selepas solat. Kalau tidak, pasti susah nak istiqamah membaca Al Qur’an ini. Teringat pesanan salah seorang murabbiku,

“Ketika mana kita menjauhi Al Qur’an, bacaan kita menjadi malas-malas, hafazan kita menjadi tidak menentu, dan amalan kita menjadi kaku, ketika itu, ertinya hati kita sedang sakit.”

Jadi kalau kita bermalas-malasan dalam mendirikan amalan membaca Al Qur’an ini, berjaga-jaga. Barangkali hati sudah beku membatu.

Malam itu aku menyambung tilawah dan tadabburku dengan surah Al Qasas. Surah ini adalah hadiah yang besar buat Allah swt kepadaku malam ini. Terlalu mahal kisah-kisah yang dihidangkan oleh surah ini. Kisah yang tidak mungkin akan luput pengajarannya hingga akhir zaman. Kisah yang terlalu besar implikasinya kepada generasi kemudian. Kisah yang didalamnya terkandung begitu banyak pengorbanan yang menggegarkan.

Kisah Fir’aun dan Nabiullah Musa a.s.

Bismillahi rrahmani rrahim.

(1 ) طسم 

Tho Siin Mmiim.

Entah mengapa malam itu terasa sugul sekali. Tiba-tiba saat aku melepaskan nafas setelah membaca 3 huruf ini, dada menjadi berat. Sepertinya lidah ini tidak layak langsung untuk menuturkan ayat yang berikutnya. Kerongkongku bagaikan tersekat. Mataku jadi bergenang. Terasa panas tebing mataku. Aku berhenti seketika. Kususun semula nafasku. Dalam hati, aku merayu kepada Allah swt, ‘Duhai Rabb, izinkanlah diri yang kerdil ini membaca kalam muliaMu…izinkanlah aku mendapat manfaatnya… sekalipun aku sering menzalimi diriku…’

Aku teruskan bacaanku.

تِلكَ ءايٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ ﴿٢﴾ نَتلوا عَلَيكَ مِن نَبَإِ موسىٰ وَفِرعَونَ بِالحَقِّ لِقَومٍ يُؤمِنونَ ﴿٣﴾

Ini ayat-ayat Kitab (Al-Qur’an) yang jelas (dari Allah) (2) Kami membacakan kepadamu sebahagian dari kisah Musa dan Fir’aun dengan sebenarnya untuk orang-orang yang beriman (3)

Allah….

Baris ketiga surah ini bagaikan menikam hatiku sedalam-dalamnya. Aku ulang sekali lagi kerana pandanganku kabur dek genangan air mata yang menakung di kelopak mataku.

نَتلوا عَلَيكَ مِن نَبَإِ موسىٰ وَفِرعَونَ بِالحَقِّ لِقَومٍ يُؤمِنونَ ﴿٣)

Kami membacakan kepadamu sebahagian dari kisah Musa dan Fir’aun dengan sebenarnya untuk orang-orang yang beriman (3)

Allah….

Tiba-tiba, terasa bagai kosong dunia sekelilingku. Mata yang sudah bergenang tadi menjadi tidak tertahan-tahan lagi. Air mata panas mula mengalir. Butir demi butir. Menitis diatas lembaran Al-Qur’an yang masih ditanganku.

Astaghfirullah. Astaghfirullah…

Layakkah untuk diri ini mendengarkan kisah ini wahai Rabb? Kerana Kau khususkan ceriteraMu buat hamba-hambaMu yang beriman…Dimanakah kedudukanku? Adakah aku dapat memasukkan diriku ke dalam ‘audiens’ yang Engkau maksudkan? Ataukah selama ini, aku cuma bertepuk sebelah tangan? Ya Allah, jadikan aku orang beriman itu ya Allah, yang Kau pilih untuk menjadi pendengar kisah ini. Yang Kau pilih untuk menjadi ‘audiens’Mu.

Dengan penuh rasa hubb (cinta), khauf (takut) dan roja’ (harap), aku meneruskan bacaanku. Moga-moga dapatku rasakan bahawa Allah swt benar-benar menceritakan kisah ini untuk diriku.

Baris demi baris, ayat demi ayat, akhirnya aku tiba di bahagian kisah dilemma ibu nabi Musa a.s tatkala Musa a.s dilahirkan dalam suasana yang menggentarkan. Fir’aun yang hakikatnya ketakutan dan kerisauan bagaikan menggila di serata negeri. Bayi-bayi lelaki dibunuh dengan kejam dan ngeri. Kegemilangan kerajaannya terbina diatas darah bayi-bayi yang tidak bersalah. Allah swt menceritakan dengan jelas dalam surah ini,

إِنَّ فِرعَونَ عَلا فِى الأَرضِ وَجَعَلَ أَهلَها شِيَعًا يَستَضعِفُ طائِفَةً مِنهُم يُذَبِّحُ أَبناءَهُم وَيَستَحيۦ نِساءَهُم ۚ إِنَّهُ كانَ مِنَ المُفسِدينَ ﴿٤﴾

Sungguh, Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah, dia menindas segolongan dari mereka (Bani Israil) dan membiarkan hidup anak perempuan mereka. Sungguh, dia (Fir’aun) termasuk orang yang berbuat (kerusakan) (4)

Ibu manalah yang tidak gusar memikirkan keselamatan bayi lelakinya tatkala jiran tetangganya ramai yang sudah dirampas dan dibunuh bayi lelaki mereka. Tidak mampu dibayangi oleh kita, betapa besar ujian Allah keatas ibu nabi Musa as. Hari ini, ibu-ibu yang mengandung pasti mengira-ngira detik kelahiran anak mereka dan membayangkan yang indah-indah tatkala bayi telah dilahirkan nanti. Tapi ibu nabi Musa as dibayangi dan diburu ketakutan dan kerisauan. Bimbang dan susah hati, kalau bayinya lelaki, pasti kelak akan dibunuh.

Taqdir Allah swt mengatasi segalanya. Lahirlah Musa as dalam keadaan kesihatan yang baik dan sempurna. Bertambahlah gusar sang ibu, memikirkan nasib bayinya yang tercinta.

Lalu Allah swt yang terus menerus mendengar suara hati Ibu Musa mengilhamkan kepadanya jalan keluar.

وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِى اليَمِّ وَلا تَخافى وَلا تَحزَنى ۖ إِنّا رادّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ ﴿٧﴾

Dan kami ilhamkan kepada ibunya Musa, “Susuilah dia (Musa), dan apabila engkau khawatir terhadapnya maka hanyutkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah engkau takut dan jangan (pula) bersedih hati, sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan menjadikannya salah seorang Rasul.” (7)

Allah…

Bayangkan. Bukanlah Allah swt mewahyukan kepada wanita ini bahawa Allah swt akan menyelamatkan bayinya dengan tiba-tiba di dalam rumah mereka.Sebaliknya, Musa a.s perlu dibawa keluar dari rumah, perlu dihanyutkan pula ke sungai yang luas. Sudahlah tentera fir’aun yang kejam sedang berkeliaran memburu mangsa. Bagaimana kalau ketika sedang membawa Musa ke sungai, mereka terserempak dengan tentera Fir’aun? Bagaimana pula kalau tentera Fir’aun menjumpai Musa a.s di tebing sungai dimana dia dihanyutkan?

Bayangkan betapa besar dilemma sang ibu ini. Betapa besar imannya kepada Allah. Bukan kecil ujian Allah keatasnya. Bayi yang baru sahaja dilahirkan, perlu dihanyutkan di sungai yang terdedah, bukan sahaja kepada tentera Firaun, malah terdedah juga kepada binatang-binatang buas disana.

Ibu Musa menggagahkan jua hatinya. Bayi comelnya dilepaskan ke sungai dengan hati yang berkecamuk. Tidaklah diketahuinya nasib dirinya, mahupun nasib bayinya. Dia Cuma berserah bulat-bulat kepada Allah swt, Tuhan Yang Maha Berkuasa. KepadaNyalah disandarkan segala harapan dan tawakkalnya. Dari jauh, sayup-sayup, jasad Musa hilang dari pandangannya. Arus begitu deras menolak bayi itu jauh dari ibunya. Hatinya yang tadi sudah yakin dengan pertolongan Allah tiba-tiba kembali gusar. Kerisauan seolah-olahnya kembali segar. Allah swt menceritakan hakikat ini dalam ayat ke-10 surah ini. Allah jualah yang meneguhkan hati wanita tabah ini sehinggakan dia mampu bertahan dan bersabar.

Dan atas berkat keberanian, ketabahan, kesabaran dan besarnya tawakkal ibu Musa, Allah swt tidak menyia-nyiakan harapannya. Akhirnya Nabi Musa a.s dikembalikan oleh Allah swt kepada ibunya dalam keadaan yang baik-baik sahaja, bahkan kini bayi itu sudah diambil sebagai anak angkat pula oleh kerabat diraja fir’aun. Padahal, seketika tadi, orang yang paling ingin dihindari oleh ibu Musa adalah Fir’aun durjana itu.

فَرَدَدنٰهُ إِلىٰ أُمِّهِ كَى تَقَرَّ عَينُها وَلا تَحزَنَ وَلِتَعلَمَ أَنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ ﴿١٣﴾

Maka Kami kembalikan dia (Musa) kepada ibunya, agar senang hatinya dan tidak bersedih hati, dan agar dia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (13)

Betapa indahnya hakikat disebalik kisah ini. Saratnya kandungan surah ini, tidak lain melainkan sebagai tatapan dan muhasabah orang-orang yang beriman.

Tidaklah terbayang oleh kita bagaimana keadaan Ibu Musa ketika itu, betapa berkecamuk fikirannya, betapa susah hatinya memikirkan Musa yang hanyut di Sungai Nil.

Tetapi, Allah swt sebenarnya Cuma mahu melihat secebis keyakinan. Allah swt Cuma mahu mengajar sedikit sabar. Allah sekadar mahu melihat kekuatan dan ketabahan yang sebentar Cuma, sebelum Dia mendatangkan pertolongan yang tidak disangka-sangka.

Tidaklah tergambar oleh kita apa yang bakal berlaku seandainya Ibu Musa tidak memberanikan dirinya menghanyutkan Musa di Nil, tidak menetapkan hatinya dan mengikuti ilham dari Allah dan tidak sanggup berpisah sebentar dengan Musa. Bisa jadi bayi kesayangannya tidak lagi kembali kepadanya. Tetapi kerana dia tabahkan dan kuatkan juga hatinya, dan terbinalah sudah kualiti yang ingin Allah bina dalam dirinya melalui ujian itu, Allah pun mengembalikan bayinya agar dia kembali senang hati.

ujian

Demikianlah juga ujian-ujian yang mendekati kita. Ada orang diuji dakwahnya dengan tohmahan-tohmahan nista dari orang-orang yang diseru. Ada orang yang diuji dengan keluarga yang menghalang dirinya mengamalkan Islam secara syumul. Ada orang yang diuji dengan hambatan dosa-dosa silam yang membelenggu. Ada orang yang diuji dengan kekurangan masa dan kemampuan ilmu.

Kesemua ujian-ujian ini, wahai saudaraku, tidaklah lain melainkan sebentar Cuma, sehinggalah pertolongan Allah swt yang benar-benar menyenangkan datang menjelma. Pertolongan Allah swt kadangkala datang tanpa disedari. Ia datang dalam bentuk kekuatan. Ia datang dalam bentuk kewangan. Ia datang dalam bentuk sokongan dari rakan-rakan. Ia datang dalam bentuk kelapangan dan kesihatan. Boleh jadi ia tidak kelihatan seperti menyelesaikan isu, tetapi hakikatnya, itulah yang kita perlu.

Malam itu aku menangisi Qasasku. Terasa malu untuk menutup lembaran suci ini. Tetapi ada tanggungjawab besar yang menanti diri. Masih banyak hakikat Al-Qur’an ini yang belum dihayati padahal tidak ada rujukan atau petunjuk yang lebih menenangkan hati orang-orang yang bertaqwa melainkan AlQuran. Kata Allah swt,

الم ﴿١﴾ ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ ﴿٢﴾

Alif Lam Mim (1) Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa (2)”

(Surah Al-Baqarah)

Andai matahari masih bersinar esok hari, moga-moga ada ruang untuk hamba ini memperbaiki diri.

http://majalahjom.blogspot.com/

Leave a Reply